MARKUS 1:1-20

MARKUS 1:1-20 BM

Inilah Berita Baik tentang Yesus Kristus, Anak Allah. Berita Baik ini bermula seperti yang ditulis oleh Nabi Yesaya, “Allah berfirman, ‘Inilah utusan-Ku. Aku akan mengutus dia terlebih dahulu daripada-Mu, supaya dia menyediakan jalan bagi-Mu.’ Seorang berseru di padang gurun, ‘Sediakanlah jalan bagi Tuhan; luruskanlah jalan bagi-Nya!’ ” Demikianlah Yohanes muncul di padang gurun. Dia membaptis orang dan mengisytiharkan berita daripada Allah. “Bertaubatlah daripada dosa kamu dan hendaklah kamu dibaptis, supaya Allah mengampunkan dosa kamu,” kata Yohanes kepada orang ramai. Banyak sekali orang yang datang dari negeri Yudea dan kota Yerusalem untuk mendengarkan Yohanes. Mereka mengakui dosa dan Yohanes membaptis mereka di Sungai Yordan. Yohanes mengenakan pakaian yang dibuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya dibuat daripada kulit. Dia makan belalang dan madu hutan. Dia mengisytiharkan berita ini, “Dia yang lebih besar daripada aku akan datang kelak. Aku tidak layak membongkok untuk mengurai tali kasut-Nya. Aku membaptis kamu dengan air, tetapi Dia akan membaptis kamu dengan Roh Allah.” Kemudian Yesus datang dari Nasaret di negeri Galilea, lalu Yohanes membaptis Dia di Sungai Yordan. Sebaik sahaja Yesus keluar dari sungai itu, Dia nampak langit terbuka dan Roh Allah seperti burung merpati turun ke atas-Nya. Lalu terdengarlah suara Allah, “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hati-Ku.” Roh Allah segera memimpin Yesus ke padang gurun. Selama empat puluh hari Yesus di situ, dan dicubai oleh Iblis. Binatang liar juga ada di situ, dan malaikat datang menolong Dia. Setelah Yohanes dipenjarakan, Yesus pergi ke Galilea dan mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah. Dia berkata, “Masanya sudah tiba; tidak lama lagi Allah akan memerintah. Bertaubatlah daripada dosa kamu dan percayalah kepada Berita Baik ini!” Sementara Yesus berjalan di tepi Tasik Galilea, Dia nampak dua orang nelayan, Simon dan saudaranya, Andreas. Mereka sedang menjala ikan di tasik. Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku dan Aku akan mengajar kamu menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.” Mereka segera meninggalkan jala lalu mengikut Yesus. Yesus meneruskan perjalanan-Nya, lalu melihat dua orang adik-beradik yang lain: Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Mereka sedang mengemaskan jala di dalam perahu. Sebaik sahaja Yesus nampak mereka, Dia memanggil mereka. Kedua-dua orang bersaudara itu meninggalkan bapa mereka dengan orang gajinya di dalam perahu, lalu mengikut Yesus.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan MARKUS 1:1-20

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami