MATIUS 2:13-21

MATIUS 2:13-21 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah mereka berangkat, malaikat Tuhan menampakkan diri kepada Yusuf dalam mimpi dan berkata, “Herodes akan mengeluarkan perintah untuk mencari Anak itu dan membunuh Dia. Bangunlah dan bawalah Anak itu dengan ibu-Nya ke Mesir. Tinggallah di sana sehingga Aku berfirman lagi kepadamu.” Yusuf bangun, dan pada malam itu juga dia membawa Anak itu dengan ibu-Nya ke Mesir. Mereka tinggal di sana sehingga Raja Herodes mangkat. Dengan demikian berlakulah apa yang difirmankan oleh Tuhan melalui nabi-Nya, “Aku memanggil Anak-Ku keluar dari Mesir.” Apabila Raja Herodes sedar bahawa ahli-ahli kaji bintang dari timur sudah memperdayakannya, Raja Herodes murka. Lalu Raja Herodes memberikan perintah supaya semua anak lelaki di Betlehem dan sekitarnya, yang berumur dua tahun ke bawah dibunuh. Hal ini sesuai dengan keterangan ahli-ahli kaji bintang tentang masa bintang itu mula kelihatan. Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia, “Di Rama terdengar suara tangisan dan rintihan, ratapan, dan tangisan penderitaan. Rahel meratapi anak-anaknya, dia tidak mahu dihiburkan, kerana anak-anaknya telah tiada.” Setelah Raja Herodes mangkat, malaikat Tuhan menampakkan diri dalam mimpi Yusuf. Pada masa itu Yusuf masih di Mesir. Malaikat itu berkata, “Bangunlah dan bawalah Anak itu dengan ibu-Nya kembali ke negeri Israel, kerana orang yang cuba membunuh Anak itu sudah meninggal.” Yusuf pun bangun, lalu membawa anak itu dan Maria kembali ke negeri Israel.

MATIUS 2:13-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Shahadan apabila marika itu sudah kŭmbali, hieran, datanglah sa’orang maliekat Tuhan kapada Yusof, dilihatnya dalam mimpi, katanya, bangunlah angkau, ambil kanak kanak itu sŭrta dŭngan ibunya, bawalah lari kaMasir, tinggallah angkau disana, sampie aku mŭmbri tahu akan dikau, kŭrna Herodis mŭnchari kanak kanak itu handak dibunohnya dia. Maka apabila bangunlah iya lalu diambilnya kanak kanak itu sŭrta dŭngan ibunya pada malam, lalu bŭrjalanlah iya kaMasir. Maka tinggallah iya disana sampie kapada kutika mati Herodis, supaya gŭnaplah barang yang dikatakan ulih Nabi deri pada Tuhan, katanya, Bahwa aku tŭlah mŭmanggil anakku deri dalam nŭgri Masir. ¶ Kalakian apabila dilihat ulih Herodis, bahwa iya tŭlah ditipu ulih pŭndita pŭndita itu, maka tŭrlalulah marahnya, sŭrta disurohkannya orang pŭrgi mŭmbunoh sagala budak budak yang ada diBathliham, dan pada skalian jajahannya itu yang ada bŭrumor dua tahun dan korang deripada itu, diturotnya spŭrti kutika yang tŭlah dipreksainya baik baik deripada pŭndita pŭndita itu. Maka pada tŭtkala itu gŭnaplah pŭrkara yang dikatakan ulih Nabi Jermiah; Katanya, Kadŭngaranlah dinŭgri Rama, satu suara ratap dan tangis, dan duka chita yang amat sangat, iya itu Rahil mŭnangiskan anaknya, tiadalah iya mahu dihiburkan sŭbab katidaan anaknya. ¶ Adapun apabila matilah Herodis, hieran, datanglah sa’orang mŭliekat Tuhan, dilihat Yosof dalam mimpi diMasir; Katanya, Bangunlah angkau, ambil akan kanak kanak itu sŭrta dŭngan ibunya, bawalah pŭrgi katanah Israil, kŭrna adapun yang handak mŭmbunoh kanak kanak itu sudah mati. Hata bangunlah iya, sambil diambilnya kanak kanak itu sŭrta dŭngan ibunya, maka pŭrgilah iya katanah Israil.