MATIUS 27:32-66

MATIUS 27:32-66 BM

Dalam perjalanan ke luar kota, mereka berjumpa dengan seorang lelaki dari Kirene yang bernama Simon. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus. Mereka tiba di tempat bernama Golgota, yang bermakna “Tempat Tengkorak”. Di situ mereka memberikan wain yang bercampur bahan pahit kepada Yesus. Tetapi setelah Yesus mengecap minuman itu, Dia tidak mahu meminumnya. Kemudian askar-askar menyalibkan Dia, dan membahagi-bahagikan pakaian-Nya antara mereka dengan membuang undi. Setelah itu mereka duduk di sana dan mengawal Dia. Di sebelah atas kepala Yesus, terpasang tulisan tentang tuduhan terhadap Yesus: “Inilah Yesus, Raja Orang Yahudi.” Dua orang penjahat juga disalibkan bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. Semua orang yang lalu di situ menggelengkan kepala sambil mencemuh Yesus. Mereka berkata, “Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! Jika kamu Anak Allah, selamatkanlah dirimu dan turunlah dari salib!” Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi juga memperolokkan Yesus. Mereka berkata, “Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! Bukankah dia raja orang Israel? Jika dia turun dari salib sekarang, kami akan percaya kepadanya! Dia percaya kepada Allah dan berkata bahawa dia Anak Allah. Mari kita lihat, adakah Allah akan menyelamatkan dia sekarang?” Bahkan kedua-dua orang penjahat yang disalibkan bersama-sama Yesus pun menghina Dia seperti itu. Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap. Pada pukul tiga petang, Yesus berseru dengan suara lantang, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” yang bererti, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?” Beberapa orang di situ mendengar seruan Yesus, lalu berkata, “Dia memanggil Elia!” Seorang daripada mereka segera lari mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkannya pada hujung sebatang kayu, lalu dihulurkannya ke mulut Yesus. Tetapi orang lain di situ berkata, “Tunggu, mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menyelamatkan dia!” Kemudian Yesus berseru lagi dengan nyaring, lalu menghembuskan nafas yang terakhir. Kemudian tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak dari atas sampai ke bawah, sehingga menjadi dua helai. Bumi bergoncang, gunung batu terbelah, kubur terbuka, dan banyak umat Allah yang sudah meninggal dihidupkan semula. Mereka meninggalkan kubur, dan setelah Yesus bangkit daripada kematian, mereka masuk ke Yerusalem. Di sana banyak orang nampak mereka. Apabila ketua askar dan askar-askar yang sedang mengawal Yesus nampak gempa bumi dan segala perkara yang berlaku, mereka ketakutan. Mereka berkata, “Dia betul-betul Anak Allah!” Di situ ada juga banyak wanita yang memandang dari jauh. Mereka datang bersama-sama Yesus dari Galilea dan mereka menolong Dia. Antara mereka ialah Maria Magdalena, Maria ibu Yakobus dan Yusuf, serta ibu anak-anak Zebedeus. Pada waktu petang, seorang kaya dari Arimatea yang bernama Yusuf datang. Dia juga pengikut Yesus. Dia pergi kepada Pilatus dan meminta jenazah Yesus. Pilatus memberikan perintah supaya jenazah Yesus diserahkan kepadanya. Yusuf mengambil jenazah itu lalu membalutnya dengan kain linen baru. Dia meletakkan jenazah Yesus di dalam kubur miliknya sendiri yang baru dipahat di bukit batu. Kemudian Yusuf menggulingkan sebuah batu besar untuk menutup pintu kubur itu, lalu dia pergi. Maria Magdalena dan Maria yang lain duduk di situ menghadapi kubur itu. Keesokan harinya, pada hari Sabat, ketua-ketua imam dan orang Farisi pergi menghadap Pilatus. Mereka berkata, “Tuan, kami ingat bahawa semasa penipu itu masih hidup, dia pernah berkata, ‘Selepas tiga hari Aku akan dibangkitkan.’ Oleh itu suruhlah orang mengawal kubur itu baik-baik sehingga hari ketiga. Dengan demikian pengikut-pengikutnya tidak dapat mencuri jenazah Yesus, dan memberitahu orang bahawa dia telah dibangkitkan daripada kematian. Penipuan yang terakhir ini akan lebih buruk daripada yang pertama.” “Bawalah beberapa orang askar,” kata Pilatus kepada mereka, “pergilah dan kawallah kubur itu dengan rapi.” Lalu mereka pergi ke kubur itu, memeteraikan batu penutup kubur dan menyuruh beberapa orang askar mengawal kubur itu.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami