MARKUS 14:43-65

MARKUS 14:43-65 BM

Yesus masih berkata-kata apabila Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut-Nya tiba. Bersama dengan dia datang juga sekumpulan orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka diutus oleh para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi. Pengkhianat itu telah menentukan suatu tanda bagi mereka. Dia berkata, “Orang yang saya cium, itulah Dia. Tangkaplah Dia dan bawalah Dia dengan kawalan yang ketat!” Sebaik sahaja Yudas tiba, dia menghampiri Yesus lalu berkata, “Guru!” seraya mencium Dia. Lalu mereka menangkap Yesus dan memegang Dia dengan kuat. Tetapi salah seorang di situ menghunus pedangnya lalu memukul hamba Imam Agung serta mengerat telinganya. Yesus berkata kepada mereka, “Mestikah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku, seolah-olah Aku ini penjahat? Berhari-hari Aku mengajar di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku. Memang apa yang tertulis di dalam Alkitab mesti berlaku.” Ketika itu semua pengikut Yesus lari meninggalkan Dia. Seorang lelaki muda yang memakai sehelai kain linen untuk menutupi badan, mengikuti Yesus. Apabila orang cuba menangkap lelaki itu, dia melepaskan kainnya lalu lari bertelanjang. Kemudian mereka membawa Yesus ke rumah Imam Agung. Di situ semua ketua imam, pemimpin masyarakat orang Yahudi, dan guru Taurat sedang berkumpul. Petrus mengikut dari jauh lalu masuk ke halaman rumah Imam Agung itu. Dia duduk berdiang dengan pengawal-pengawal. Para ketua imam dan seluruh Majlis Agama berusaha mencari bukti-bukti untuk menyalahkan Yesus, supaya mereka dapat menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. Tetapi mereka tidak mendapat satu bukti pun. Banyak saksi memberikan kesaksian palsu terhadap Yesus, tetapi kesaksian mereka saling bertentangan. Kemudian beberapa orang berdiri dan memberikan kesaksian palsu tentang Yesus. Mereka berkata, “Kami mendengar orang ini berkata, ‘Aku akan merobohkan Rumah Tuhan yang dibina oleh manusia, lalu selepas tiga hari Aku akan membina yang lain yang bukan buatan manusia.’ ” Tetapi kesaksian mereka pun saling bertentangan. Setelah itu Imam Agung berdiri di hadapan mereka semua dan bertanya kepada Yesus, “Tidakkah kamu mahu menjawab tuduhan yang ditujukan kepadamu?” Yesus diam sahaja dan tidak mahu berkata sepatah pun. Sekali lagi Imam Agung bertanya kepada-Nya, “Kamukah Penyelamat yang diutus oleh Allah, Anak Allah Yang Maha Suci?” Yesus menjawab, “Ya! Kamu semua akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa, serta datang dikelilingi awan dari langit!” Imam Agung mengoyakkan pakaiannya dan berkata, “Kita tidak memerlukan saksi lagi! Kamu sudah mendengar dia mengkufuri Allah! Apakah keputusan kamu?” Mereka semua mengambil keputusan bahawa Yesus memang bersalah dan mesti dihukum mati. Beberapa orang mula meludahi Yesus. Mereka menutupi mata-Nya dan memukul Dia. “Tekalah,” kata mereka, “siapa yang memukul kamu?” Pengawal-pengawal di situ pun menampar Dia.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan MARKUS 14:43-65