Beberapa orang Farisi pergi dan berkomplot untuk memerangkap Yesus dengan pertanyaan. Mereka mengutus pengikut-pengikut mereka dan beberapa orang anggota golongan Herodes kepada Yesus. Mereka yang diutus berkata, “Guru, kami tahu bahawa guru jujur. Dengan terus terang guru mengajarkan kehendak Allah bagi manusia. Guru tidak menghiraukan pendapat orang lain, kerana guru tidak memandang kedudukan orang. Oleh itu, beritahu kami pendapat guru. Menurut Taurat, bolehkah kita bayar cukai kepada Kaisar Roma? Haruskah kita bayar cukai atau tidak?”
Yesus mengetahui maksud mereka yang jahat itu, lalu berkata, “Kamu munafik! Mengapa kamu cuba memerangkap Aku? Tunjukkan mata wang yang kamu gunakan untuk membayar cukai!”
Lalu mereka memberikan mata wang itu kepada Yesus. Yesus bertanya kepada mereka, “Gambar dan nama siapakah ini?”
“Kaisar,” jawab mereka.
Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Jika demikian, berikan apa yang menjadi milik Kaisar kepada Kaisar, dan berikan apa yang menjadi milik Allah kepada Allah.”
Apabila mereka mendengar penjelasan itu, mereka hairan. Mereka meninggalkan Yesus lalu pergi.
Pada hari itu juga, beberapa orang Saduki datang kepada Yesus. Mereka berpendapat bahawa orang mati tidak akan bangkit semula. “Guru,” kata mereka, “Musa mengajarkan demikian: Jika seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak, maka saudara lelakinya harus berkahwin dengan balunya untuk memberikan keturunan kepada orang yang sudah meninggal itu. Dahulu ada tujuh orang adik-beradik tinggal di sini. Yang sulung berkahwin lalu meninggal tanpa mempunyai anak. Oleh itu, saudara yang kedua berkahwin dengan balunya. Saudara yang kedua pun meninggal tanpa mempunyai anak. Hal yang sama berlaku kepada saudara yang ketiga dan seterusnya sehingga kepada yang ketujuh. Akhirnya wanita itu meninggal. Pada hari kebangkitan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Mereka semua telah berkahwin dengan dia.”
Yesus menjawab, “Pendapat kamu salah sekali! Kamu tidak memahami Alkitab ataupun kuasa Allah. Apabila orang mati dibangkitkan semula, mereka akan menjadi seperti malaikat di syurga: Mereka tidak berkahwin. Tentang orang mati dibangkitkan semula, belum pernahkah kamu baca apa yang difirmankan oleh Allah? Allah berfirman, ‘Akulah Allah yang disembah Abraham, Ishak, dan Yakub.’ Oleh itu, Dia Allah orang hidup, bukan Allah orang mati.”
Apabila orang ramai mendengar penjelasan Yesus, mereka hairan mendengar ajaran-Nya.