MATIUS 21:33-41

MATIUS 21:33-41 BM

“Dengarlah sebuah perumpamaan lain,” kata Yesus. “Seorang pemilik tanah mempunyai ladang anggur. Dia memasang pagar di sekelilingnya, menggali lubang tempat memeras buah anggur, dan mendirikan menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang, lalu dia berangkat ke negeri lain. Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus hamba-hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya. Tetapi penyewa-penyewa ladang itu menangkap hamba-hamba pemilik ladang itu; ada yang dipukul, ada yang dibunuh, dan ada lagi yang direjam. Sekali lagi pemilik ladang itu mengutus hamba-hamba lain, lebih banyak daripada yang dahulu. Tetapi hamba-hamba itu juga menerima perlakuan yang sama. Akhirnya pemilik ladang itu mengutus anaknya kepada mereka. Dia berkata dalam hati, ‘Tentu mereka akan menghormati anakku.’ Tetapi apabila penyewa-penyewa ladang itu nampak anak pemilik ladang itu, mereka berkata sesama sendiri, ‘Ini dia anak pemilik ladang. Marilah kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya!’ Oleh itu mereka menangkap anak itu, membuang dia ke luar ladang, dan membunuh dia.” Kemudian Yesus bertanya, “Apabila pemilik ladang anggur itu kembali, apakah yang akan dilakukannya kepada penyewa-penyewa ladang itu?” Mereka menjawab, “Tentu dia akan membunuh semua orang jahat itu, lalu menyewakan ladang anggur itu kepada penyewa-penyewa lain yang mahu memberikan hasil bahagiannya pada musim anggur.”