Selanjutnya Yesus berkata, “Pernahkah seseorang memasang pelita lalu meletakkannya di bawah pasu ataupun di bawah katil? Tentu pelita itu diletakkannya di atas kaki pelita. Apa yang tersembunyi akan dinyatakan, dan apa yang dirahsiakan akan didedahkan. Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik.” Yesus juga berkata kepada mereka, “Perhatikanlah apa yang kamu dengar! Ukuran yang kamu gunakan untuk menghakimi orang akan digunakan oleh Allah juga untuk kamu - malahan lebih berat lagi! Seseorang yang mempunyai sesuatu akan diberikan lebih banyak lagi; tetapi seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga.” Yesus berkata lagi, “Apabila Allah memerintah, keadaannya dapat diumpamakan seperti seorang yang menabur benih di ladangnya. Pada malam hari dia tidur; pada siang hari dia bekerja. Sementara itu, benih itu terus-menerus tumbuh dan membesar. Orang itu tidak mengerti bagaimana hal itu berlaku. Tanah itulah yang menumbuhkan tanaman sehingga berbuah: mula-mula pucuk, kemudian bulir dan akhirnya buah. Manakala buahnya masak, orang itu pun mula menuainya kerana musim menuai sudah tiba.” “Bagaimanakah keadaannya apabila Allah memerintah?” tanya Yesus. “Perumpamaan apa yang dapat kita gunakan untuk menerangkannya? Keadaannya seperti berikut. Biji sawi adalah benih yang terkecil di dunia. Seseorang mengambilnya lalu menanamnya di tanah. Beberapa waktu kemudian benih itu tumbuh dan menjadi yang terbesar di antara segala tumbuh-tumbuhan. Cabangnya rimbun sehingga burung datang membuat sarang di bawah keteduhannya.” Demikianlah Yesus mengajar dengan menggunakan banyak perumpamaan seperti itu. Dia mengajarkan perkhabaran itu sejauh mana mereka dapat mengerti. Dia sentiasa menggunakan perumpamaan apabila mengajar. Tetapi manakala Dia sendirian dengan pengikut-Nya, Dia menjelaskan segala-galanya. Pada petang hari itu juga, Yesus berkata kepada pengikut-Nya, “Marilah kita menyeberang tasik.” Sementara Yesus masih di dalam perahu, para pengikut-Nya meninggalkan orang ramai. Setelah itu pengikut-pengikut Yesus belayar bersama dengan Dia. Ada juga perahu-perahu lain yang belayar bersama-sama. Lalu angin kencang bertiup dan ombak melanda perahu sehingga hampir penuh dengan air. Tetapi Yesus sedang tidur di bahagian belakang perahu itu, dengan kepala-Nya beralaskan bantal. Pengikut-pengikut-Nya membangunkan Dia dan berkata, “Guru, tidakkah Guru peduli? Kita hampir tenggelam!” Yesus bangun lalu menengking angin, dan berkata kepada ombak, “Diam! Tenanglah!” Angin pun reda dan tasik menjadi tenang sekali. Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Mengapakah kamu takut? Mengapa kamu masih belum percaya kepada-Ku?” Mereka menjadi sangat takut sehingga mula bercakap sesama sendiri, “Siapakah orang ini? Angin dan ombak pun taat kepadanya!”
Baca MARKUS 4
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: MARKUS 4:21-41
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video