MARKUS 4:1-20

MARKUS 4:1-20 BM

Yesus mula mengajar lagi di tepi Tasik Galilea. Orang yang mengerumuni-Nya begitu banyak sehingga Dia terpaksa duduk di sebuah perahu di tasik itu. Orang ramai berdiri di tepi tasik. Yesus mengajar banyak perkara kepada mereka dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, “Dengarlah! Seorang peladang pergi menabur benih. Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan. Lalu burung datang dan makan habis benih itu. Ada juga yang jatuh di tempat berbatu yang sedikit tanahnya. Benih-benih ini segera tumbuh kerana kurang tanah, tetapi apabila matahari naik, tunas-tunas itu layu, lalu kering. Tumbuhan itu mati kerana akarnya tidak dalam. Ada pula yang jatuh di tengah semak berduri. Semak berduri ini tumbuh dan membantutkan tumbuhan tersebut sehingga tidak berbuah. Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur. Benih-benih itu bertunas, membesar, lalu berbuah. Ada yang tiga puluh kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang seratus kali ganda hasilnya.” Lalu Yesus berkata, “Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!” Apabila Yesus sendirian, beberapa orang yang telah mendengar ajaran-Nya datang kepada-Nya bersama dengan dua belas orang pengikut-Nya. Mereka meminta Yesus menerangkan erti perumpamaan itu. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu telah diberikan anugerah untuk mengetahui rahsia tentang bagaimana Allah memerintah. Tetapi orang luar akan mendengar segalanya melalui perumpamaan supaya, ‘Mereka akan melihat dan melihat, tetapi tidak nampak, mereka akan mendengar dan mendengar, tetapi tidak faham, kerana jika mereka memahaminya, mereka akan kembali kepada Allah dan Dia akan mengampuni mereka.’ ” Kemudian Yesus bertanya kepada mereka, “Jika kamu tidak memahami perumpamaan ini, bagaimanakah kamu dapat memahami perumpamaan yang lain? Peladang itu menabur perkhabaran Allah. Benih yang jatuh di jalan bagaikan orang yang mendengar perkhabaran Allah. Tetapi sebaik sahaja mereka mendengarnya, Iblis datang lalu mengambil perkhabaran yang sudah ditabur di dalam hati mereka. Benih yang jatuh di tempat berbatu bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu dan menerimanya dengan sukacita. Tetapi perkhabaran itu tidak berakar di dalam hati, sehingga mereka tidak tahan lama. Apabila mereka menderita kesusahan atau penganiayaan kerana perkhabaran itu, dengan segera mereka tidak lagi percaya kepada perkhabaran itu. Benih yang jatuh di tengah semak berduri bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu. Tetapi kekhuatiran tentang hidup, keinginan untuk hidup mewah, dan pelbagai keinginan lain memenuhi hati mereka dan membantutkan perkhabaran itu sehingga tidak berbuah. Tetapi benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu dan menerimanya, lalu berbuah; ada yang tiga puluh, ada yang enam puluh, dan ada yang seratus kali ganda hasilnya.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami