MARKUS 10:26-45

MARKUS 10:26-45 BM

Pengikut-pengikut Yesus hairan mendengar kata-kata itu, lalu mereka bertanya sesama sendiri, “Jika demikian, siapakah yang boleh diselamatkan?” Yesus memandang mereka lalu menjawab, “Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi tidak mustahil bagi Allah kerana Allah dapat melakukan segala perkara.” Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru.” “Betul!” kata Yesus, “Percayalah kepada-Ku: Sesiapa yang meninggalkan rumah tangganya, atau saudara lelakinya atau saudara perempuannya, atau ibunya, atau bapanya, atau anak-anaknya, atau ladangnya kerana Aku dan kerana Berita Baik itu, akan menerima lebih banyak lagi pada zaman ini. Orang itu akan menerima seratus kali ganda rumah, saudara lelaki, saudara perempuan, ibu, anak-anak, ladang, dan juga penganiayaan. Pada zaman yang akan datang orang itu akan beroleh hidup sejati dan kekal. Tetapi banyak orang yang sekarang ini terdahulu akan menjadi yang terakhir, dan yang sekarang ini terakhir akan menjadi yang terdahulu.” Yesus dan pengikut-pengikut-Nya sedang dalam perjalanan ke Yerusalem. Yesus berjalan di hadapan, sementara pengikut-pengikut-Nya mengikuti-Nya dengan cemas. Orang ramai yang mengikut mereka pun takut. Sekali lagi Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya ke tepi, lalu berkata kepada mereka tentang apa yang akan berlaku terhadap diri-Nya. “Dengarlah,” kata-Nya, “Kita sekarang sedang menuju ke Yerusalem. Di situ Anak Manusia akan diserahkan kepada para ketua imam dan guru Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya, lalu menyerahkan Dia kepada orang bukan Yahudi. Mereka akan mengolok-olok Dia, meludahi Dia, menyesah Dia, dan membunuh Dia. Tetapi selepas tiga hari, Dia akan bangkit semula.” Lalu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus datang kepada Yesus. “Guru,” kata mereka, “ada satu perkara yang kami hendak Guru lakukan untuk kami.” “Apakah yang kamu mahu Aku lakukan untuk kamu?” tanya Yesus. Mereka menjawab, “Apabila Guru bertakhta dalam kemuliaan, benarkanlah kami duduk di sebelah kanan dan kiri Guru.” Yesus berkata kepada mereka, “Kamu tidak mengetahui apa yang kamu minta. Sanggupkah kamu minum dari cawan penderitaan yang akan Aku minum? Sanggupkah kamu mengalami baptisan penderitaan yang akan Aku alami?” “Sanggup,” jawab mereka. Yesus berkata kepada mereka, “Memang kamu akan minum dari cawan penderitaan yang akan Aku minum dan kamu akan mengalami baptisan penderitaan seperti yang akan Aku alami. Tetapi Aku tidak berhak menentukan orang yang akan duduk di sebelah kanan atau kiri-Ku. Allah yang menentukan siapa orangnya yang akan duduk di tempat itu.” Ketika sepuluh orang pengikut-Nya yang lain mendengar hal itu, mereka marah terhadap Yakobus dan Yohanes. Yesus memanggil mereka semua lalu berkata, “Kamu tahu bahawa para penguasa bangsa yang tidak mengenal Allah menindas rakyat. Para pemimpin mereka selalu menekan rakyat. Tetapi tidak demikian halnya dengan kamu. Jika seorang antara kamu hendak menjadi besar, dia harus melayani orang lain. Jika seorang antara kamu hendak menjadi yang pertama, dia harus menjadi hamba kamu semua. Anak Manusia tidak datang untuk dilayani; Dia datang untuk melayani orang serta menyerahkan nyawa-Nya untuk membebaskan banyak orang.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan MARKUS 10:26-45

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami