MATIUS 16:6-19

MATIUS 16:6-19 BM

Yesus berkata kepada mereka, “Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki.” Mereka mula bercakap sesama sendiri, “Dia berkata demikian kerana kita tidak membawa roti.” Yesus mengetahui apa yang dipersoalkan mereka. Dia berkata, “Mengapa kamu mempersoalkan hal tidak membawa roti? Kamu kurang percaya kepada-Ku! Adakah kamu masih belum mengerti? Tidakkah kamu ingat bagaimana Aku membahagikan lima ketul roti untuk lima ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan? Bagaimanakah dengan tujuh ketul roti yang Aku bahagikan untuk empat ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan? Mengapakah kamu tidak faham bahawa Aku tidak berkata-kata tentang roti? Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki!” Barulah pengikut-pengikut Yesus faham bahawa Yesus tidak menyuruh mereka berhati-hati dengan ragi yang digunakan untuk membuat roti, tetapi dengan ajaran orang Farisi dan Saduki. Yesus pergi ke daerah dekat kota Kaisarea Filipi. Di situ Dia bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Menurut kata orang siapakah Anak Manusia itu?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis. Ada juga yang berkata Elia, sedangkan yang lain berkata Yeremia atau salah seorang nabi.” “Tetapi menurut kamu, siapakah Aku ini?” tanya Yesus. Simon Petrus menjawab, “Guru ialah Penyelamat yang diutus oleh Allah, Anak Allah Yang Hidup.” “Hai Simon anak Yohanes, berbahagialah engkau!” kata Yesus, “Bukannya manusia yang memberitahukan hal itu kepadamu, tetapi Bapa-Ku di syurga yang memberitahumu. Oleh itu ketahuilah, engkau Petrus, batu yang kuat. Dengan beralaskan batu inilah, Aku akan membina jemaah-Ku. Bahkan maut pun tidak dapat memusnahkannya! Aku akan memberikan kunci Dunia Baru Allah kepadamu. Apa yang engkau larang di atas bumi, akan dilarang juga di syurga. Apa yang engkau benarkan di atas bumi, akan dibenarkan juga di syurga.”