MATIUS 26:1-16

MATIUS 26:1-16 BM

Setelah Yesus mengajarkan semua perkara itu, Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Kamu tahu bahawa dua hari lagi Perayaan Paska akan dirayakan, dan Anak Manusia akan diserahkan untuk disalibkan!” Kemudian para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi berkumpul di istana Imam Agung Kayafas. Mereka berkomplot untuk menangkap Yesus dengan diam-diam dan membunuh Dia. Mereka berkata, “Kita tidak boleh melakukannya pada masa perayaan, kerana nanti rakyat merusuh.” Yesus di Betania, di rumah Simon yang dahulu berpenyakit kulit yang mengerikan. Yesus sedang makan apabila seorang wanita datang kepada-Nya. Dia membawa sebuah botol marmar berisi minyak wangi yang mahal. Dia menuang minyak wangi itu ke atas kepala Yesus. Pengikut-pengikut Yesus nampak apa yang berlaku, lalu naik marah. Mereka bertanya, “Mengapa minyak wangi itu dibazirkan? Minyak itu boleh dijual dengan harga yang tinggi dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin!” Yesus mengetahui apa yang dikatakan mereka, lalu Dia berkata kepada mereka, “Mengapa kamu menyusahkan wanita ini? Apa yang telah dilakukannya untuk-Ku itu baik dan terpuji. Orang miskin sentiasa ada di kalangan kamu, tetapi Aku tidak selamanya bersama-sama kamu. Wanita ini menuangi Aku dengan minyak wangi, dan dengan perbuatan itu dia mempersiapkan tubuh-Ku bagi penguburan-Ku. Ingatlah! Di seluruh dunia, di mana sahaja Berita Baik dikhabarkan, perbuatan wanita ini akan diceritakan untuk mengenang dia.” Kemudian seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, yang bernama Yudas Iskariot, pergi kepada para ketua imam. Dia berkata, “Apakah yang akan kamu berikan kepadaku jika aku menyerahkan Yesus kepada kamu?” Mereka mengira tiga puluh keping wang perak lalu menyerahkan wang itu kepadanya. Sejak itu Yudas mencari peluang baik untuk mengkhianati Yesus.