MATIUS 2:13-21

MATIUS 2:13-21 BM

Setelah mereka berangkat, malaikat Tuhan menampakkan diri kepada Yusuf dalam mimpi dan berkata, “Herodes akan mengeluarkan perintah untuk mencari Anak itu dan membunuh Dia. Bangunlah dan bawalah Anak itu dengan ibu-Nya ke Mesir. Tinggallah di sana sehingga Aku berfirman lagi kepadamu.” Yusuf bangun, dan pada malam itu juga dia membawa Anak itu dengan ibu-Nya ke Mesir. Mereka tinggal di sana sehingga Raja Herodes mangkat. Dengan demikian berlakulah apa yang difirmankan oleh Tuhan melalui nabi-Nya, “Aku memanggil Anak-Ku keluar dari Mesir.” Apabila Raja Herodes sedar bahawa ahli-ahli kaji bintang dari timur sudah memperdayakannya, Raja Herodes murka. Lalu Raja Herodes memberikan perintah supaya semua anak lelaki di Betlehem dan sekitarnya, yang berumur dua tahun ke bawah dibunuh. Hal ini sesuai dengan keterangan ahli-ahli kaji bintang tentang masa bintang itu mula kelihatan. Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia, “Di Rama terdengar suara tangisan dan rintihan, ratapan, dan tangisan penderitaan. Rahel meratapi anak-anaknya, dia tidak mahu dihiburkan, kerana anak-anaknya telah tiada.” Setelah Raja Herodes mangkat, malaikat Tuhan menampakkan diri dalam mimpi Yusuf. Pada masa itu Yusuf masih di Mesir. Malaikat itu berkata, “Bangunlah dan bawalah Anak itu dengan ibu-Nya kembali ke negeri Israel, kerana orang yang cuba membunuh Anak itu sudah meninggal.” Yusuf pun bangun, lalu membawa anak itu dan Maria kembali ke negeri Israel.

Video untuk MATIUS 2:13-21