FILEMON 1:8-22

FILEMON 1:8-22 BM

Itulah sebabnya sebagai saudara yang seiman, aku sebenarnya dapat memerintah kamu melakukan apa yang harus dilakukan. Tetapi kerana aku mengasihi kamu, aku hanya mengajukan permintaan. Aku berbuat demikian, meskipun aku ini duta Kristus Yesus, dan sekarang aku dipenjarakan kerana Dia. Aku mengajukan suatu permintaan bagi pihak Onesimus, yang aku anggap seperti anak sendiri, kerana dia juga percaya kepada Kristus. Semasa di penjara, aku menjadi seperti bapa kepadanya. Dahulu dia tidak berguna bagimu, tetapi sekarang dia berguna bukan sahaja bagimu, tetapi bagiku juga. Aku menghantar dia kembali kepadamu, dia yang sangat aku kasihi. Sebenarnya aku ingin dia tetap di sini bersama-sama aku untuk membantu aku bagi pihakmu, selama aku dipenjarakan kerana mengisytiharkan Berita Baik. Tetapi aku tidak mahu memaksa kamu menolong aku. Aku lebih suka jika kamu melakukannya dengan rela hati. Oleh itu aku tidak mahu melakukan apa-apa kecuali kamu bersetuju. Mungkin Onesimus berpisah daripada kamu untuk sementara, supaya kamu boleh mendapatnya kembali untuk seterusnya. Sekarang dia bukan sahaja abdi, tetapi lebih daripada itu. Dia saudara Kristian yang dikasihi. Dia sangat bererti bagiku, dan dia lebih bererti lagi bagimu, baik sebagai abdi mahupun sebagai sesama saudara yang percaya kepada Tuhan! Oleh itu, jika kamu menganggap aku sebagai rakan sekerja, sambutlah dia kembali seperti kamu menyambut aku. Jika dia sudah bersalah atau berhutang kepadamu, biarlah aku yang menanggungnya. Lihatlah, kata-kata berikut aku tulis sendiri: Aku, Paulus akan melunasi semuanya. (Aku tidak perlu mengingatkan kamu bahawa kamu berhutang kepadaku kehidupanmu sebagai orang Kristian.) Oleh itu, demi Tuhan tolonglah aku dan gembirakanlah hatiku sebagai sesama saudara yang percaya kepada Kristus. Semasa menulis surat ini, aku yakin bahawa kamu akan mengabulkan permintaanku. Sebenarnya aku tahu bahawa kamu akan melakukan hal yang lebih daripada permintaanku. Sementara itu, tolong sediakan bilik untukku di rumahmu, kerana aku berharap Allah akan mengabulkan doa kamu semua dan membolehkan aku kembali kepada kamu.