MAZMUR 106:1-48
MAZMUR 106:1-48 Alkitab Berita Baik (BM)
Pujilah TUHAN! Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana Dia baik; kasih-Nya kekal abadi. Siapakah dapat menceritakan perbuatan besar yang dilakukan TUHAN? Siapakah dapat memuji Dia dengan secukupnya? Berbahagialah orang yang berlaku adil, yang sentiasa melakukan apa yang benar. Ingatlah aku, ya TUHAN, ketika Engkau menolong umat-Mu; selamatkanlah aku juga, ketika Engkau menyelamatkan mereka. Semoga aku melihat umat-Mu makmur semula, dan semoga aku bersukacita bersama-sama umat-Mu, serta berbangga bersama-sama mereka yang menjadi milik-Mu. Kami telah berdosa seperti nenek moyang kami; kami jahat dan keji. Ketika di Mesir nenek moyang kami tidak faham akan perbuatan-Nya yang menakjubkan; mereka lupa akan kasih-Nya yang berlimpah, dan mereka memberontak terhadap Yang Maha Kuasa di Laut Gelagah. Tetapi Dia menyelamatkan mereka menurut janji-Nya, untuk menunjukkan kuasa-Nya yang besar. Dia memberikan perintah kepada Laut Gelagah dan laut itu pun kering, lalu Dia memimpin umat-Nya menyeberang laut yang kering itu. Dia menyelamatkan mereka daripada orang yang membenci mereka, dan membebaskan mereka daripada musuh mereka. Tetapi air melemaskan musuh mereka; tiada seorang pun selamat. Lalu umat-Nya percaya kepada janji-Nya, dan menyanyikan pujian untuk Dia. Tetapi mereka cepat lupa akan segala perbuatan-Nya, mereka bertindak tanpa meminta nasihat-Nya. Nafsu mereka berkobar-kobar di padang gurun, dan mereka mencubai Allah; oleh itu, Dia memberikan apa yang diminta mereka, tetapi Dia juga mendatangkan penyakit yang dahsyat kepada mereka. Di gurun itu mereka iri hati terhadap Musa, dan terhadap Harun, hamba yang mengabdi kepada TUHAN. Bumi terbuka dan menelan Datan, dan menimbusi Abiram serta keluarganya; api turun membakar pengikut mereka, dan menghanguskan semua orang durjana. Mereka membuat anak lembu emas di Sinai, lalu menyembah patung itu. Mereka menggantikan kemuliaan Allah dengan patung binatang pemakan rumput. Mereka melupakan Allah yang telah menyelamatkan mereka, Allah yang telah melakukan hal-hal besar di Mesir. Sungguh hebat perbuatan-Nya di negeri itu, sungguh menakjubkan perbuatan-Nya di Laut Gelagah. Apabila Allah berfirman hendak membinasakan umat-Nya; Musa, hamba pilihan-Nya, berdiri di hadapan Allah, dan memujuk Dia supaya tidak membinasakan mereka. Kemudian mereka menolak tanah yang indah itu, kerana mereka tidak percaya akan janji Allah. Mereka merungut di dalam khemah mereka dan tidak mahu mendengarkan TUHAN. Maka dengan sumpah Dia berjanji akan membunuh mereka di gurun, dan mencerai-beraikan keturunan mereka antara bangsa-bangsa, sehingga mereka mati di negeri-negeri asing. Kemudian di Peor, umat Allah ikut menyembah Baal, dan makan korban yang dipersembahkan kepada dewa-dewa yang tidak bernyawa. Mereka membangkitkan kemurkaan TUHAN dengan perbuatan mereka, lalu penyakit yang dahsyat menyerang mereka. Tetapi Pinehas berdiri dan menghukum orang yang bersalah, lalu wabak itu pun berhenti. Jasanya itu diingati orang, dan dia pun dikenang sampai selama-lamanya. Mereka membangkitkan kemurkaan TUHAN di mata air di Meriba, dan menyusahkan Musa dengan perbuatan mereka. Mereka membuat dia begitu marah, sehingga dia mengeluarkan kata-kata yang tidak seharusnya. Bangsa-bangsa lain tidak dimusnahkan mereka seperti yang diperintahkan TUHAN. Malah mereka mengahwini bangsa-bangsa itu, dan meniru cara hidup orang yang tidak mengenal Allah. Umat Allah menyembah berhala-berhala, dan hal ini menyebabkan kebinasaan mereka. Mereka mempersembahkan anak-anak sendiri sebagai korban kepada dewa-dewa negeri Kanaan. Mereka membunuh anak-anak yang tidak bersalah, sehingga negeri itu dinajiskan oleh pembunuhan itu. Mereka mencemarkan diri dengan perbuatan mereka, dan mereka tidak setia kepada Allah. Oleh itu TUHAN murka terhadap umat-Nya; Dia berasa jijik terhadap mereka. Dia menyerahkan mereka ke dalam kuasa bangsa-bangsa, dan membiarkan musuh menjajah mereka. Mereka ditindas oleh musuh, mereka dijajah sepenuhnya. Berulang kali TUHAN menyelamatkan umat-Nya, tetapi mereka masih memberontak terhadap-Nya, sehingga dosa mereka bertambah-tambah. Namun TUHAN mendengar seruan mereka, dan memperhatikan kesusahan mereka. Bagi kebaikan mereka, Dia ingat akan perjanjian-Nya, dan kerana kasih-Nya yang besar, Dia mengasihani mereka. Dia menyebabkan semua orang yang menindas mereka berasa kasihan terhadap mereka. Selamatkanlah kami, ya TUHAN, Allah kami, dan bawalah kami pulang dari antara bangsa-bangsa, supaya kami dapat bersyukur, dan memuji nama-Mu yang suci. Pujilah TUHAN, Allah umat Israel; pujilah Dia sekarang dan selama-lamanya! Hendaklah semua orang berkata, “Amin!”
MAZMUR 106:1-48 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pujilah TUHAN! Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana kebaikan-Nya; kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya. Siapa yang dapat menyebutkan perbuatan-perbuatan TUHAN yang hebat, siapa dapat mengisytiharkan seluruh puji bagi-Nya? Diberkatilah mereka yang menjaga keadilan, dan orang yang melakukan apa yang benar setiap waktu. Ingatlah aku, ya TUHAN, dengan keredaan yang Kauberi, selamatkan aku ketika Engkau menyelamatkan mereka, supaya aku dapat menikmati kemewahan orang pilihan-Mu, supaya aku dapat bergembira dengan rasa sukacita bangsa-Mu, supaya aku dapat merasakan kemuliaan dengan warisan-Mu. Kami telah berdosa bersama nenek moyang kami; kami telah melakukan dosa, kami telah berbuat jahat. Nenek moyang kami di Mesir, tidak memahami mukjizat-Mu; mereka tidak ingat akan keihsanan-Mu yang melimpah-limpah, tetapi telah memberontak di pinggir laut, Laut Merah. Namun demikian Dia telah menyelamatkan mereka demi nama-Nya, untuk menunjukkan kuasa-Nya yang besar. Dia juga memurkai Laut Merah, maka laut itu kering; lalu Dia memandu mereka menyeberangi laut seperti merentas gurun. Dia menyelamatkan mereka daripada tangan orang yang membenci mereka; dan melepaskan mereka daripada tangan musuh. Air laut menenggelamkan musuh mereka; tiada seorang pun yang tinggal. Lalu mereka percaya akan firman-Nya; mereka menyanyikan pujian untuk-Nya. Tidak lama kemudian mereka melupakan perbuatan-Nya; mereka tidak menantikan bimbingan-Nya. Tetapi dikuasai nafsu buas di gurun; dan menguji Allah di tanah tandus. Dia memberi mereka apa yang diminta oleh mereka, tetapi menghantar kelemahan ke dalam jiwa mereka. Mereka iri hati kepada Musa di perkhemahan dan Harun, orang suci TUHAN. Bumi terbuka lalu menelan Datan; dan mengambus Abiram serta para pengikutnya. Api dinyalakan dalam kalangan pengikut mereka; lalu membakar orang zalim. Mereka membuat patung anak lembu di Horeb lalu menyembah patung buatan mereka. Dengan demikian mereka menukar kemuliaan mereka untuk patung lembu jantan yang makan rumput. Mereka melupakan Allah Penyelamat mereka, yang telah melakukan perkara-perkara hebat di Mesir, mukjizat-mukjizat di tanah Ham; perkara-perkara yang menakjubkan di pinggir Laut Merah. Oleh itu, Dia berfirman bahawa Dia akan memusnahkan mereka — tetapi Musa, orang pilihan-Nya, berdiri di hadirat-Nya memohon untuk mereka bagi memalingkan kemurkaan-Nya, supaya Dia tidak memusnahkan mereka. Kemudian, mereka membenci tanah yang begitu baik; mereka tidak percaya akan firman-Nya, sebaliknya bersungut di khemah-khemah mereka dan tidak menghiraukan suara TUHAN. Oleh itu, Dia mengangkat tangan-Nya bersumpah bahawa Dia akan membawa kekalahan kepada mereka di gurun, dan kepada anak cucu mereka dalam kalangan bangsa-bangsa, serta menyelerakkan mereka di serata negeri. Mereka juga menyertai Baal di Peor dan makan korban persembahan yang dibuat kepada orang mati; demikianlah mereka menyakitkan hati TUHAN sehingga Dia marah dengan perbuatan mereka, lalu berlaku wabak dalam kalangan mereka. Maka Pinehas tampil memohon untuk mereka, lalu wabak itu berakhir. Perbuatannya itu dikira sebagai perbenarannya turun-temurun selama-lamanya. Mereka juga membuat TUHAN marah di mata air Meriba, lalu Musa ditimpa kesusahan kerana mereka; kerana mereka memberontak terhadap Roh Allah, sehingga Musa bersuara dengan gopoh. Mereka tidak memusnahkan bangsa-bangsa sebagaimana telah diperintahkan oleh TUHAN kepada mereka, sebaliknya mereka bergaul dengan bangsa-bangsa itu dan mempelajari amalan-amalan mereka. Mereka melayani berhala-berhala mereka, yang menjadi jerat kepada mereka. Malah mereka mengorbankan anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan mereka kepada roh-roh Iblis. Dan menumpahkan darah mereka yang tidak bersalah, darah anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan mereka, yang dikorbankan oleh mereka untuk berhala-berhala Kanaan, maka tanah itu dicemari darah. Demikianlah mereka dinodai oleh perbuatan mereka sendiri; dan menjadi seperti pelacur dengan kelakuan mereka sendiri. Oleh itu, kemurkaan TUHAN dinyalakan terhadap umat-Nya, maka Dia jijik akan warisan-Nya sendiri. Lalu Dia menyerahkan mereka ke tangan bangsa-bangsa asing, dan orang yang membenci mereka memerintah mereka. Musuh mereka juga menindas mereka dan mereka tunduk di bawah tangan musuh. Berkali-kali Dia menyelamatkan mereka, tetapi mereka memberontak menurut rancangan sendiri lalu mereka dijatuhkan kerana dosa mereka. Namun demikian, Dia mengambil berat tentang derita mereka apabila Dia mendengar seruan mereka; dan untuk mereka Dia ingat akan perjanjian-Nya lalu berlembut kerana kasih-Nya melimpah-limpah. Dia juga menyebabkan mereka dikasihani oleh semua yang membawa mereka pergi sebagai orang tawanan. Selamatkanlah kami, ya TUHAN Allah kami, dan kumpulkan kami daripada kalangan bangsa asing, supaya kami bersyukur kepada nama-Mu yang suci, supaya kami berbangga dengan pujian untuk-Mu. Pujilah TUHAN, Allah Israel, dari selama-lamanya ke selama-lamanya. Dan biarlah semua orang berkata, “Amin!” Pujilah TUHAN!