MAZMUR 119:113-136

MAZMUR 119:113-136 BM

Aku membenci orang yang tidak setia kepada-Mu dengan sepenuh hati, tetapi aku mencintai Taurat-Mu. Engkaulah pembelaku dan pelindungku; aku berharap kepada janji-Mu. Hai orang jahat, pergilah daripadaku. Aku akan mematuhi perintah Allahku. Kuatkanlah aku menurut janji-Mu, agar aku hidup; jangan biarkan aku dikecewakan dalam harapanku! Bantulah aku, lalu aku akan selamat, dan aku akan sentiasa memperhatikan perintah-Mu. Engkau menolak semua orang yang tidak mematuhi hukum-Mu; muslihat mereka sia-sia belaka. Engkau menganggap semua orang jahat seperti sampah; oleh itu aku mencintai peraturan-Mu. Aku gementar kerana takut kepada-Mu, dan aku gentar kerana ketetapan-Mu. Aku telah melakukan perkara yang adil dan benar; jangan serahkan aku kepada musuh-musuhku! Berjanjilah bahawa Engkau akan menolong hamba-Mu; jangan biarkan orang sombong menindas aku! Mataku penat menantikan Engkau datang untuk menyelamatkan aku, dan untuk membebaskan aku, menurut janji-Mu. Perlakukanlah aku sesuai dengan kasih-Mu, dan ajarlah aku perintah-Mu. Aku ini hamba-Mu, berilah aku pengertian, supaya aku memahami ajaran-Mu. Inilah masanya Engkau bertindak, ya TUHAN, kerana orang melanggar Taurat-Mu. Aku mencintai perintah-Mu lebih daripada emas, lebih daripada emas murni. Oleh itu aku mengikut segala peraturan-Mu; aku benci akan segala perbuatan yang salah. Ajaran-Mu sungguh mengagumkan; aku mentaatinya dengan sepenuh hati. Penjelasan ajaran-Mu memberikan cahaya, memberikan pengertian kepada orang jahil. Aku haus akan perintah-Mu, aku sangat menginginkannya. Berpalinglah kepadaku dan kasihanilah aku seperti Engkau sentiasa mengasihani orang yang mengasihi-Mu. Menurut janji-Mu, jangan biarkan aku jatuh; jangan biarkan kejahatan menguasai aku. Selamatkanlah aku daripada orang yang menindas aku, supaya aku dapat mentaati perintah-Mu. Berkatilah aku dengan hadirat-Mu, dan ajarlah aku hukum-Mu. Air mataku mengalir seperti sungai, kerana orang tidak taat kepada Taurat-Mu.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami