MARKUS 1:1-20

MARKUS 1:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Inilah Berita Baik tentang Yesus Kristus, Anak Allah. Berita Baik ini bermula seperti yang ditulis oleh Nabi Yesaya, “Allah berfirman, ‘Inilah utusan-Ku. Aku akan mengutus dia terlebih dahulu daripada-Mu, supaya dia menyediakan jalan bagi-Mu.’ Seorang berseru di padang gurun, ‘Sediakanlah jalan bagi Tuhan; luruskanlah jalan bagi-Nya!’ ” Demikianlah Yohanes muncul di padang gurun. Dia membaptis orang dan mengisytiharkan berita daripada Allah. “Bertaubatlah daripada dosa kamu dan hendaklah kamu dibaptis, supaya Allah mengampunkan dosa kamu,” kata Yohanes kepada orang ramai. Banyak sekali orang yang datang dari negeri Yudea dan kota Yerusalem untuk mendengarkan Yohanes. Mereka mengakui dosa dan Yohanes membaptis mereka di Sungai Yordan. Yohanes mengenakan pakaian yang dibuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya dibuat daripada kulit. Dia makan belalang dan madu hutan. Dia mengisytiharkan berita ini, “Dia yang lebih besar daripada aku akan datang kelak. Aku tidak layak membongkok untuk mengurai tali kasut-Nya. Aku membaptis kamu dengan air, tetapi Dia akan membaptis kamu dengan Roh Allah.” Kemudian Yesus datang dari Nasaret di negeri Galilea, lalu Yohanes membaptis Dia di Sungai Yordan. Sebaik sahaja Yesus keluar dari sungai itu, Dia nampak langit terbuka dan Roh Allah seperti burung merpati turun ke atas-Nya. Lalu terdengarlah suara Allah, “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hati-Ku.” Roh Allah segera memimpin Yesus ke padang gurun. Selama empat puluh hari Yesus di situ, dan dicubai oleh Iblis. Binatang liar juga ada di situ, dan malaikat datang menolong Dia. Setelah Yohanes dipenjarakan, Yesus pergi ke Galilea dan mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah. Dia berkata, “Masanya sudah tiba; tidak lama lagi Allah akan memerintah. Bertaubatlah daripada dosa kamu dan percayalah kepada Berita Baik ini!” Sementara Yesus berjalan di tepi Tasik Galilea, Dia nampak dua orang nelayan, Simon dan saudaranya, Andreas. Mereka sedang menjala ikan di tasik. Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku dan Aku akan mengajar kamu menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.” Mereka segera meninggalkan jala lalu mengikut Yesus. Yesus meneruskan perjalanan-Nya, lalu melihat dua orang adik-beradik yang lain: Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Mereka sedang mengemaskan jala di dalam perahu. Sebaik sahaja Yesus nampak mereka, Dia memanggil mereka. Kedua-dua orang bersaudara itu meninggalkan bapa mereka dengan orang gajinya di dalam perahu, lalu mengikut Yesus.

MARKUS 1:1-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

ADAPUN pŭrmulaan Injil Isa Almasih, Anak Allah; Maka spŭrti yang tŭrsurat ulih nabi nabi, Bahwa sasungguhnya aku mŭnyuroh surohanku dihadapanmu, yang akan mŭmbŭtolkan jalanmu dihadapanmu. Maka adalah suatu suara orang bŭrsru dipadang bŭlantara, Sŭdiakanlah ulihmu akan jalan Tuhan, bŭtolkanlah lorong lorongnya. Adapun Yahya itu mŭmbaptisakan orang dipadang bŭlantara, sŭrta mŭngajarkan baptisan akan taubat, supaya sagala dosa diampuni. Maka kluarlah sŭmua orang isi tanah Yahuda, dan isi Jerusalem datang kapadanya, maka skaliannya itu pun dibaptiskannyalah dalam sungie Jordan, sŭrta mŭngakulah marika itu akan dosa dosanya. Shahadan pakiean Yahya itu deripada bulu onta, dan ikat pinggangnya deripada kulit; dan iya tŭlah mŭmakan bilalang dan ayer madu dihutan; Sŭrta mŭngajar, katanya, Yang akan datang kumdian deri padaku kŭlak, iya itulah sa’orang yang tŭrlebih kwasa deri padaku, maka tiadalah layak bagieku tundok mŭmbuka tali trompanya. Maka sasungguhnya aku tŭlah mŭmbaptisakan kamu dŭngan ayer, akan tŭtapi iya kŭlak akan mŭmbaptisakan kamu dŭngan Roh Alkudus. Sŭbarmula maka pada masa itu datanglah Isa deri Nazareth tanah Galilia, iya itu dibaptisakan ulih Yahya dalam sungie Jordan. Maka sŭrta iya kluar deri dalam ayer itu, dilihatnya langit tŭrbuka, maka Roh itu spŭrti sa’ekor mŭrpati turon kapadanya. Maka datanglah suatu suara deri langit, katanya, Angkaulah Anakku yang kukasihi, kapadamulah juga aku suka chita. Maka sŭbŭntar itu juga dibawalah ulih Roh akan dia kadalam padang bŭlantara. Maka adalah iya dalam padang itu ampat puloh hari dichobai ulih Shietan, sŭrta adalah iya bŭrsama sama dŭngan binatang binatang yang buas, maka mŭliekat mŭliekat datang bŭrkhodmat kapadanya. ¶ Adapun sŭtlah Yahya itu sudah dimasokkan kadalam pŭnjara, maka Isa pun masoklah kadalam Galilia, mŭngajar Injil krajaan Allah. Katanya, Waktu itu tŭlah gŭnaplah, dan krajaan Allah tŭlah hampirlah; bŭrtaubatlah kamu, sŭrta pŭrchayalah akan Injil. Maka tŭtkala iya bŭrjalan ditŭpi tasik Galilia, maka dilihatnya Simon dŭngan saudaranya Andria, mŭmbuang pukat dalam tasik, kŭrna marika itu nilayan adanya. Maka kata Isa pada marika itu, Marilah kamu ikot akan daku, aku akan mŭnjadikan dikau nilayan manusia. Maka dŭngan sŭgranya marika itu mŭninggalkan pukatnya, lalu mŭngikot dia. Maka apabila bŭrjalanlah iya jauh sŭdikit, dilihatnya pula Yakob anak Zabdi, dan Yahya saudaranya, yang dudok diprahu mŭmbubol pukat pukatnya. Maka dŭngan sŭgranya dipanggilnya akan marika itu, maka marika itu pun mŭninggalkanlah Zabdi, bapanya itu dalam pŭrahu, dŭngan orang upah upahan, lalu diikotnyalah blakangnya.

MARKUS 1:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Inilah permulaan Injil tentang Yesus Kristus, Anak Allah, Seperti yang tersurat dalam kitab Nabi Yesaya: “Ketahuilah, Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu; dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu, satu suara berseru di gurun: ‘Sediakanlah jalan untuk Tuhan, luruskanlah jalan untuk-Nya.’ ” Demikianlah Yohanes muncul di gurun, membaptis orang dan mengkhabarkan satu baptisan pertaubatan untuk pengampunan dosa. Ramailah orang yang datang dari Yudea dan Yerusalem untuk mendengar kata-kata Yohanes. Mereka mengakui dosa mereka lalu dibaptiskan oleh Yohanes di Sungai Yordan. Yohanes memakai pakaian yang dibuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya daripada kulit. Dia makan belalang dan madu gurun. Inilah beritanya: “Seorang yang lebih besar daripadaku akan datang selepasku. Tali kasut-Nya pun tidak layak kuurai. Aku membaptismu dengan air, tetapi Dia akan membaptismu dengan Roh Kudus.” Kemudian Yesus datang dari Nazaret di Galilea, lalu dibaptiskan oleh Yohanes di Sungai Yordan. Ketika Yesus keluar dari sungai itu, Dia melihat langit terbuka dan Roh Kudus seperti burung merpati turun hinggap ke atas-Nya. Lalu kedengaran suara dari syurga: “Engkaulah Anak-Ku yang Kukasihi dan dengan-Mu Aku berkenan.” Lantas, Roh memimpin Yesus ke gurun. Yesus di situ selama empat puluh hari dan digoda oleh Iblis serta dikelilingi binatang liar. Para malaikat datang melayani-Nya. Setelah Yohanes dipenjarakan, Yesus pergi ke Galilea lalu mengkhabarkan Injil daripada Allah. Yesus berkata, “Sudah genap masanya dan kerajaan Allah hampir tiba. Bertaubatlah dan percayalah akan Injil ini!” Ketika Yesus sedang berjalan di pinggir Laut Galilea, Dia ternampak Simon dan saudaranya Andreas, sedang menebarkan jala di danau kerana mereka nelayan. Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku dan Aku akan menjadikan kamu penjala insan.” Dengan serta-merta mereka meninggalkan jala mereka dan mengikut-Nya. Sejurus berjalan, Yesus melihat dua orang lagi adik-beradik, bernama Yakobus dan Yohanes, anak Zebedeus. Mereka sedang duduk mengemaskan jala di dalam perahu. Yesus terus memanggil mereka. Kedua-dua beradik itu meninggalkan bapa mereka, Zebedeus, dengan orang gajinya di dalam perahu, lalu mengikut Yesus.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami