Yesus kembali ke seberang tasik. Di pantai tasik itu, banyak sekali orang datang berkumpul di sekeliling Yesus. Yairus, ketua rumah ibadat tempatan, datang juga dan ketika dia melihat Yesus, dia sujud di hadapan Yesus. Dia memohon dengan sungguh-sungguh, “Guru, anak perempuan saya sakit tenat. Tolonglah datang dan letakkanlah tangan guru padanya, supaya dia sembuh dan tidak mati!” Yesus pun pergi bersama-sama Yairus. Orang yang mengikut Yesus amat banyak sehingga Dia diasak dari semua sisi. Di situ ada seorang wanita yang menderita penyakit pendarahan teruk yang berkaitan dengan haidnya selama dua belas tahun. Dia sudah menghabiskan segala hartanya untuk membayar rawatan doktor, tetapi dia tidak sembuh, malahan semakin parah keadaannya. Wanita itu telah mendengar banyak hal tentang Yesus. Oleh itu dia datang ke tengah-tengah orang ramai dan mendekati Yesus dari belakang. “Jika aku dapat menyentuh jubah-Nya,” kata wanita itu dalam hati, “tentu aku akan sembuh.” Dia menyentuh jubah Yesus dan seketika itu juga pendarahannya berhenti. Wanita itu berasa dirinya sudah sembuh. Pada saat itu juga Yesus menyedari ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya. Yesus berpaling kepada orang ramai dan bertanya, “Siapa yang menyentuh jubah-Ku?” Pengikut-pengikut-Nya berkata, “Lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Guru. Mengapa Guru bertanya siapa yang menyentuh Guru?” Tetapi Yesus memandang di sekeliling-Nya untuk mencari orang yang telah menyentuh-Nya. Wanita itu tahu akan apa yang telah berlaku pada dirinya. Dia gementar kerana takut, lalu sujud di hadapan Yesus dan memberitahu Dia segala-galanya. Yesus berkata kepada wanita itu, “Hai anak-Ku, kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh. Pergilah dengan sejahtera. Kamu sihat sekarang!”
Baca MARKUS 5
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: MARKUS 5:21-34
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video