MATIUS 26:47-75

MATIUS 26:47-75 BM

Yesus masih berkata-kata apabila Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut-Nya tiba. Bersama dengan dia datang juga sekumpulan orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka disuruh oleh para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi. Pengkhianat itu telah menentukan suatu tanda bagi mereka. Dia berkata, “Orang yang saya cium, itulah dia. Tangkaplah dia!” Apabila Yudas tiba, dia segera menghampiri Yesus dan berkata, “Salam sejahtera, Guru,” lalu mencium Yesus. Yesus menjawab, “Cepatlah, kawan!” Kemudian orang yang datang bersama-sama Yudas mendekati Yesus dan menangkap-Nya serta memegang Dia dengan kuat. Salah seorang pengikut di situ yang bersama-sama Yesus, menghunus pedangnya lalu memukul hamba Imam Agung dan mengerat telinganya. Yesus berkata kepada pengikut itu, “Sarungkan pedangmu kembali, kerana semua orang yang menggunakan pedang akan terbunuh dengan pedang. Tidakkah kamu tahu bahawa Aku boleh meminta Bapa-Ku menolong Aku, dan dengan segera Bapa-Ku dapat mengirim malaikat yang lebih daripada dua belas pasukan? Tetapi Aku tidak akan meminta Bapa-Ku menolong Aku. Jika Aku berbuat demikian, bagaimanakah nubuat di dalam Alkitab yang mengatakan bahawa perkara ini harus berlaku dapat terjadi?” Lalu Yesus berkata kepada semua orang itu, “Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku, seolah-olah Aku ini penjahat? Setiap hari Aku mengajar di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku! Tetapi segala perkara ini berlaku supaya apa yang ditulis oleh para nabi di dalam Alkitab terjadi.” Kemudian semua pengikut Yesus lari meninggalkan Dia. Kumpulan orang yang menangkap Yesus membawa Dia ke rumah Imam Agung Kayafas. Di situ guru Taurat dan pemimpin masyarakat Yahudi telah berkumpul. Petrus mengikuti Yesus dari jauh sampai ke halaman rumah Imam Agung itu. Petrus masuk ke halaman itu dan duduk bersama dengan pengawal-pengawal untuk mengetahui apa yang akan berlaku. Ketua-ketua imam dan anggota lain daripada Majlis Agama berusaha untuk mencari bukti-bukti palsu bagi mendakwa Yesus, supaya mereka boleh menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. Tetapi mereka tidak mendapat satu bukti pun, walaupun banyak yang memberikan kesaksian palsu terhadap Yesus. Akhirnya dua orang tampil ke hadapan dan berkata, “Orang ini berkata, ‘Aku dapat merobohkan Rumah Tuhan dan dalam tiga hari Aku dapat membinanya semula.’ ” Lalu Imam Agung berdiri dan bertanya kepada Yesus, “Tidakkah kamu mahu menjawab tuduhan yang ditujukan kepadamu?” Tetapi Yesus diam sahaja. Sekali lagi Imam Agung berkata kepada-Nya, “Demi nama Allah yang hidup, beritahu kami! Adakah kamu Penyelamat yang diutus oleh Allah, iaitu Anak Allah?” Yesus menjawab, “Demikianlah katamu. Tetapi Aku berkata kepada kamu semua: Tidak lama lagi kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa, serta datang di atas awan!” Lalu Imam Agung mengoyakkan jubahnya dan berkata, “Dia mengkufuri Allah! Kita tidak memerlukan saksi lagi. Kamu telah mendengar Dia mengkufuri Allah. Apakah keputusan kamu?” Mereka menjawab, “Dia bersalah dan mesti dihukum mati.” Mereka meludahi muka Yesus dan memukul Dia. Beberapa orang yang menampar Yesus berkata, “Hai Penyelamat yang diutus oleh Allah, tekalah siapa yang memukul kamu?” Petrus sedang duduk di luar, di halaman, apabila salah seorang hamba perempuan Imam Agung datang dan berkata kepadanya, “Kamu juga bersama-sama Yesus orang Galilea itu.” Tetapi Petrus menafikan hal itu di hadapan mereka semua. Dia berkata, “Aku tidak tahu akan maksudmu.” Lalu dia pergi ke pintu halaman. Seorang hamba perempuan lain nampak Petrus dan berkata kepada semua orang di situ, “Orang ini juga bersama-sama Yesus dari Nasaret.” Sekali lagi Petrus menafikan hal itu dan menjawab, “Aku bersumpah aku tidak kenal akan orang itu!” Tidak lama kemudian, orang yang berdiri di situ datang kepada Petrus dan mereka berkata, “Tentu kamu salah seorang pengikut Yesus. Loghatmu membuktikannya.” Lalu Petrus bersumpah, “Biarlah Allah menghukum aku jika aku berdusta! Aku tidak kenal akan orang itu!” Pada saat itu juga ayam berkokok. Maka Petrus teringat bahawa Yesus sudah berkata kepadanya, “Sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal Aku tiga kali.” Petrus keluar dan menangis tersedu-sedu.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan MATIUS 26:47-75