MATIUS 5:17-38

MATIUS 5:17-38 BM

“Janganlah menganggap bahawa Aku datang untuk menghapuskan Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi. Aku tidak datang untuk menghapuskannya, tetapi Aku datang supaya semua ajaran itu berlaku. Ingatlah! Selama langit dan bumi masih ada, titik atau huruf yang terkecil sekalipun di dalam Taurat, tidak akan dihapuskan jika semuanya belum berlaku. Oleh itu, sesiapa melanggar hukum yang paling tidak penting sekalipun, serta mengajar orang lain berbuat demikian, orang itu akan menjadi yang paling tidak penting antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah. Sebaliknya, sesiapa mentaati Taurat dan mengajar orang lain berbuat demikian, orang itu akan menjadi penting antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah. Oleh itu ingatlah bahawa kamu dapat menikmati Pemerintahan Allah, hanya jika kamu lebih setia daripada guru Taurat dan orang Farisi dalam usaha kamu melakukan kehendak Allah.” “Kamu sudah mendengar yang diajarkan kepada nenek moyang kita: ‘Jangan membunuh; sesiapa yang membunuh orang akan diadili.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan diadili; dan sesiapa yang memaki saudaranya akan dibawa ke hadapan Majlis Agama, dan sesiapa yang memanggil saudaranya ‘Jahil’, patut dibuang ke dalam api neraka. Oleh itu, apabila kamu hendak mempersembahkan pemberian di atas mazbah kepada Allah, lalu teringat bahawa saudaramu sakit hati terhadap kamu, tinggalkanlah pemberianmu di hadapan mazbah. Pergilah berdamai dahulu dengan dia, barulah kembali lalu persembahkan pemberian kamu itu kepada Allah. Jika seseorang hendak mendakwa kamu di mahkamah, berdamailah dengan dia selagi ada masa dan sebelum tiba di mahkamah. Jika tidak, orang itu akan menyerahkan kamu kepada hakim, lalu hakim akan menyerahkan kamu kepada polis, kemudian polis akan memenjarakan kamu. Ketahuilah, kamu akan tinggal di penjara sehingga kamu melunaskan semua dendamu.” “Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Jangan berzina.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa memandang seorang wanita dengan perasaan berahi, orang itu sudah berzina dengan dia di dalam hati. Jika mata kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu! Lebih baik kamu kehilangan salah satu anggota tubuh daripada seluruh tubuh kamu dibuang ke dalam neraka. Jika tangan kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buanglah tangan itu! Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan daripada seluruh tubuh kamu masuk ke dalam neraka.” “Ada juga ajaran yang mengatakan, ‘Sesiapa menceraikan isterinya, hendaklah orang itu memberikan surat cerai kepadanya.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa menceraikan isterinya kecuali kerana perzinaan, orang itu membuat isterinya berzina jika wanita ini berkahwin lagi. Orang yang mengahwini wanita yang diceraikan itu, berzina juga.” “Kamu sudah mendengar bagaimana nenek moyang kita diajar seperti berikut: ‘Jangan mungkir janji. Lakukanlah apa yang sudah kamu janjikan dengan sumpah di hadapan Tuhan.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Jangan bersumpah sama sekali. Jangan bersumpah demi langit, kerana langit itu takhta Allah, atau demi bumi, kerana bumi itu alas kaki-Nya; atau demi Yerusalem, kerana kota itu kota Allah, Raja yang besar. Jangan bersumpah bahkan demi kepala kamu, kerana kamu tidak berkuasa membuat sehelai rambut menjadi putih ataupun hitam. Cukuplah kamu berkata ‘Ya’ atau ‘Tidak’. Kata-kata yang lebih daripada itu datangnya daripada Iblis.” “Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Mata ganti mata; gigi ganti gigi.’

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan MATIUS 5:17-38