MATIUS 16:13-23

MATIUS 16:13-23 BM

Yesus pergi ke daerah dekat kota Kaisarea Filipi. Di situ Dia bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Menurut kata orang siapakah Anak Manusia itu?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis. Ada juga yang berkata Elia, sedangkan yang lain berkata Yeremia atau salah seorang nabi.” “Tetapi menurut kamu, siapakah Aku ini?” tanya Yesus. Simon Petrus menjawab, “Guru ialah Penyelamat yang diutus oleh Allah, Anak Allah Yang Hidup.” “Hai Simon anak Yohanes, berbahagialah engkau!” kata Yesus, “Bukannya manusia yang memberitahukan hal itu kepadamu, tetapi Bapa-Ku di syurga yang memberitahumu. Oleh itu ketahuilah, engkau Petrus, batu yang kuat. Dengan beralaskan batu inilah, Aku akan membina jemaah-Ku. Bahkan maut pun tidak dapat memusnahkannya! Aku akan memberikan kunci Dunia Baru Allah kepadamu. Apa yang engkau larang di atas bumi, akan dilarang juga di syurga. Apa yang engkau benarkan di atas bumi, akan dibenarkan juga di syurga.” Kemudian Yesus melarang pengikut-pengikut-Nya memberitahu sesiapa pun bahawa Dia Penyelamat yang diutus oleh Allah. Sejak itu, Yesus mula berkata dengan terus-terang kepada pengikut-pengikut-Nya, “Aku harus pergi ke Yerusalem dan mengalami banyak penderitaan yang disebabkan oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Aku akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga Aku akan dibangkitkan semula!” Petrus menarik Yesus ke tepi dan mula menegur Dia, “Ya Tuhan, semoga Allah menjauhkan perkara itu daripada Tuhan! Perkara itu tidak boleh berlaku kepada Tuhan!” Yesus berpaling lalu berkata kepada Petrus, “Pergilah dari sini, hai Iblis! Engkau penghalang jalan-Ku. Fikiranmu itu fikiran manusia, bukan fikiran Allah!”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan MATIUS 16:13-23

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami