MARKUS 9:30-50

MARKUS 9:30-50 BM

Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meninggalkan tempat itu lalu meneruskan perjalanan melalui Galilea. Yesus tidak mahu orang tahu di mana Dia, kerana Dia sedang mengajar pengikut-pengikut-Nya. Dia berkata, “Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan manusia, lalu Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian Dia akan bangkit semula!” Mereka tidak memahami makna ajaran itu, tetapi mereka takut bertanya kepada Yesus. Mereka tiba di Kapernaum. Setelah mereka masuk ke rumah, Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apakah yang kamu persoalkan di tengah jalan tadi?” Mereka tidak menjawab, kerana sewaktu dalam perjalanan, mereka mempersoalkan siapa yang terbesar. Yesus duduk, lalu memanggil dua belas orang pengikut-Nya. Dia berkata kepada mereka, “Sesiapa yang mahu menjadi pertama, mesti menjadi yang terakhir dan menjadi hamba semua orang.” Setelah itu Dia memanggil seorang kanak-kanak, lalu menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. Yesus memeluk kanak-kanak itu sambil berkata kepada mereka, “Sesiapa yang menyambut kanak-kanak seperti ini kerana Aku, menyambut Aku. Sesiapa yang menyambut Aku, menyambut bukan Aku sahaja, tetapi juga Allah yang mengutus Aku.” Yohanes berkata kepada Yesus, “Guru, kami nampak seorang mengusir roh jahat dengan nama Guru. Kami melarang dia, kerana dia tidak termasuk golongan kita.” Yesus berkata kepada mereka, “Jangan larang dia, kerana tiada seorang pun yang telah melakukan mukjizat dengan nama-Ku, akan segera memburuk-burukkan Aku. Sesiapa yang tidak melawan kita, berpihak kepada kita. Ingatlah! Sesiapa yang memberi kamu minuman kerana kamu pengikut Kristus, pasti akan menerima pahalanya.” “Sesiapa menyebabkan salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini tidak lagi percaya kepada-Ku, lebih baik jika batu kisaran diikatkan pada leher orang itu, lalu dia dibuang ke dalam laut. Jika tanganmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah tangan itu! Lebih baik kamu hidup tanpa sebelah tangan daripada kamu dengan kedua-dua belah tangan masuk ke dalam neraka, ke dalam api yang kekal. [ Di sana ulat tidak dapat mati dan api tidak pernah padam.] Jika kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah kaki itu! Lebih baik kamu hidup tanpa sebelah kaki daripada kamu dengan kedua-dua belah kaki dibuang ke dalam neraka. [ Di sana ulat tidak dapat mati dan api tidak pernah padam.] Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah mata itu! Lebih baik kamu menikmati Dunia Baru Allah dengan hanya sebelah mata, daripada kamu dengan kedua-dua belah mata dibuang ke dalam neraka. Di sana ulat tidak dapat mati dan api tidak pernah padam. Setiap orang akan dimurnikan dengan api, sebagaimana persembahan korban dimurnikan dengan garam. Garam itu baik, tetapi jika garam sudah menjadi tawar, garam itu tidak dapat menjadi masin lagi. Hendaklah kamu menjadi seperti garam serta hidup rukun.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami