MATIUS 26:47-75

MATIUS 26:47-75 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus masih berkata-kata apabila Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut-Nya tiba. Bersama dengan dia datang juga sekumpulan orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka disuruh oleh para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi. Pengkhianat itu telah menentukan suatu tanda bagi mereka. Dia berkata, “Orang yang saya cium, itulah dia. Tangkaplah dia!” Apabila Yudas tiba, dia segera menghampiri Yesus dan berkata, “Salam sejahtera, Guru,” lalu mencium Yesus. Yesus menjawab, “Cepatlah, kawan!” Kemudian orang yang datang bersama-sama Yudas mendekati Yesus dan menangkap-Nya serta memegang Dia dengan kuat. Salah seorang pengikut di situ yang bersama-sama Yesus, menghunus pedangnya lalu memukul hamba Imam Agung dan mengerat telinganya. Yesus berkata kepada pengikut itu, “Sarungkan pedangmu kembali, kerana semua orang yang menggunakan pedang akan terbunuh dengan pedang. Tidakkah kamu tahu bahawa Aku boleh meminta Bapa-Ku menolong Aku, dan dengan segera Bapa-Ku dapat mengirim malaikat yang lebih daripada dua belas pasukan? Tetapi Aku tidak akan meminta Bapa-Ku menolong Aku. Jika Aku berbuat demikian, bagaimanakah nubuat di dalam Alkitab yang mengatakan bahawa perkara ini harus berlaku dapat terjadi?” Lalu Yesus berkata kepada semua orang itu, “Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku, seolah-olah Aku ini penjahat? Setiap hari Aku mengajar di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku! Tetapi segala perkara ini berlaku supaya apa yang ditulis oleh para nabi di dalam Alkitab terjadi.” Kemudian semua pengikut Yesus lari meninggalkan Dia. Kumpulan orang yang menangkap Yesus membawa Dia ke rumah Imam Agung Kayafas. Di situ guru Taurat dan pemimpin masyarakat Yahudi telah berkumpul. Petrus mengikuti Yesus dari jauh sampai ke halaman rumah Imam Agung itu. Petrus masuk ke halaman itu dan duduk bersama dengan pengawal-pengawal untuk mengetahui apa yang akan berlaku. Ketua-ketua imam dan anggota lain daripada Majlis Agama berusaha untuk mencari bukti-bukti palsu bagi mendakwa Yesus, supaya mereka boleh menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. Tetapi mereka tidak mendapat satu bukti pun, walaupun banyak yang memberikan kesaksian palsu terhadap Yesus. Akhirnya dua orang tampil ke hadapan dan berkata, “Orang ini berkata, ‘Aku dapat merobohkan Rumah Tuhan dan dalam tiga hari Aku dapat membinanya semula.’ ” Lalu Imam Agung berdiri dan bertanya kepada Yesus, “Tidakkah kamu mahu menjawab tuduhan yang ditujukan kepadamu?” Tetapi Yesus diam sahaja. Sekali lagi Imam Agung berkata kepada-Nya, “Demi nama Allah yang hidup, beritahu kami! Adakah kamu Penyelamat yang diutus oleh Allah, iaitu Anak Allah?” Yesus menjawab, “Demikianlah katamu. Tetapi Aku berkata kepada kamu semua: Tidak lama lagi kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa, serta datang di atas awan!” Lalu Imam Agung mengoyakkan jubahnya dan berkata, “Dia mengkufuri Allah! Kita tidak memerlukan saksi lagi. Kamu telah mendengar Dia mengkufuri Allah. Apakah keputusan kamu?” Mereka menjawab, “Dia bersalah dan mesti dihukum mati.” Mereka meludahi muka Yesus dan memukul Dia. Beberapa orang yang menampar Yesus berkata, “Hai Penyelamat yang diutus oleh Allah, tekalah siapa yang memukul kamu?” Petrus sedang duduk di luar, di halaman, apabila salah seorang hamba perempuan Imam Agung datang dan berkata kepadanya, “Kamu juga bersama-sama Yesus orang Galilea itu.” Tetapi Petrus menafikan hal itu di hadapan mereka semua. Dia berkata, “Aku tidak tahu akan maksudmu.” Lalu dia pergi ke pintu halaman. Seorang hamba perempuan lain nampak Petrus dan berkata kepada semua orang di situ, “Orang ini juga bersama-sama Yesus dari Nasaret.” Sekali lagi Petrus menafikan hal itu dan menjawab, “Aku bersumpah aku tidak kenal akan orang itu!” Tidak lama kemudian, orang yang berdiri di situ datang kepada Petrus dan mereka berkata, “Tentu kamu salah seorang pengikut Yesus. Loghatmu membuktikannya.” Lalu Petrus bersumpah, “Biarlah Allah menghukum aku jika aku berdusta! Aku tidak kenal akan orang itu!” Pada saat itu juga ayam berkokok. Maka Petrus teringat bahawa Yesus sudah berkata kepadanya, “Sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal Aku tiga kali.” Petrus keluar dan menangis tersedu-sedu.

MATIUS 26:47-75 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka antara iya bŭrkata kata itu lagi, bahwasanya Yudas, sa’orang deripada yang kadua blas orang itu pun datanglah dŭngan mŭmbawa banyak rayat bŭrsama sama, sŭrta dŭngan pŭdang pŭdang, dan kayu kayu, iya itu disuroh imam bŭsar bŭsar, dan orang tua tua kaum itu. Adapun orang yang mŭnyŭrahkan Isa itu tŭlah mŭmbri suatu isharat pada marika itu, katanya, Barang siapa yang kuchium iya itulah dia, tangkaplah ulihmu. Maka dŭngan skutika itu juga datanglah Yudas kapada Isa, katanya, Slamatlah Guru, maka dichiumnya akan dia. Tŭtapi jawab Isa padanya, Sahabat, apa mulanya angkau datang ini? Sŭtlah itu datanglah marika itu mŭmbuboh tangannya ka’atas Isa, lalu ditangkapnya. Maka sasungguhnya ada sa’orang deripada marika itu yang bŭrsama sama dŭngan Isa mŭnghulorkan tangannya, sŭrta dihunasnya pŭdangnya, lalu dichinchangnya hamba imam bŭsar itu, putuslah tlinganya. Maka bŭrkatalah Isa padanya, Sarongkanlah pŭdangmu itu kŭmbali, kŭrna barang sa’orang yang mŭmakie pŭdang itu, iya akan dibinasakan ulih pŭdang juga. Untah pada sangkamu, tiadakah bulih aku mŭminta pada Ayahku skarang ini, bahwasanya iya akan mŭmbri aku lebih deripada dua blas pasukan mŭliekat? Tŭtapi bagimanakah garangan kitab itu bulih digŭnapkan? Bahwasanya dapat tiada dŭmkianlah jadinya. Maka pada masa itu bŭrkatalah Isa pada sagala rayat itu, Kamu ini kluar sa’olah olah handak mŭnangkap orang pŭnyamunkah, dŭngan mŭmbawa pŭdang dan kayu handak mŭnangkap aku? Maka pada tiap tiap hari aku dudok bŭrsama sama dŭngan kamu mŭngajar dalam ka’abah, maka tiada kamu mŭnangkap aku. Tŭtapi skaliannya ini tŭlah jadi, supaya gŭnaplah surat sagala nabi; tŭtkala itu maka ditinggalkanlah ulih sagala murid muridnya akan Isa, lalu larilah marika itu. Adapun orang orang yang mŭnangkap Isa itu, dibawanyalah akan dia kapada Kiefas, imam bŭsar itu, ditŭmpat pŭrhimpunan khatib khatib, dan orang tua tua itu. Akan tŭtapi Petros mŭngikotlah akan dia deri jauh, sampie kapada balerong imam yang bŭsar itu, sŭtlah sudah iya masok, maka dudoklah iya bŭrsama sama dŭngan hamba imam, sŭbab handak mŭlihat kasudahannya. Maka imam imam yang bŭsar, dan orang tua tua, sŭrta sagala orang bichara pun mŭnchari saksi dusta handak mŭnyalahkan Isa, supaya dibunohnya akan dia. Tiada juga didapatinya sa’orang pun, bahkan, maka sungguh pun banyak saksi yang dusta tŭlah datang, tŭtapi tiada juga sa’orang tŭrpakie. Kŭmdian deripada itu, datang pula dua orang saksi dusta, katanya, Iya ini tŭlah bŭrkata, iya bulih mŭmŭchahkan ka’abah Allah, dan bulih pula mŭmbangunkan dia dalan tiga hari. Maka bangunlah imam yang bŭsar, lalu bŭrkata pada Isa, Suatu pun tiadakah angkau jawab, apakah dia itu yang ditudoh ulih saksi ini atasmu? Tŭtapi Isa mŭndiamkan dirinya. Maka sahut imam yang bŭsar itu, sŭrta bŭrkata, Bahwasanya aku mŭlŭtakkan ka’atasmu sumpah, dŭmi Allah yang hidop, supaya angkau mŭngatakan pada kami kalau kalau angkaukah Almasih anak Allah itu. Maka kata Isa padanya, Spŭrti katamu itu; tŭtapi aku bŭrkata padamu, bahwa kumdian deripada ini kŭlak kamu akan mŭliat Anak manusia itu dudok disŭblah kanan Allah yang maha kwasa, sŭrta datang diatas awan awan deri langit. Maka tŭtkala itu imam yang bŭsar itu mŭngoyakan pakieannya sŭndiri, katanya, Bahwasanya iya ini mŭmbuat fitnah akan Allah, apa gunanya saksi lagi, bahwa sasungguhnya skarang kamu sudah mŭnŭngar fitnahnya itu. Bagimanakah fikiran kamu? Maka disahut ulih marika itu katanya, Adapun hukumannya ini patutlah dibunoh. Tŭtkala itu maka diludahilah ulih marika itu muka Isa, sŭrta ditumboknya akan dia, dan ada yang mŭnampar dia, Katanya, Nabuatkanlah pada kami, hie Almasih, siapakah yang mŭmukol angkau? ¶ Sŭbarmula derihal Petros itu, adalah iya dudok diluar balierong, maka datanglah sa’orang pŭrampuan muda kapadanya, katanya, Angkau ini pun bŭrsama sama juga dŭngan Isa orang Galilia itu. Maka bŭrsangkallah iya dihadapan sagala orang itu, katanya, Apakah angkau kata itu? tiada aku kŭtahui. Maka tŭtkala itu kluarlah iya kasrambi balie, maka dilihat pula ulih sa’orang pŭrampuan yang lain akan dia, katanya kapada orang orang yang ada disana, Iyaini pun bŭrsama sama juga dŭngan Isa orang Nazareth itu. Maka iya bŭrsangkal pula dŭngan sumpah katanya, Tiada aku mŭngŭnal orang itu. Maka skutika lagi orang yang bŭrdiri disana bŭrkata pada Petros, Sungguhlah angkau ini sa’orang deripada marika itu, kŭrna deripada bahsamu angkau dikŭnal. Hata maka tŭtkala itu bahrulah iya mŭngutoki dirinya, sŭrta bŭrsumpah, katanya, Tiada aku mŭngŭnal orang itu. Maka sŭbŭntar lagi ayam pun bŭrkokoklah. Maka tŭrkŭnanglah Petros akan pŭrkataan Isa yang tŭlah dikatakannya padanya, bahwa sŭbŭlom ayam bŭrkokok, tiga kali angkau akan mŭnyangkali aku; maka kluarlah iya, sŭrta mŭnangis dŭngan tŭrsŭdeh sŭdeh.

MATIUS 26:47-75 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ketika Dia sedang berkata-kata itu, seorang daripada murid-Nya yang dua belas, Yudas, datang diiringi orang yang sangat ramai dan bersenjatakan pedang serta belantan. Mereka datang daripada ketua-ketua imam dan tua-tua. Pengkhianat Yesus telah menetapkan satu isyarat dengan mereka, “Yang kucium nanti, itulah Dia; tangkaplah Dia.” Dengan segera dia menghampiri Yesus sambil berkata, “Selamat sejahtera, Rabbi!” lalu mencium-Nya. Yesus berkata kepadanya, “Kawan, mengapakah kamu datang?” Orang ramai itu pun menangkap Yesus. Tiba-tiba seorang murid Yesus menghunus pedangnya lalu menetak hamba imam besar, sehingga terputus telinganya. Tetapi Yesus berkata kepada murid-Nya itu, “Simpan semula pedangmu di tempatnya yang wajar, kerana semua yang menggunakan pedang akan musnah dimakan pedang. Adakah kamu sangka Aku tidak boleh berdoa supaya Bapa-Ku menghantar lebih daripada dua belas pasukan tentera malaikat untuk menolong-Ku? Bukankah kejadian ini mesti berlaku supaya yang tersurat dalam Kitab Suci ternyata benar?” Kemudian Yesus berkata kepada orang ramai itu, “Patutkah kamu datang, bagaikan hendak menangkap perompak, dengan pedang dan belantan, untuk membawa-Ku pergi? Hari demi hari Aku duduk bersamamu, mengajar di Bait Suci, dan kamu tidak menangkap-Ku. Tetapi segala ini berlaku supaya yang tersurat dalam kitab nabi-nabi terlaksana.” Setelah itu, semua murid Yesus meninggalkan-Nya, masing-masing melarikan diri. Orang yang menangkap Yesus membawa-Nya kepada Imam Besar Kayafas. Di situ ahli Taurat dan tua-tua telah berhimpun. Petrus mengikut dari jauh ke bahagian laman dalam rumah imam besar, lalu masuk dan duduk dalam kalangan hamba di situ untuk melihat kesudahan perkara itu. Ketua-ketua imam dan seluruh Majlis Agama berusaha mencari kesaksian terhadap Yesus supaya dapat membunuh-Nya. Tetapi mereka tidak berjaya sungguhpun ramai saksi palsu yang tampil. Akhirnya dua orang saksi tampil dengan kesaksian: “Orang ini telah berkata, ‘Aku dapat memusnahkan Bait Allah dan membinanya semula dalam tiga hari.’ ” Imam besar berdiri lalu berkata kepada Yesus, “Tidakkah Kamu mahu menjawab apa-apa? Apakah yang didakwakan oleh mereka ini terhadap-Mu?” Tetapi Yesus berdiam diri. Imam besar berkata kepada-Nya, “Demi Allah yang hidup, katakan kepada kami, adakah Kamu ini Kristus, Anak Allah?” Yesus berkata kepadanya, “Benarlah seperti katamu. Namun demikian, Aku berkata kepadamu, kemudian hari kelak kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Yang Maha Kuasa, dan datang dalam awan di langit.” Kemudian imam besar mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sambil berkata, “Dia telah melafazkan kata-kata kufur! Apa perlunya saksi lagi? Sekarang kamu telah mendengar kata-kata kufur-Nya! Bagaimana pendapatmu?” Mereka menjawab, “Dia patut dibunuh.” Setelah itu, mereka meludahi muka-Nya dan memukul-Nya. Ada yang menampar-Nya. Mereka berkata, “Bernubuatlah pada kami, hai Kristus! Siapa yang memukul-Mu?” Sedang Petrus duduk di laman dalam rumah itu, seorang hamba perempuan datang dan berkata kepadanya, “Kamu pun bersama Yesus, orang Galilea itu.” Tetapi Petrus menyangkal di hadapan mereka semua, “Aku tak tahu apa yang kaukatakan itu.” Setelah Petrus pergi ke luar ke pintu gerbang, seorang perempuan lagi melihatnya dan berkata kepada orang di situ, “Orang ini pun bersama Yesus orang Nazaret.” Petrus menyangkal lagi sambil bersumpah, “Aku tak kenal orang itu!” Tidak lama kemudian orang yang berdiri-diri di situ menghampiri Petrus dan berkata kepadanya, “Sudah tentu kamu juga seorang daripada mereka; ini jelas daripada loghatmu.” Petrus pun mengucapkan kutuk dan sumpah, “Aku tidak kenal orang itu!” Serta-merta ayam berkokok. Lalu Petrus teringat kata-kata Yesus kepadanya, “Sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal-Ku tiga kali.” Petrus pun keluar dari situ lalu menangis dengan amat kesalnya.