MARKUS 9:30-50

MARKUS 9:30-50 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meninggalkan tempat itu lalu meneruskan perjalanan melalui Galilea. Yesus tidak mahu orang tahu di mana Dia, kerana Dia sedang mengajar pengikut-pengikut-Nya. Dia berkata, “Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan manusia, lalu Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian Dia akan bangkit semula!” Mereka tidak memahami makna ajaran itu, tetapi mereka takut bertanya kepada Yesus. Mereka tiba di Kapernaum. Setelah mereka masuk ke rumah, Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apakah yang kamu persoalkan di tengah jalan tadi?” Mereka tidak menjawab, kerana sewaktu dalam perjalanan, mereka mempersoalkan siapa yang terbesar. Yesus duduk, lalu memanggil dua belas orang pengikut-Nya. Dia berkata kepada mereka, “Sesiapa yang mahu menjadi pertama, mesti menjadi yang terakhir dan menjadi hamba semua orang.” Setelah itu Dia memanggil seorang kanak-kanak, lalu menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. Yesus memeluk kanak-kanak itu sambil berkata kepada mereka, “Sesiapa yang menyambut kanak-kanak seperti ini kerana Aku, menyambut Aku. Sesiapa yang menyambut Aku, menyambut bukan Aku sahaja, tetapi juga Allah yang mengutus Aku.” Yohanes berkata kepada Yesus, “Guru, kami nampak seorang mengusir roh jahat dengan nama Guru. Kami melarang dia, kerana dia tidak termasuk golongan kita.” Yesus berkata kepada mereka, “Jangan larang dia, kerana tiada seorang pun yang telah melakukan mukjizat dengan nama-Ku, akan segera memburuk-burukkan Aku. Sesiapa yang tidak melawan kita, berpihak kepada kita. Ingatlah! Sesiapa yang memberi kamu minuman kerana kamu pengikut Kristus, pasti akan menerima pahalanya.” “Sesiapa menyebabkan salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini tidak lagi percaya kepada-Ku, lebih baik jika batu kisaran diikatkan pada leher orang itu, lalu dia dibuang ke dalam laut. Jika tanganmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah tangan itu! Lebih baik kamu hidup tanpa sebelah tangan daripada kamu dengan kedua-dua belah tangan masuk ke dalam neraka, ke dalam api yang kekal. [ Di sana ulat tidak dapat mati dan api tidak pernah padam.] Jika kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah kaki itu! Lebih baik kamu hidup tanpa sebelah kaki daripada kamu dengan kedua-dua belah kaki dibuang ke dalam neraka. [ Di sana ulat tidak dapat mati dan api tidak pernah padam.] Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah mata itu! Lebih baik kamu menikmati Dunia Baru Allah dengan hanya sebelah mata, daripada kamu dengan kedua-dua belah mata dibuang ke dalam neraka. Di sana ulat tidak dapat mati dan api tidak pernah padam. Setiap orang akan dimurnikan dengan api, sebagaimana persembahan korban dimurnikan dengan garam. Garam itu baik, tetapi jika garam sudah menjadi tawar, garam itu tidak dapat menjadi masin lagi. Hendaklah kamu menjadi seperti garam serta hidup rukun.”

MARKUS 9:30-50 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka undorlah marika itu deri situ, sŭrta mŭlalui Galilia; maka tiadalah Isa mau sa’orang pun mŭngtahui dia. Kŭrna diajarnya akan murid muridnya, sŭrta katanya kapada marika itu, Adapun Anak manusia itu akan tŭrsŭrah katangan manusia, maka marika itu akan mŭmbunoh dia: maka kumdian deripada dibunohnya iya kŭlak akan bŭrbangkit pada hari yang katiga. Tŭtapi marika itu tiadalah mŭngarti akan pŭrkataannya itu, maka takotlah handak bŭrtanya kapadanya. ¶ Hata datanglah iya kaKapŭrnaum, tŭtkala ada iya dalam rumah, maka ditanyanya kapada marika itu, Apakah dia itu yang mŭndatangkan pŭrbantahan diantara kamu skalian dijalan. Tŭtapi marika itu skalian tiadalah bŭrkata kata, kŭrna marika itu bŭrbantah sama sŭndirinya, siapakah akan mŭnjadi lebih bŭsar? Maka dudoklah Isa sŭrta dipanggilnya kadua blas orang itu sambil katanya kapada marika itu, Jikalau barang siapa handak mŭnjadi yang pŭrtama, maka iya itulah kŭlak mŭnjadi yang kumdian skali, dan hamba skalian. Maka diambilnya sa’orang kanak kanak sŭrta dilŭtakkannya ditŭngah tŭngah marika itu, maka apabila didukongnya akan dia, sŭrta katanya kapada marika itu; Barang siapa yang akan mŭnyambut sa’orang yang sapŭrti kanak kanak ini dŭngan namaku, iya itu mŭnyambut aku, maka barang siapa yang akan mŭnyambut aku, maka bukannya mŭnyambut aku mŭlainkan Iya yang tŭlah mŭnyurohkan aku. ¶ Maka jawab Yahya, sŭrta katanya kapadanya, Guru bahwa kami tŭlah mŭlihat sa’orang yang mŭmbuangkan hantu hantu dŭngan namamu: tŭtapi iya tiada mŭnurut akan kami, maka kami larangkan dia, kŭrna iya tiada mŭnurot akan kami. Tŭtapi kata Isa Janganlah larangkan dia; maka sa’orang pun tiada bulih mŭmbuat suatu mujizat dalam namaku, yang bulih dŭngan sŭgranya bŭrtutor jahat akan daku; Kŭrna barang siapa yang tiada mŭlawan kami, maka iyalah disŭblah kami. Kŭrna barang siapa yang mŭmbri angkau sachawan ayer minum dŭngan namaku, ulih sŭbab kamu milek Almasih; maka sasunggohnya aku bŭrkata kapadamu, maka faala itu tiada akan hilang. Maka barang siapa yang mŭndatangkan shak kapada sa’orang yang tŭrkŭchil skalipun, yang pŭrchaya akan daku, maka tŭrlebih baik padanya digantongkan dilehernya suatu batu kisaran dibuangkan kalaut. Maka jikalau tangan kamu mŭndatangkan shak bagiemu, kudongkanlah akan dia, maka tŭrlebih baik bagiemu masok kadalam kahidopan yang kŭkal dŭngan kudong tangan, deripada kadua blah tangan masok kadalam naraka, kadalam api yang tiada akan dipadamkan skali kali; Maka disanalah hulatnya itu tiada mati, dan apinya itu pun tiada padam. Maka jikalau kakimu mŭndatangkan shak bagiemu, kudongkanlah akan dia, maka tŭrlebih baik bagiemu masok dŭngan tempangmu kadalam hayat yang kŭkal, deripada bŭrdua kakimu itu dibuangkan kadalam naraka, kadalam api yang tiada akan dipadamkan skali kali; Maka disana hulatnya tiada mati, dan apinya pun tiada padam. Maka jikalau matamu mŭndapatkan shak bagiemu, korekkanlah dia, maka tŭrlebih baik bagiemu masok kŭdalam krajaan Allah dŭngan sa’buah mata deripada kadua mata akan dichampakkan kŭdalam api nŭraka. Maka disana hulatnya tiada mati, dan apinya pun tiada padam. Kŭrna masing masing orang akan digarami dŭngan api, tiap tiap korban itu akan digarami dŭngan garam. Adapun garam itu baik adanya: tŭtapi jikalau garam itu hilanglah masinnya, dŭngan apakah bulih dipulangkan baiknya? Maka handaklah ada garam dalam dirimu sŭndiri, dan handaklah ada pŭrdamiean sa’orang dŭngan sa’orang.

MARKUS 9:30-50 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, Yesus dan murid-murid-Nya beredar dari situ dan meneruskan perjalanan melalui Galilea. Dia tidak mahu orang tahu Dia di mana kerana Dia sedang mengajar murid-murid-Nya. Dia berkata kepada mereka, “Anak Manusia akan diserahkan ke dalam tangan manusia dan akan dibunuh, tetapi selepas tiga hari Dia akan bangkit semula.” Mereka tidak faham erti kata-kata itu tetapi takut hendak bertanya kepada Yesus. Mereka tiba di Kapernaum. Setelah tiba di rumah, Yesus bertanya kepada murid-murid-Nya, “Apa yang kamu persoalkan di jalan tadi?” Mereka tidak menjawab, kerana dalam perjalanan mereka telah mempersoalkan siapa yang terbesar. Yesus duduk lalu memanggil murid-Nya yang dua belas itu. Dia berkata kepada mereka, “Kalau sesiapa ingin menjadi yang terdahulu, dia mestilah menjadi yang terakhir dan hamba kepada semua orang.” Selepas itu, Dia memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. Dia mendakap kanak-kanak itu sambil berkata kepada mereka, “Sesiapa yang menyambut seorang kanak-kanak seperti ini kerana nama-Ku, menyambut-Ku. Sesiapa yang menyambut-Ku bukanlah menyambut-Ku tetapi menyambut Dia yang mengutus-Ku.” Yohanes berkata kepada Yesus, “Guru, kami melihat seorang lelaki menghalau roh-roh iblis dengan nama-Mu, lalu kami larang dia, kerana dia bukan dalam kumpulan kita.” Tetapi Yesus berkata, “Jangan larang dia, kerana seseorang yang melakukan mukjizat dengan nama-Ku tidak mungkin mencela-Ku sejurus selepas itu. Orang yang tidak menentang kita, memihak kepada kita. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang memberimu secawan air dalam nama-Ku, kerana kamu pengikut Kristus, pasti akan mendapat ganjarannya.” “Tetapi sesiapa yang menyebabkan seorang daripada kanak-kanak yang percaya kepada-Ku ini berdosa, lebih baiklah baginya jika batu kisar diikatkan ke lehernya dan dia dicampakkan ke dalam laut. Jika tanganmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah tangan itu! Lebih baik kamu memasuki hidup dalam keadaan kudung sebelah tangan, daripada mempunyai dua tangan tetapi terhumban ke dalam neraka, ke dalam api yang tidak terpadam. Di sana cacingnya tidak akan mati dan apinya tidak akan padam. Jika kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah kaki itu. Lebih baik kamu memasuki hidup dalam keadaan kudung, daripada memiliki dua kaki tetapi terhumban ke dalam neraka. Di sana cacingnya tidak akan mati dan apinya tidak akan padam. Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah mata itu. Lebih baik kamu memasuki kerajaan Allah dengan sebelah mata sahaja, daripada memiliki dua mata tetapi terhumban ke dalam neraka. Di sana ‘cacingnya tidak akan mati, dan apinya tidak akan padam.’ ” Setiap orang akan disaluti api. “Garam itu baik, tetapi jika menjadi tawar, bagaimanakah garam dapat dimasinkan semula? Adakanlah garam pengukuh dalam dirimu, dan hiduplah rukun damai sesamamu.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami