MATIUS 21:33-41

MATIUS 21:33-41 Alkitab Berita Baik (BM)

“Dengarlah sebuah perumpamaan lain,” kata Yesus. “Seorang pemilik tanah mempunyai ladang anggur. Dia memasang pagar di sekelilingnya, menggali lubang tempat memeras buah anggur, dan mendirikan menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang, lalu dia berangkat ke negeri lain. Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus hamba-hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya. Tetapi penyewa-penyewa ladang itu menangkap hamba-hamba pemilik ladang itu; ada yang dipukul, ada yang dibunuh, dan ada lagi yang direjam. Sekali lagi pemilik ladang itu mengutus hamba-hamba lain, lebih banyak daripada yang dahulu. Tetapi hamba-hamba itu juga menerima perlakuan yang sama. Akhirnya pemilik ladang itu mengutus anaknya kepada mereka. Dia berkata dalam hati, ‘Tentu mereka akan menghormati anakku.’ Tetapi apabila penyewa-penyewa ladang itu nampak anak pemilik ladang itu, mereka berkata sesama sendiri, ‘Ini dia anak pemilik ladang. Marilah kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya!’ Oleh itu mereka menangkap anak itu, membuang dia ke luar ladang, dan membunuh dia.” Kemudian Yesus bertanya, “Apabila pemilik ladang anggur itu kembali, apakah yang akan dilakukannya kepada penyewa-penyewa ladang itu?” Mereka menjawab, “Tentu dia akan membunuh semua orang jahat itu, lalu menyewakan ladang anggur itu kepada penyewa-penyewa lain yang mahu memberikan hasil bahagiannya pada musim anggur.”

MATIUS 21:33-41 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Dŭngarlah pula suatu pŭrumpamaan yang lain. Maka adalah sa’orang kapala rumah yang tŭlah mŭmbuat kŭbon anggor, sŭrta dibubohnya pagar diklilingnya itu, maka dipŭrbuatkannya suatu apitan anggor dalamnya, dan dibangunkannya suatu mŭnara, kumdian diborongkannya kŭbon itu kapada orang ladang, maka tuan itupun pŭrgilah kapada sa’buah nŭgri yang jauh. Maka sŭtlah datanglah musim buah, maka disurohkannyalah hambanya pŭrgi kapada orang ladang itu, akan mŭngambil bahgian buahnya. Maka ditangkap ulih orang ladang itu akan hamba hambanya, sa’orang dipalunya, dan sa’orang dibunohnya, dan sa’orang dirŭjamnya. Kumdian disurohnyalah pula akan hamba hambanya yang lain, tŭrlebih banyak deripada yang mula mula itu, maka dipŭrbuat ulih orang ladang itu akan marika itu spŭrti dahulu juga. Akhirnya disurohnyalah pula anaknya laki laki datang pada marika itu, katanya, Bahwasanya dapat tiada marika itu mŭmbri hormat kŭlak akan anakku itu. Tŭtapi apabila orang ladang itu mŭlihat anaknya itu datang, maka bŭrkatalah iya sama sŭndirinya, Iya inilah warith, marilah kita bunoh akan dia, dan rampas pusakanya. Maka ditangkapnya akan dia, lalu dibuangkannya kluar kŭbon anggor itu, sŭrta dibunohnya akan dia. Maka apabila datang tuan kŭbon anggor itu, apakah kŭlak dipŭrbuatnya kapada orang orang ladang itu? Maka bŭrkatalah marika itu kapadanya, Dapat tiada akan diseksakannya orang orang jahat itu dŭngan seksa yang amat sangat, dan kŭbon anggor itu pun akan diborongkannya kapada orang ladang yang lain, yang akan mŭmbri kapadanya bahgian buah pada tiap tiap musimnya.