MATIUS 26:17-46

MATIUS 26:17-46 BM

Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, pengikut-pengikut Yesus datang kepada-Nya dan bertanya, “Di manakah Guru ingin kami sediakan jamuan Paska untuk Guru?” Yesus menjawab, “Pergilah berjumpa dengan seorang di bandar. Katakan kepadanya, ‘Guru berkata, saat-Nya sudah hampir tiba; Dia hendak merayakan Paska di rumahmu bersama dengan pengikut-pengikut-Nya.’ ” Pengikut-pengikut-Nya melakukan suruhan Yesus dan menyiapkan jamuan Paska itu. Apabila malam tiba, Yesus dan dua belas orang pengikut-Nya mula makan. Sementara mereka makan, Yesus berkata, “Ketahuilah, seorang daripada kamu akan mengkhianati Aku.” Pengikut-pengikut-Nya sangat sedih. Seorang demi seorang mula bertanya kepada Yesus, “Tentu bukan aku yang Tuhan maksudkan?” Yesus menjawab, “Orang yang ikut mencelup roti ke dalam mangkuk dengan Aku, dialah yang akan mengkhianati Aku. Memang Anak Manusia akan mati seperti yang tertulis di dalam Alkitab, tetapi alangkah malangnya orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik jika orang itu tidak pernah dilahirkan!” Lalu Yudas, pengkhianat itu berkata, “Tentu bukan saya yang guru maksudkan?” Yesus menjawab, “Demikianlah katamu!” Sementara mereka makan, Yesus mengambil roti dan mengucap syukur, lalu membahagikan roti itu. Kemudian Dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Ambillah roti ini dan makanlah; ini tubuh-Ku.” Kemudian Dia mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Minumlah, kamu semua. Inilah darah-Ku yang mengesahkan perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan umat-Nya; darah-Ku yang dicurahkan bagi banyak orang supaya dosa mereka diampunkan. Percayalah, Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga hari itu apabila Aku minum wain baru bersama-sama kamu di Dunia Baru Bapa-Ku.” Setelah mereka menyanyikan sebuah nyanyian pujian, mereka pergi ke Bukit Zaitun. Kemudian Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Pada malam ini juga kamu semua akan lari meninggalkan Aku, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan membunuh gembala itu, lalu kawanan dombanya akan tercerai-berai.’ Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan pergi ke Galilea terlebih dahulu daripada kamu.” Petrus berkata kepada Yesus, “Meskipun semua yang lain meninggalkan Guru, saya tidak akan berbuat demikian!” Yesus berkata kepadanya, “Ingatlah, sebelum ayam jantan berkokok malam ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.” Petrus menjawab, “Tidak sekali-kali saya akan berkata saya tidak mengenal Guru, meskipun saya terpaksa mati bersama-sama Guru!” Semua pengikut yang lain pun berkata demikian. Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke suatu tempat bernama Getsemani. Dia berkata kepada mereka, “Duduklah di sini sementara Aku pergi ke sana untuk berdoa.” Yesus mengajak Petrus dan kedua-dua orang anak Zebedeus pergi bersama dengan-Nya. Dia sangat sedih dan gelisah. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Hati-Ku sedih sekali sehingga Aku hendak mati rasanya. Tinggallah di sini dan berjagalah dengan Aku.” Yesus pergi lebih jauh sedikit lalu meniarap di tanah dan berdoa, “Ya Bapa, jika boleh, jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku! Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak Bapa sahaja.” Kemudian Yesus kembali kepada ketiga-tiga orang pengikut-Nya dan mendapati mereka sedang tidur. Dia berkata kepada Petrus, “Tidak dapatkah kamu bertiga berjaga dengan Aku selama satu jam? Berjaga-jagalah dan berdoalah supaya kamu tidak mengalami cubaan. Memang kamu ingin melakukan apa yang benar, tetapi kamu tidak sanggup kerana tabiat manusia lemah.” Sekali lagi Yesus pergi dan berdoa, “Ya Bapa, jika cawan penderitaan ini tidak dapat dijauhkan daripada-Ku, tetapi harus Aku minum, biarlah kehendak Bapa berlaku.” Kemudian Yesus kembali kepada pengikut-pengikut-Nya dan Dia mendapati mereka masih tidur kerana mengantuk. Sekali lagi Yesus meninggalkan mereka, lalu pergi dan berdoa dengan kata-kata yang sama untuk kali ketiga. Lalu Yesus kembali kepada pengikut-pengikut-Nya dan berkata, “Masihkah kamu tidur dan berehat? Lihatlah, saatnya sudah tiba bagi Anak Manusia diserahkan ke dalam kekuasaan orang berdosa. Bangunlah, marilah kita pergi. Lihatlah, orang yang mengkhianati Aku sudah datang!”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan MATIUS 26:17-46

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami