MATIUS 5:17-38

MATIUS 5:17-38 Alkitab Berita Baik (BM)

“Janganlah menganggap bahawa Aku datang untuk menghapuskan Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi. Aku tidak datang untuk menghapuskannya, tetapi Aku datang supaya semua ajaran itu berlaku. Ingatlah! Selama langit dan bumi masih ada, titik atau huruf yang terkecil sekalipun di dalam Taurat, tidak akan dihapuskan jika semuanya belum berlaku. Oleh itu, sesiapa melanggar hukum yang paling tidak penting sekalipun, serta mengajar orang lain berbuat demikian, orang itu akan menjadi yang paling tidak penting antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah. Sebaliknya, sesiapa mentaati Taurat dan mengajar orang lain berbuat demikian, orang itu akan menjadi penting antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah. Oleh itu ingatlah bahawa kamu dapat menikmati Pemerintahan Allah, hanya jika kamu lebih setia daripada guru Taurat dan orang Farisi dalam usaha kamu melakukan kehendak Allah.” “Kamu sudah mendengar yang diajarkan kepada nenek moyang kita: ‘Jangan membunuh; sesiapa yang membunuh orang akan diadili.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan diadili; dan sesiapa yang memaki saudaranya akan dibawa ke hadapan Majlis Agama, dan sesiapa yang memanggil saudaranya ‘Jahil’, patut dibuang ke dalam api neraka. Oleh itu, apabila kamu hendak mempersembahkan pemberian di atas mazbah kepada Allah, lalu teringat bahawa saudaramu sakit hati terhadap kamu, tinggalkanlah pemberianmu di hadapan mazbah. Pergilah berdamai dahulu dengan dia, barulah kembali lalu persembahkan pemberian kamu itu kepada Allah. Jika seseorang hendak mendakwa kamu di mahkamah, berdamailah dengan dia selagi ada masa dan sebelum tiba di mahkamah. Jika tidak, orang itu akan menyerahkan kamu kepada hakim, lalu hakim akan menyerahkan kamu kepada polis, kemudian polis akan memenjarakan kamu. Ketahuilah, kamu akan tinggal di penjara sehingga kamu melunaskan semua dendamu.” “Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Jangan berzina.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa memandang seorang wanita dengan perasaan berahi, orang itu sudah berzina dengan dia di dalam hati. Jika mata kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu! Lebih baik kamu kehilangan salah satu anggota tubuh daripada seluruh tubuh kamu dibuang ke dalam neraka. Jika tangan kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buanglah tangan itu! Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan daripada seluruh tubuh kamu masuk ke dalam neraka.” “Ada juga ajaran yang mengatakan, ‘Sesiapa menceraikan isterinya, hendaklah orang itu memberikan surat cerai kepadanya.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa menceraikan isterinya kecuali kerana perzinaan, orang itu membuat isterinya berzina jika wanita ini berkahwin lagi. Orang yang mengahwini wanita yang diceraikan itu, berzina juga.” “Kamu sudah mendengar bagaimana nenek moyang kita diajar seperti berikut: ‘Jangan mungkir janji. Lakukanlah apa yang sudah kamu janjikan dengan sumpah di hadapan Tuhan.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Jangan bersumpah sama sekali. Jangan bersumpah demi langit, kerana langit itu takhta Allah, atau demi bumi, kerana bumi itu alas kaki-Nya; atau demi Yerusalem, kerana kota itu kota Allah, Raja yang besar. Jangan bersumpah bahkan demi kepala kamu, kerana kamu tidak berkuasa membuat sehelai rambut menjadi putih ataupun hitam. Cukuplah kamu berkata ‘Ya’ atau ‘Tidak’. Kata-kata yang lebih daripada itu datangnya daripada Iblis.” “Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Mata ganti mata; gigi ganti gigi.’

MATIUS 5:17-38 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Bahwasanya janganlah kamu kirakan, aku datang ini handak mŭrosakkan hukum taurat, atau surat nabi nabi, aku tiada datang mŭrosakkan, mŭlainkan mŭnggŭnapi. Kŭrna sasungguhnya aku bŭrkata kapada kamu, sahingga langit dan bumi ini lŭnyap skali pun, nŭschaya tiada akan bŭrkorangan skali kali suatu nokta, atau kuman deripada hukum taurat, sampielah samuanya digŭnapi juga. Maka sŭbab itu, jikalau barang siapa mŭrosakkan salah suatu deripada hukum yang tŭrkŭchil ini skali pun, dan diajarkannya kapada manusia dŭmkian itu, maka orang itu akan disŭbutkan amat kŭchil dalam krajaan shorga; tŭtapi jikalau dipŭrbuat, dan diajarkannya spŭrti dalam hukum itu, maka orang itu akan disŭbutkan bŭsar dalam krajaan shorga. Kŭrna aku bŭrkata pada kamu, jikalau tiada kabŭnaranmu itu tŭrlebih deripada kabŭnaran khatib khatib dan orang Farisia itu, skali kali tiada dapat kamu masok kadalam krajaan shorga. ¶ Shahadan kamu tŭlah mŭnŭngar pŭrkataan orang dahulu kala, Bahwa janganlah angkau mŭmbunoh orang, dan barang siapa mŭmbunoh itu, maka iya itu patut dihukumkan. Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, Bahwa barang siapa yang marah akan saudaranya dŭngan tiada sŭmŭna mŭna, maka iya itu patutlah dihukumkan; dan barang siapa yang bŭrkata kapada saudaranya, hie jahil, iya itu patutlah dihukumkan ulih mŭjlis bichara; dan barang siapa yang bŭrkata, hie gila, iya itu patutlah dihukumkan dalam api naraka. Maka sŭbab itu, apabila angkau mŭmbawakan pŭrsŭmbahanmu kapada tŭmpat pŭrsŭmblihan, maka disana pun jikalau angkau tŭringat bahwa ada saudaramu kŭchil hati akan dikau; Maka biarlah pŭrsŭmbahan itu dihadapan tŭmpat pŭrsŭmblihan, maka pŭrgilah angkau bŭrdamie dahulu dŭngan saudaramu itu, sŭtlah itu maka datanglah angkau pŭrsŭmbahkan pŭrsŭmbahanmu itu. Maka sŭgralah angkau pŭrgi bŭrdamie dŭngan musohmu, slagi angkau ada bŭrsama sama sa’jalan dŭngan dia, supaya jangan barang bila pun baik, disŭrahkannya angkau kapada hakim, maka hakim pula mŭnyŭrahkan dikau kapada mata mata, maka mata mata itu akan mŭmasokkan dikau kadalam pŭnjara. Bahwa sasungguhnya aku bŭrkata kapadamu, maka sŭblom kiranya angkau mŭmbayar hutangmu itu, jikalau bŭrkorangan satu duit pun, nŭschaya tiada angkau bulih kluar deri sana. ¶ Bŭrmula kamu tŭlah mŭnŭngar pŭrkataan orang dahulu kala, iya itu janganlah angkau bŭrbuat zinah; Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, maka barang sa’orang mŭmandang pŭrampuan sŭrta dŭngan inginnya akan dia, spŭrti sudah iya bŭrbuat zinah dŭngan dia dalam hatinya. Sŭbab itu, jikalau mata kananmu mŭndatangkan salah kapadamu, korekkanlah dia buangkan deripadamu, kŭrna tŭrlebih fiedahnya kalau hilang suatu deripada sagala anggotamu, asal jangan kŭlak sagala tubohmu dimasokkan kadalam api naraka. Dan lagi jikalau tangan kananmu mŭndatangkan salah padamu, potongkanlah dia buangkan deripadamu, kŭrna tŭrlebih fiedahnya kalau hilang suatu deripada anggotamu, asal jangan kŭlak sagala tubohmu itu dimasokkan kadalam naraka. Maka tŭlah dikatakan, barang siapa handak bŭrchŭrie dŭngan istrinya, bahwa patutlah iya mŭmbri surat chŭrie kapadanya; Tŭtapi aku bŭrkata padamu, bahwa barang siapa yang bŭrchŭrie dŭngan istrinya kachuali sŭbab zinah, maka iya itu mŭndatangkan sŭbab kapada pŭrampuan itu bŭrbuat zinah, dan barang siapa pula kahwin dŭngan pŭrampuan yang bŭrchŭrie itu, maka iya pun bŭrbuat zinah juga adanya. ¶ Dan lagi kamu tŭlah mŭnŭngar pŭrkataan orang dahulu kala, bahwa janganlah angkau bŭrsumpah dusta, mŭlainkan handaklah angkau mŭnyampiekan kapada Tuhan akan pŭrkara sumpahmu itu: Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, janganlah angkau bŭrsumpah skali kali, baik dŭmi shorga, kŭrna iya itu arash Allah adanya; Baik dŭmi bumi, kŭrna iya itu alas kakinya, baik dŭmi Jerusalem, kŭrna iya itu nŭgri raja yang maha bŭsar. Maka janganlah angkau bŭrsumpah dŭmi kapalamu, kŭrna tiada angkau kuasa mŭnjadikan sahlie rambut itu puteh atau hitam. Tŭtapi biarlah pŭrkataanmu itu, Ya, ya; Tidak, tidak: kŭrna barang pŭrkataan yang lebih deripada itu, iya itu deri pada yang jahat adanya. ¶ Bahwa kamu tŭlah mŭnŭngar yang tŭlah dikatakan, iya itu Mata ganti mata, dan gigi ganti gigi

MATIUS 5:17-38 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Jangan sangka Aku datang untuk menghapuskan Taurat dan ajaran nabi-nabi. Aku datang bukan untuk menghapuskan tetapi untuk menunaikan segala-galanya. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, selagi ada langit dan bumi, satu titik atau huruf yang terkecil pun tidak akan hapus daripada Taurat sebelum semuanya ternyata berlaku. Dengan demikian, jika seseorang melanggar hukum yang terkecil pun dan mengajar orang lain melanggarnya, dia akan tergolong antara mereka yang paling rendah dalam kerajaan syurga. Sebaliknya, jika seseorang mematuhi Taurat dan mengajar orang lain turut patuh, dia akan menjadi orang yang mulia dalam kerajaan syurga. Maka Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya, kamu tidak akan memasuki kerajaan syurga jika kesalihanmu tidak lebih daripada kesalihan ahli Taurat dan orang Farisi.” “Kamu telah mendengar ajaran daripada nenek moyang kita: ‘Jangan membunuh. Sesiapa yang membunuh akan dihakimi.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan dihakimi. Sesiapa yang mencaci saudaranya akan dibawa ke hadapan Majlis Agama. Dan sesiapa yang memanggil saudaranya ‘bodoh’ akan dihumbankan ke dalam api neraka. Oleh itu, jika kamu sedang meletakkan persembahan kepada Allah di atas mazbah lalu teringat bahawa saudaramu bersanggit hati denganmu, tinggalkanlah persembahanmu di depan mazbah, berdamai dahulu dengan saudaramu, kemudian barulah buat persembahanmu. Berdamailah dengan orang yang hendak mendakwamu di mahkamah sewaktu kamu masih dalam perjalanan ke situ. Jika tidak, dia akan menyerahkanmu kepada hakim, kemudian hakim menyerahkanmu kepada pegawai dan kamu akan dimasukkan ke dalam penjara. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa kamu akan meringkuk di dalam penjara hingga kamu menjelaskan semua bayaran.” “Kamu telah mendengar ajaran ini: ‘Jangan berzina.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang memandang seorang wanita dengan berahi, telah berzina dengannya dalam hati. Jika mata kananmu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buangkan mata itu. Lebih baik kamu kehilangan satu bahagian tubuhmu daripada seluruh tubuhmu terhumban ke dalam neraka. Jika tangan kananmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buangkan tangan itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tanganmu daripada seluruh tubuhmu masuk ke dalam neraka.” “Ada ajaran demikian: ‘Sesiapa menceraikan isterinya hendaklah memberinya surat cerai.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang menceraikan isterinya kecuali kerana zina, menyebabkan wanita tersebut berzina jika berkahwin lagi; dan sesiapa berkahwin dengan wanita yang diceraikan itu, dia berzina.” “Kamu telah mendengar ajaran kepada nenek moyang kita: ‘Jangan bersumpah palsu. Tunaikan sumpahmu kepada Tuhan.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Janganlah bersumpah demi langit, kerana langit itu takhta Allah. Jangan bersumpah demi bumi, kerana bumi ini alas kaki-Nya. Atau demi Yerusalem, kerana itu kota Raja Agung, iaitu Allah. Demi kepalamu pun jangan, kerana kamu tidak berkuasa memutihkan atau menghitamkan rambutmu walau sehelai. Katakan sahaja ‘Ya’ atau ‘Tidak’ dan kotakan kata itu. Yang lebih daripada itu datang daripada si durjana.” “Kamu telah mendengar ajaran begini: ‘Mata diganti mata, gigi diganti gigi.’