NEHEMIA 4:6-14

NEHEMIA 4:6-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Oleh itu kami terus memperbaiki tembok. Tidak lama kemudian tembok itu selesai diperbaiki sehingga setengah daripada tingginya, kerana rakyat bekerja dengan penuh semangat. Ketika Sanbalat, Tobia, orang Arab, orang Amon, dan orang Asdod mendengar bahawa pekerjaan memperbaiki tembok Yerusalem itu maju dengan pesat, dan bahawa lubang-lubang pada tembok itu sudah ditutup, mereka naik berang. Oleh itu mereka semua bermuslihat hendak menyerang Yerusalem dan menimbulkan kekacauan. Tetapi kami berdoa kepada Allah kami dan menyuruh orang mengawal kota itu daripada serangan mereka, pada siang dan malam. Kemudian orang Yehuda mula menyanyikan nyanyian berikut: “Kami lemah kerana memikul beban, sedangkan sampah masih bertimbun-timbun. Kami tidak berdaya membina tembok hari ini.” Musuh kami berfikir bahawa kami tidak akan nampak mereka atau mengetahui hal yang berlaku sehingga saatnya mereka sudah menyerang kami, dan membunuh kami serta menghentikan pekerjaan kami. Tetapi berkali-kali, orang Yahudi yang tinggal berhampiran dengan musuh kami datang memberitahu kami akan rancangan musuh itu terhadap kami. Oleh itu aku melengkapi rakyat dengan pedang, tombak, dan panah. Aku menempatkan mereka menurut puak masing-masing di belakang tembok, iaitu di tempat-tempat yang belum diperbaiki. Apabila aku nampak bahawa rakyat gelisah, aku berkata kepada mereka, para pemimpin dan pegawai mereka, “Jangan takut akan musuh. Ingatlah betapa besar dan hebatnya Tuhan kita, dan berjuanglah untuk saudara-saudara kamu, anak isteri kamu, dan rumah-rumah kamu.”

NEHEMIA 4:6-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kami terus membina semula tembok sehingga seluruh tembok itu siap setakat separuh ketinggiannya, berkat usaha umat yang sememangnya bekerja dengan penuh tekad. Namun begitu, apabila Sanbalat, Tobia, orang Arab, bani Amon, dan orang Asdod mendengar perihal kemajuan pesat kerja-kerja pembaikan tembok Yerusalem dan betapa lubang-lubangnya mulai tertutup, maka sangat marahlah mereka. Mereka semua bermuafakat bersama untuk datang memerangi Yerusalem dan mengadakan huru-hara di sana. Tetapi kami berdoa kepada Allah kami dan atas sebab sikap mereka itu, kami menjalankan pengawalan siang dan malam. Sementara itu orang Yehuda berkata, “Kekuatan kalangan yang memikul barang buangan sudah merosot walhal masih ada begitu banyak puing hinggakan kami tidak dapat meneruskan pembinaan semula tembok itu.” Maka para seteru kami pun berkata, “Kita akan datang ke tengah-tengah mereka, membunuh mereka, dan menghentikan pekerjaan itu tanpa mereka ketahui atau sempat melihat kita sebelumnya.” Orang Yahudi yang tinggal dekat mereka datang dan memberitahu kami sampai sepuluh kali, “Ke mana-mana pun kamu berpaling, mereka akan menyerang kita.” Oleh sebab itu kutempatkan umat di bahagian-bahagian terendah di belakang tembok, di tempat-tempat yang terbuka. Aku menempatkan mereka menurut kaum keluarga mereka dengan pedang, tombak, dan panah mereka. Setelah kuamati, segeralah aku berkata kepada para bangsawan, para pemimpin, dan umat selebihnya, “Jangan takut kepada mereka. Ingatlah kepada Tuhan yang besar dan teramat hebat, dan berperanglah demi para saudaramu, anak-anakmu baik lelaki mahupun perempuan, isterimu, dan rumahmu.”