MATIUS 26:1-16

MATIUS 26:1-16 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah Yesus mengajarkan semua perkara itu, Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Kamu tahu bahawa dua hari lagi Perayaan Paska akan dirayakan, dan Anak Manusia akan diserahkan untuk disalibkan!” Kemudian para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi berkumpul di istana Imam Agung Kayafas. Mereka berkomplot untuk menangkap Yesus dengan diam-diam dan membunuh Dia. Mereka berkata, “Kita tidak boleh melakukannya pada masa perayaan, kerana nanti rakyat merusuh.” Yesus di Betania, di rumah Simon yang dahulu berpenyakit kulit yang mengerikan. Yesus sedang makan apabila seorang wanita datang kepada-Nya. Dia membawa sebuah botol marmar berisi minyak wangi yang mahal. Dia menuang minyak wangi itu ke atas kepala Yesus. Pengikut-pengikut Yesus nampak apa yang berlaku, lalu naik marah. Mereka bertanya, “Mengapa minyak wangi itu dibazirkan? Minyak itu boleh dijual dengan harga yang tinggi dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin!” Yesus mengetahui apa yang dikatakan mereka, lalu Dia berkata kepada mereka, “Mengapa kamu menyusahkan wanita ini? Apa yang telah dilakukannya untuk-Ku itu baik dan terpuji. Orang miskin sentiasa ada di kalangan kamu, tetapi Aku tidak selamanya bersama-sama kamu. Wanita ini menuangi Aku dengan minyak wangi, dan dengan perbuatan itu dia mempersiapkan tubuh-Ku bagi penguburan-Ku. Ingatlah! Di seluruh dunia, di mana sahaja Berita Baik dikhabarkan, perbuatan wanita ini akan diceritakan untuk mengenang dia.” Kemudian seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, yang bernama Yudas Iskariot, pergi kepada para ketua imam. Dia berkata, “Apakah yang akan kamu berikan kepadaku jika aku menyerahkan Yesus kepada kamu?” Mereka mengira tiga puluh keping wang perak lalu menyerahkan wang itu kepadanya. Sejak itu Yudas mencari peluang baik untuk mengkhianati Yesus.

MATIUS 26:1-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA adalah tŭtkala Isa sudah putus deripada sagala pŭrkataan ini, maka bŭrkatalah iya pada murid muridnya: Kamu tŭlah mŭngtahui, bahwa lagi dua hari akan datang hari raya langka, maka Anak manusia akan disŭrahkan supaya disalebkan. ¶ Maka tŭtkala itu bŭrhimpunlah sagala imam yang bŭsar bŭsar, dan khatib khatib, dan orang tua tua deri pada kaum itu ka’atas balierong kapala imam yang bŭrnama Kiefas. Lalu bŭrmufakatlah marika itu sama sŭndirinya handak mŭnangkap Isa dŭngan tipu, supaya dibunohnya akan dia. Tŭtapi bŭrkatalah marika itu, Janganlah pada hari raya ini, kalau kalau jadi gŭmpar kŭlak diantara kaum itu. ¶ Sŭbarmula tŭtkala Isa diBethani, dalam rumah Simon kusta, Maka datanglah sa’orang pŭrampuan kapadanya mŭmbawa suatu chŭmbol yang bŭrisi minyak yang sangat mulia, lalu dituangkannyalah ka’atas kapalanya, tŭtkala iya dudok makan. Maka apabila marika itu mŭlihat itu, marahlah marika itu, katanya, Apa buat rugi chuma chuma ini? Kŭrna minyak ini bulih dijual dŭngan harga mahal, dan wangnya itu dibrikan pada orang miskin. Maka apabila dikŭtahui ulih Isa akan hal itu, maka bŭrkatalah iya pada marika itu, Mŭngapa kamu mŭnyusahkan pŭrampuan ini? kŭrna iya tŭlah bŭrbuat suatu pŭkŭrjaan yang baik padaku. Adapun orang miskin itu slalu ada padamu, tŭtapi aku tiada slalu padamu. Kŭrna pŭrampuan itu mŭnuangkan minyak itu ka’atas tubohku, maka dibuatnya itu kŭrna mŭnanamkan mayatku. Sasungguhnya aku bŭrkata padamu, barang dimana pun baik Injil ini akan dimashorkan dalam sagala dunia, maka pŭrbuatan pŭrampuan ini akan disŭbot sŭbot, mŭnjadi pŭringatan bagie dia. ¶ Maka sŭtlah itu pŭrgilah sa’orang deripada dua blas orang murid muridnya itu yang bŭrnama Yuda Iskariot, kapada kapala kapala imam; Sambil bŭrkata padanya, Apa kamu handak bri padaku, supaya aku mŭnyŭrahkan Isa kapadamu? Maka marika itu bŭrjanjilah handak mŭmbri akan dia tiga puloh wang perak. Maka deripada kutika itulah Yudas itu mŭnchari kutika sŭnang, supaya disŭrahkannya Isa.

MATIUS 26:1-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah selesai Yesus menyampaikan semua ini, Dia pun berkata kepada murid-murid-Nya, “Kamu tahu bahawa dua hari lagi Perayaan Paskah menjelang, dan Anak Manusia akan diserahkan untuk disalib.” Ketua-ketua imam, ahli Taurat dan tua-tua berhimpun di istana imam besar yang bernama Kayafas. Mereka berpakat untuk memerangkap Yesus secara tipu daya dan membunuh-Nya. Tetapi mereka berkata, “Janganlah pada waktu perayaan, takut orang merusuh.” Apabila Yesus berada di Betania di rumah Simon, yang menghidap penyakit kusta, seorang wanita mendekati-Nya dengan membawa kendi pualam berisi minyak wangi yang amat mahal, lalu menuangkan minyak itu ke atas kepala-Nya ketika Dia sedang duduk bertelekan di meja. Apabila murid-murid-Nya melihat perbuatan wanita itu, mereka marah lalu berkata, “Mengapa membazir begini? Minyak wangi ini boleh dijual dengan harga yang tinggi dan wangnya dapat disedekahkan kepada orang miskin.” Tetapi apabila Yesus mengetahui kemarahan mereka, Dia berkata, “Mengapakah kamu menyusahkan wanita ini? Dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk-Ku. Orang miskin akan sentiasa ada di sekitarmu, tetapi Aku tidaklah sentiasa ada bersamamu. Dengan menuangkan minyak wangi ini ke atas tubuh-Ku, dia membuat persiapan untuk pengebumian-Ku. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di mana-mana pun kelak Injil ini disebarkan di serata dunia, apa yang telah dilakukan oleh wanita ini akan dikisahkan juga sebagai kenangan kepadanya.” Selepas itu, seorang daripada dua belas murid Yesus, bernama Yudas Iskariot, pergi kepada ketua-ketua imam. Dia berkata kepada mereka, “Apakah yang sanggup kamu berikan kepadaku kalau kuserahkan Dia kepadamu?” Mereka memberinya tiga puluh keping wang perak. Sejak itu dia pun mencari peluang untuk mengkhianati Yesus.