MARKUS 9:14-29

MARKUS 9:14-29 BM

Apabila mereka kembali kepada pengikut-pengikut yang lain, mereka nampak orang ramai di situ. Beberapa orang guru Taurat sedang bersoal jawab dengan pengikut-pengikut Yesus. Sebaik sahaja orang ramai melihat Yesus, mereka kehairanan, lalu berlari menyambut Dia. Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apa yang kamu persoalkan dengan mereka?” Seorang daripada orang ramai itu menjawab, “Guru, saya membawa anak saya kepada pengikut-pengikut guru. Dia bisu kerana dirasuk roh jahat. Apabila roh jahat menyerang dia, tubuhnya dibanting-banting ke tanah dan mulutnya berbuih. Giginya berkertak dan badannya menjadi kaku. Saya meminta pengikut-pengikut guru mengusir roh jahat itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” Yesus berkata kepada mereka, “Hai kamu orang yang tidak percaya! Berapa lamakah harus Aku tinggal bersama-sama kamu? Berapa lamakah harus Aku bersabar terhadap kamu? Bawa anak itu ke mari!” Mereka pun membawa dia kepada Yesus. Sebaik sahaja roh jahat itu melihat Yesus, roh jahat itu membuat anak itu kena sawan sehingga anak itu jatuh terguling-guling ke tanah. Mulutnya berbuih. Yesus bertanya kepada bapa anak itu, “Sudah berapa lamakah dia begini?” Bapanya menjawab, “Sejak dia masih kanak-kanak lagi! Sering kali roh jahat itu cuba membunuhnya dengan membuang dia ke dalam api atau air. Kasihanilah kami dan tolonglah kami, sekiranya guru dapat menolong!” “Apa katamu? Jika guru dapat?” jawab Yesus. “Orang yang percaya kepada Allah dapat melakukan segala sesuatu!” Bapa itu segera berseru, “Saya percaya, tetapi iman saya kurang. Tolonglah saya supaya lebih percaya lagi!” Yesus melihat bahawa orang ramai mula datang berkerumun. Oleh itu Dia memerintah roh jahat itu dengan berkata, “Roh tuli dan bisu, Aku memerintah kamu keluar daripada anak ini dan jangan sekali-kali masuk lagi!” Roh jahat itu berteriak dan membuat anak itu berkejang-kejang, lalu keluar daripada anak itu. Anak itu kelihatan seperti mayat sehingga semua orang berkata, “Dia sudah mati!” Tetapi Yesus memegang tangannya dan menolong dia bangun. Anak itu pun berdiri. Kemudian Yesus masuk ke dalam rumah. Apabila tiada orang lain di situ, pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Mengapakah kami tidak dapat mengusir roh jahat itu?” Yesus menjawab, “Tiada cara lain yang dapat mengusir roh jahat semacam ini, kecuali dengan doa.”