BILANGAN 8

8
Tempat Pelita
1TUHAN berfirman kepada Musa, 2“Beritahulah Harun bahawa apabila dia meletakkan tujuh buah pelita pada kaki pelita, cahaya pelita-pelita harus memancar ke bahagian depan kaki pelita.” 3Harun mematuhi perintah itu. Dia meletakkan pelita-pelita menghadap bahagian depan kaki pelita. 4 Kaki pelita itu dibuat daripada emas tempaan, dari alasnya sampai ke bunga-bunga hiasan yang di atas, menurut contoh yang ditunjukkan TUHAN kepada Musa.
Penyucian dan Pentahbisan Orang Lewi
5TUHAN berfirman kepada Musa, 6“Pisahkanlah orang Lewi daripada umat Israel yang lain dan lakukanlah upacara penyucian untuk mereka 7dengan cara berikut: percikkanlah mereka dengan air untuk menyucikan mereka, lalu suruhlah mereka mencukur seluruh badan dan membasuh pakaian mereka. Dengan demikian mereka menjadi suci. 8Kemudian orang Lewi harus mengambil seekor lembu jantan muda dan korban yang ditetapkan, iaitu korban untuk mengucap syukur, berupa tepung yang dicampuri minyak zaitun. Engkau harus mengambil seekor lembu jantan lagi sebagai korban untuk mengampunkan dosa. 9Kemudian kumpulkan segenap umat Israel dan suruh orang Lewi berdiri di hadapan Khemah-Ku. 10Orang Israel harus meletakkan tangan di atas kepala orang Lewi, 11lalu Harun harus mentahbiskan orang Lewi sebagai pemberian khas daripada umat Israel untuk Aku, supaya orang Lewi dapat mengabdi kepada-Ku. 12Selepas itu orang Lewi harus meletakkan tangan di atas kepala kedua-dua ekor lembu jantan itu; seekor dipersembahkan sebagai korban untuk mengampunkan dosa dan yang seekor lagi sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Dengan upacara itu, orang Lewi disucikan.
13Tahbiskanlah orang Lewi sebagai pemberian khas untuk Aku dan suruhlah Harun dan anak-anak lelakinya menjadi pemimpin mereka. 14Dengan cara itu, orang Lewi dipisahkan daripada orang Israel lain supaya mereka menjadi milik-Ku. 15Setelah engkau menyucikan dan mentahbiskan orang Lewi, mereka akan layak bertugas di Khemah-Ku. 16Aku sudah menjadikan mereka pengganti semua anak lelaki sulung Israel, dan mereka menjadi milik-Ku sahaja. 17 Ketika Aku membunuh semua anak lelaki sulung orang Mesir, Aku mentahbiskan semua anak lelaki sulung daripada setiap keluarga Israel menjadi milik-Ku, dan juga setiap anak sulung jantan ternakan. 18Tetapi sekarang Aku mengambil orang Lewi sebagai pengganti semua anak lelaki sulung Israel. 19Aku menyerahkan orang Lewi kepada Harun dan anak-anak lelakinya sebagai pemberian daripada umat Israel, supaya orang Lewi dapat bertugas untuk orang Israel di Khemah-Ku. Orang Lewi juga akan meminta pengampunan daripada-Ku bagi umat Israel supaya umat itu tidak ditimpa bencana jika mereka datang terlalu dekat dengan Bilik Suci.”
20Oleh itu Musa, Harun, dan segenap umat Israel mentahbiskan orang Lewi kepada TUHAN, menurut perintah TUHAN kepada Musa. 21Orang Lewi menyucikan diri dan membasuh pakaian mereka, lalu Harun mentahbiskan mereka sebagai pemberian khas kepada TUHAN. Harun juga melakukan upacara penyucian bagi mereka. 22Umat Israel melakukan semua yang diperintahkan TUHAN kepada Musa tentang orang Lewi. Dengan demikian orang Lewi layak bertugas di Khemah TUHAN di bawah pimpinan Harun dan anak-anak lelakinya.
23TUHAN berfirman kepada Musa, 24“Setiap orang Lewi yang berumur dua puluh lima tahun ke atas, harus menjalankan tugasnya di Khemah-Ku. 25Apabila seorang Lewi berumur lima puluh tahun, dia dibebaskan daripada tugasnya. 26Selepas itu dia boleh membantu sesama orang Lewi yang bertugas di Khemah-Ku, tetapi dia tidak lagi mempunyai tugas tetap. Begitulah caranya engkau mengatur tugas orang Lewi.”

Terpilih Sekarang Ini:

BILANGAN 8: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk