NEHEMIA 4:6-14

NEHEMIA 4:6-14 BM

Oleh itu kami terus memperbaiki tembok. Tidak lama kemudian tembok itu selesai diperbaiki sehingga setengah daripada tingginya, kerana rakyat bekerja dengan penuh semangat. Ketika Sanbalat, Tobia, orang Arab, orang Amon, dan orang Asdod mendengar bahawa pekerjaan memperbaiki tembok Yerusalem itu maju dengan pesat, dan bahawa lubang-lubang pada tembok itu sudah ditutup, mereka naik berang. Oleh itu mereka semua bermuslihat hendak menyerang Yerusalem dan menimbulkan kekacauan. Tetapi kami berdoa kepada Allah kami dan menyuruh orang mengawal kota itu daripada serangan mereka, pada siang dan malam. Kemudian orang Yehuda mula menyanyikan nyanyian berikut: “Kami lemah kerana memikul beban, sedangkan sampah masih bertimbun-timbun. Kami tidak berdaya membina tembok hari ini.” Musuh kami berfikir bahawa kami tidak akan nampak mereka atau mengetahui hal yang berlaku sehingga saatnya mereka sudah menyerang kami, dan membunuh kami serta menghentikan pekerjaan kami. Tetapi berkali-kali, orang Yahudi yang tinggal berhampiran dengan musuh kami datang memberitahu kami akan rancangan musuh itu terhadap kami. Oleh itu aku melengkapi rakyat dengan pedang, tombak, dan panah. Aku menempatkan mereka menurut puak masing-masing di belakang tembok, iaitu di tempat-tempat yang belum diperbaiki. Apabila aku nampak bahawa rakyat gelisah, aku berkata kepada mereka, para pemimpin dan pegawai mereka, “Jangan takut akan musuh. Ingatlah betapa besar dan hebatnya Tuhan kita, dan berjuanglah untuk saudara-saudara kamu, anak isteri kamu, dan rumah-rumah kamu.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan NEHEMIA 4:6-14

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami