Oleh itu, saudara-saudaraku yang tercinta, sebagaimana kamu sentiasa taat kepadaku ketika aku bersama-sama kamu, lebih mustahak lagi kamu taat kepadaku sekarang ini ketika kita berjauhan. Allah sudah menyelamatkan kamu, oleh itu kamu harus terus berusaha untuk menyempurnakan kesejahteraan kamu. Lakukanlah hal itu dengan penuh hormat kepada Allah, kerana Allah sentiasa bekerja di kalangan kamu untuk membuat kamu mahu dan sanggup melakukan apa yang dikehendaki-Nya. Lakukanlah segala sesuatu tanpa bersungut-sungut atau bertengkar. Dengan demikian kamu menunjukkan ketulusan dan kemurnian sebagai anak-anak Allah yang tidak bercela, yang hidup di kalangan orang jahat dan berdosa. Ketika kamu menyampaikan berita yang memberikan hidup yang sejati, kamu harus bersinar antara mereka seperti bintang menerangi langit. Jika kamu berbuat demikian, aku mempunyai alasan untuk berbangga dengan kamu pada Hari Kristus datang kembali. Hal itu membuktikan bahawa segala usaha dan jerih payahku tidak sia-sia. Mungkin aku akan dibunuh dan darahku menjadi seperti persembahan yang dicurahkan di atas korban yang kamu persembahkan kepada Allah, sebagai tanda bahawa kamu percaya kepada-Nya. Jika demikian, aku bersyukur dan bersukacita dengan kamu semua. Begitu juga kamu harus bersukacita kerana apa yang akan berlaku dan turut bergembira denganku. Aku berharap bahawa dengan pertolongan Tuhan Yesus, aku dapat segera mengutus Timotius kepada kamu, supaya berita tentang kamu boleh menenteramkan hatiku. Timotius satu-satunya orang yang sehati denganku, dan dia benar-benar mengambil berat tentang kamu. Semua orang lain sibuk mengurus kepentingan sendiri dan bukan kepentingan Yesus Kristus. Kamu sendiri tahu bahawa Timotius sudah membuktikan betapa baik keperibadiannya. Aku dan Timotius sama seperti bapa dengan anak, yang sudah bekerja bersama-sama untuk menyebarkan Berita Baik. Oleh itu aku bercadang mengutus dia kepada kamu, sebaik sahaja aku mengetahui apa yang akan berlaku kepadaku. Aku berharap bahawa dengan pertolongan Tuhan, aku sendiri akan dapat mengunjungi kamu tidak lama lagi. Aku merasa perlu menyuruh Epafroditus, yang kamu utus untuk menolong aku, kembali kepada kamu. Dia sudah bekerja dan berjuang dengan aku untuk mempertahankan Berita Baik. Dia sangat ingin berjumpa dengan kamu semua, dan dia susah hati kerana kamu sudah mendengar bahawa dia sakit. Memang benar dia sakit dan hampir meninggal. Tetapi Allah mengasihani dia, dan bukan dia sahaja tetapi aku juga, supaya aku tidak bertambah sedih. Itulah sebabnya aku semakin ingin menyuruh dia kembali kepada kamu, supaya kamu bergembira semula apabila berjumpa dengan dia, dan kesedihanku pun akan hilang. Oleh itu sambutlah dia dengan penuh kegembiraan sebagai seorang saudara seiman. Hormatilah semua orang yang seperti dia, kerana dia sudah mempertaruhkan nyawa dan hampir meninggal untuk kepentingan pekerjaan Kristus. Dia berbuat demikian untuk memberi aku pertolongan yang tidak dapat kamu berikan.
Baca FILIPI 2
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: FILIPI 2:12-30
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video