FILIPI 2:12-30
FILIPI 2:12-30 Alkitab Berita Baik (BM)
Oleh itu, saudara-saudaraku yang tercinta, sebagaimana kamu sentiasa taat kepadaku ketika aku bersama-sama kamu, lebih mustahak lagi kamu taat kepadaku sekarang ini ketika kita berjauhan. Allah sudah menyelamatkan kamu, oleh itu kamu harus terus berusaha untuk menyempurnakan kesejahteraan kamu. Lakukanlah hal itu dengan penuh hormat kepada Allah, kerana Allah sentiasa bekerja di kalangan kamu untuk membuat kamu mahu dan sanggup melakukan apa yang dikehendaki-Nya. Lakukanlah segala sesuatu tanpa bersungut-sungut atau bertengkar. Dengan demikian kamu menunjukkan ketulusan dan kemurnian sebagai anak-anak Allah yang tidak bercela, yang hidup di kalangan orang jahat dan berdosa. Ketika kamu menyampaikan berita yang memberikan hidup yang sejati, kamu harus bersinar antara mereka seperti bintang menerangi langit. Jika kamu berbuat demikian, aku mempunyai alasan untuk berbangga dengan kamu pada Hari Kristus datang kembali. Hal itu membuktikan bahawa segala usaha dan jerih payahku tidak sia-sia. Mungkin aku akan dibunuh dan darahku menjadi seperti persembahan yang dicurahkan di atas korban yang kamu persembahkan kepada Allah, sebagai tanda bahawa kamu percaya kepada-Nya. Jika demikian, aku bersyukur dan bersukacita dengan kamu semua. Begitu juga kamu harus bersukacita kerana apa yang akan berlaku dan turut bergembira denganku. Aku berharap bahawa dengan pertolongan Tuhan Yesus, aku dapat segera mengutus Timotius kepada kamu, supaya berita tentang kamu boleh menenteramkan hatiku. Timotius satu-satunya orang yang sehati denganku, dan dia benar-benar mengambil berat tentang kamu. Semua orang lain sibuk mengurus kepentingan sendiri dan bukan kepentingan Yesus Kristus. Kamu sendiri tahu bahawa Timotius sudah membuktikan betapa baik keperibadiannya. Aku dan Timotius sama seperti bapa dengan anak, yang sudah bekerja bersama-sama untuk menyebarkan Berita Baik. Oleh itu aku bercadang mengutus dia kepada kamu, sebaik sahaja aku mengetahui apa yang akan berlaku kepadaku. Aku berharap bahawa dengan pertolongan Tuhan, aku sendiri akan dapat mengunjungi kamu tidak lama lagi. Aku merasa perlu menyuruh Epafroditus, yang kamu utus untuk menolong aku, kembali kepada kamu. Dia sudah bekerja dan berjuang dengan aku untuk mempertahankan Berita Baik. Dia sangat ingin berjumpa dengan kamu semua, dan dia susah hati kerana kamu sudah mendengar bahawa dia sakit. Memang benar dia sakit dan hampir meninggal. Tetapi Allah mengasihani dia, dan bukan dia sahaja tetapi aku juga, supaya aku tidak bertambah sedih. Itulah sebabnya aku semakin ingin menyuruh dia kembali kepada kamu, supaya kamu bergembira semula apabila berjumpa dengan dia, dan kesedihanku pun akan hilang. Oleh itu sambutlah dia dengan penuh kegembiraan sebagai seorang saudara seiman. Hormatilah semua orang yang seperti dia, kerana dia sudah mempertaruhkan nyawa dan hampir meninggal untuk kepentingan pekerjaan Kristus. Dia berbuat demikian untuk memberi aku pertolongan yang tidak dapat kamu berikan.
FILIPI 2:12-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka sŭbab itulah kŭkasihku, adapun spŭrti pada sŭdiakalanya kamu tŭlah mŭnurot itu, bukannya dihadapanku sahja, mŭlainkan skarang tŭrlebih pula diblakangku, maka handaklah kamu bŭkŭrja mŭnuntut slamatmu sŭndiri dŭngan takot dan gŭmŭntar. Kŭrna Allah juga yang mŭnggrakkan dalam hati kamu itu akan bŭrniat, dan akan mŭlakukan kŭrelaannya. Pŭrbuatlah akan sagala pŭrkara dŭngan tiada bŭrsungot dan pŭrbantahan; Supaya kamu mŭnjadi orang yang tiada bŭrsalah, dan tiada pŭngapakan, spŭrti anak anak Allah yang tiada dapat dichŭla diantara bangsa yang bengkang bengkok, dan kachau belot, maka diantaranyalah kamu kŭlak bŭrchahya spŭrti trang dalam dunia. Mŭmaskorkan pŭrkataan slamat, supaya aku kŭlak akan bŭrsuka chita pada hari datang Almasih, supaya aku tiada bŭrlari lari dŭngan sia sia, atau bŭrlŭlah dŭngan sia sia. Bahkan, jikalau kiranya aku ini dipŭrsŭmbahkan atas korban, dan pŭkŭrjaan iman kamu skali pun, maka suka chitalah juga aku, dan bŭrsuka sukalah bŭsŭrta dŭngan kamu skalian. Maka dŭngan hal dŭmkianlah juga handaklah kamu pun sukachita, dan bŭrsuka sukalah bŭsŭrta dŭngan aku. Akan tŭtapi haraplah juga aku dŭngan bŭrkat Tuhan Isa akan mŭngirimkan Timothius dŭngan sŭgranya kapada kamu, supaya aku pun bulih mŭndapat pŭnghiburan yang baik, apabila kukŭtahui sagala hal ahwal kamu. Kŭrna sa’orang pun tiada sŭrtaku yang sama hati, yang mŭmpŭdulikan sagala ahwal kamu dŭngan sŭtiawannya. Kŭrna marika itu skalian mŭnchari hal dirinya sŭndiri, dan bukannya deri pŭrkara pŭrkara Isa Almasih. Tŭtapi kamu tahulah tandanya Timothius itu, iya itu spŭrti anak kapada bapanya, dŭmkianlah iya tŭlah bŭrkhodmat sŭrta dŭngan aku deri hal Injil. Maka sŭbab itulah harap aku akan mŭngirimkan dia itu dŭngan sŭgranya, sŭrta kulihat apakah kasudahannya halku ini. Akan tŭtapi haraplah aku dŭngan bŭrkat Tuhan, supaya aku pun sŭndiri akan datang juga dŭngan sŭgranya. Tapi pada sangkaku, baiklah juga mŭngirimkan Ipafroditus, saudaraku yang sama bŭkŭrja, dan kawan sŭldadu; tŭtapi iya itu surohan deripada kamu, dan yang tŭlah mŭmliharakan kakoranganku itu. Kŭrna iya tŭlah rindu akan kamu skalian, dan ada pŭnoh dŭngan kabratan, sŭbab kamu tŭlah mŭnŭngar iya sakit. Maka sŭsungguhnya iya tŭlah sakit payah hampir mati: tŭtapi dikasihani Allah akan dia: maka bukannya akan dia sahja, mŭlainkan aku pun, asal jangan aku mŭnaroh susah diatas susah. Maka sŭbab itulah aku tŭlah mŭngirimkan akan dia dŭngan tŭrlebih sŭgra, supaya apabila kamu bŭrtŭmu dŭngan dia kŭlak, kamu bulih bŭrsuka sukalah, dan supaya dukachitaku pun bulihlah bŭrkorangan. Maka sŭbab itu trimalah akan dia kŭrna Tuhan dŭngan bŭrsuka sukaan; dan hormatilah akan orang yang dŭmkian itu. Sŭbab pŭkŭrjaan Almasih hampir hampirlah iya mati, tiadalah iya mŭngindahkan jiwanya, sŭbab iya handak mŭnyampiekan kakorangan khodmat kamu akan daku.
FILIPI 2:12-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Oleh itu, saudara-saudara yang dikasihi, sebagaimana kamu sentiasa taat, hendaklah kamu mengerjakan penyelamatanmu sendiri dengan takut dan gementar, bukan sahaja ketika aku ada bersamamu malah lebih-lebih lagi sekarang sewaktu aku jauh daripadamu. Kerana Allah yang bekerja dalam dirimu, menyebabkan kamu berkehendak dan menjalankan kerja untuk keredaan-Nya. Dalam segala perbuatanmu janganlah bersungut-sungut dan berbantah-bantah, supaya dirimu tidak beraib dan bersalah, dan kamu menjadi anak-anak Allah yang tidak bercela antara manusia. Dalam zaman yang penuh tipu daya dan perbuatan songsang, maka terserlahlah kamu seperti bintang dalam dunia, berpegang teguh pada firman yang memberikan kehidupan. Dengan demikian aku dapat bersukacita pada hari Kristus kerana hidup dan usahaku tidak sia-sia. Walaupun sekiranya aku dicurahkan seperti minuman yang dipersembahkan sebagai korban dan khidmat imanmu, aku berbahagia dan bersukacita bersama kamu semua. Demikian jugalah kamu harus bahagia dan bersukacita bersamaku. Dalam Tuhan Yesus aku berharap akan dapat mengutus Timotius kepadamu dengan segera, supaya hatiku dihiburkan apabila mengetahui segala hal ehwalmu. Kerana tiada seorang bersamaku yang sama sepertinya dan bersungguh-sungguh mengambil berat tentang hal ehwalmu. Semua orang mementingkan hal sendiri, tetapi bukan hal yang kepunyaan Yesus Kristus. Tetapi kamu mengetahui kelakuannya yang sudah teruji, seperti anak dengan bapa dia berkhidmat bersamaku dalam penyebaran Injil. Oleh itu, aku berharap akan mengutusnya dengan segera, sebaik-baik aku mengetahui bagaimana keadaanku. Tetapi aku yakin dalam Tuhan bahawa aku pun akan datang tidak lama lagi. Namun demikian, aku merasakan perlu menghantar kepadamu Epafroditus, saudaraku, rakan sekerja dan seperjuanganku, pesuruhmu yang telah melayaniku dalam keadaanku yang serba kekurangan. Sememangnya, dia merindui kamu semua, dan berasa susah hati disebabkan kamu telah mendengar bahawa dia sakit. Memang benar dia sakit, hampir mati, tetapi Allah berbelas kasihan kepadanya, bukan hanya dia tetapi aku juga, supaya kesedihanku tidak bertimpa-timpa. Oleh itu, aku menghantarnya dengan rela dan segera, supaya kamu bersukacita dapat bertemu lagi dengannya, dan supaya aku juga kurang khuatir. Sambutlah dia dalam Tuhan dengan sepenuh sukacita, dan hormatilah orang yang sedemikian. Kerana untuk pekerjaan Kristus dia hampir mati, mempertaruhkan nyawanya untuk menyempurnakan apa-apa yang kurang dalam layananmu kepadaku.