Pujilah TUHAN!
Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana Dia baik;
kasih-Nya kekal abadi.
Siapakah dapat menceritakan perbuatan besar yang dilakukan TUHAN?
Siapakah dapat memuji Dia dengan secukupnya?
Berbahagialah orang yang berlaku adil,
yang sentiasa melakukan apa yang benar.
Ingatlah aku, ya TUHAN, ketika Engkau menolong umat-Mu;
selamatkanlah aku juga, ketika Engkau menyelamatkan mereka.
Semoga aku melihat umat-Mu makmur semula,
dan semoga aku bersukacita bersama-sama umat-Mu,
serta berbangga bersama-sama mereka yang menjadi milik-Mu.
Kami telah berdosa seperti nenek moyang kami;
kami jahat dan keji.
Ketika di Mesir nenek moyang kami tidak faham akan perbuatan-Nya yang menakjubkan;
mereka lupa akan kasih-Nya yang berlimpah,
dan mereka memberontak terhadap Yang Maha Kuasa di Laut Gelagah.
Tetapi Dia menyelamatkan mereka menurut janji-Nya,
untuk menunjukkan kuasa-Nya yang besar.
Dia memberikan perintah kepada Laut Gelagah dan laut itu pun kering,
lalu Dia memimpin umat-Nya menyeberang laut yang kering itu.
Dia menyelamatkan mereka daripada orang yang membenci mereka,
dan membebaskan mereka daripada musuh mereka.
Tetapi air melemaskan musuh mereka;
tiada seorang pun selamat.
Lalu umat-Nya percaya kepada janji-Nya,
dan menyanyikan pujian untuk Dia.
Tetapi mereka cepat lupa akan segala perbuatan-Nya,
mereka bertindak tanpa meminta nasihat-Nya.
Nafsu mereka berkobar-kobar di padang gurun,
dan mereka mencubai Allah;
oleh itu, Dia memberikan apa yang diminta mereka,
tetapi Dia juga mendatangkan penyakit yang dahsyat kepada mereka.
Di gurun itu mereka iri hati terhadap Musa,
dan terhadap Harun, hamba yang mengabdi kepada TUHAN.
Bumi terbuka dan menelan Datan,
dan menimbusi Abiram serta keluarganya;
api turun membakar pengikut mereka,
dan menghanguskan semua orang durjana.
Mereka membuat anak lembu emas di Sinai,
lalu menyembah patung itu.
Mereka menggantikan kemuliaan Allah
dengan patung binatang pemakan rumput.
Mereka melupakan Allah yang telah menyelamatkan mereka,
Allah yang telah melakukan hal-hal besar di Mesir.
Sungguh hebat perbuatan-Nya di negeri itu,
sungguh menakjubkan perbuatan-Nya di Laut Gelagah.
Apabila Allah berfirman hendak membinasakan umat-Nya;
Musa, hamba pilihan-Nya, berdiri di hadapan Allah,
dan memujuk Dia supaya tidak membinasakan mereka.
Kemudian mereka menolak tanah yang indah itu,
kerana mereka tidak percaya akan janji Allah.
Mereka merungut di dalam khemah mereka
dan tidak mahu mendengarkan TUHAN.
Maka dengan sumpah Dia berjanji
akan membunuh mereka di gurun,
dan mencerai-beraikan keturunan mereka antara bangsa-bangsa,
sehingga mereka mati di negeri-negeri asing.
Kemudian di Peor, umat Allah ikut menyembah Baal,
dan makan korban yang dipersembahkan kepada dewa-dewa yang tidak bernyawa.
Mereka membangkitkan kemurkaan TUHAN dengan perbuatan mereka,
lalu penyakit yang dahsyat menyerang mereka.
Tetapi Pinehas berdiri dan menghukum orang yang bersalah,
lalu wabak itu pun berhenti.
Jasanya itu diingati orang,
dan dia pun dikenang sampai selama-lamanya.
Mereka membangkitkan kemurkaan TUHAN di mata air di Meriba,
dan menyusahkan Musa dengan perbuatan mereka.
Mereka membuat dia begitu marah,
sehingga dia mengeluarkan kata-kata yang tidak seharusnya.
Bangsa-bangsa lain tidak dimusnahkan mereka
seperti yang diperintahkan TUHAN.
Malah mereka mengahwini bangsa-bangsa itu,
dan meniru cara hidup orang yang tidak mengenal Allah.
Umat Allah menyembah berhala-berhala,
dan hal ini menyebabkan kebinasaan mereka.
Mereka mempersembahkan anak-anak sendiri sebagai korban
kepada dewa-dewa negeri Kanaan.
Mereka membunuh anak-anak yang tidak bersalah,
sehingga negeri itu dinajiskan oleh pembunuhan itu.
Mereka mencemarkan diri dengan perbuatan mereka,
dan mereka tidak setia kepada Allah.
Oleh itu TUHAN murka terhadap umat-Nya;
Dia berasa jijik terhadap mereka.
Dia menyerahkan mereka ke dalam kuasa bangsa-bangsa,
dan membiarkan musuh menjajah mereka.
Mereka ditindas oleh musuh,
mereka dijajah sepenuhnya.
Berulang kali TUHAN menyelamatkan umat-Nya,
tetapi mereka masih memberontak terhadap-Nya,
sehingga dosa mereka bertambah-tambah.
Namun TUHAN mendengar seruan mereka,
dan memperhatikan kesusahan mereka.
Bagi kebaikan mereka, Dia ingat akan perjanjian-Nya,
dan kerana kasih-Nya yang besar, Dia mengasihani mereka.
Dia menyebabkan semua orang yang menindas mereka
berasa kasihan terhadap mereka.
Selamatkanlah kami, ya TUHAN, Allah kami,
dan bawalah kami pulang dari antara bangsa-bangsa,
supaya kami dapat bersyukur,
dan memuji nama-Mu yang suci.
Pujilah TUHAN, Allah umat Israel;
pujilah Dia sekarang dan selama-lamanya!
Hendaklah semua orang berkata, “Amin!”