MATIUS 13:18-35

MATIUS 13:18-35 BM

“Dengarlah dan ketahuilah makna perumpamaan tentang seorang penabur itu. Benih yang jatuh di jalan bagaikan orang yang mendengar perkhabaran tentang bagaimana Allah memerintah, tetapi tidak memahaminya. Si Jahat iaitu Iblis datang lalu merampas apa yang sudah ditabur di dalam hati mereka. Benih yang jatuh di tempat yang berbatu bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu lalu segera menerimanya dengan sukacita. Tetapi perkhabaran itu tidak berakar di dalam hati, sehingga mereka tidak tahan lama. Apabila mereka menderita kesusahan atau penganiayaan oleh sebab perkhabaran itu, segera mereka tidak lagi percaya kepada perkhabaran itu. Benih yang jatuh di tengah semak berduri bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu, tetapi kekhuatiran tentang hidup dan keinginan untuk hidup mewah membantutkan perkhabaran itu sehingga tidak berbuah. Benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu lalu memahaminya, dan berbuah banyak; ada yang seratus kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang tiga puluh kali ganda.” Yesus menceritakan sebuah perumpamaan lain kepada mereka. “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti seorang yang menabur benih yang baik di ladangnya. Pada suatu malam, ketika semua orang sedang tidur, musuhnya datang lalu menanam lalang di antara gandum itu, kemudian dia pergi. Apabila tanaman itu membesar dan bulir gandum muncul, lalang-lalang itu kelihatan. Hamba peladang itu datang kepadanya dan berkata, ‘Tuan menanam benih yang baik di ladang. Dari manakah datangnya lalang-lalang ini?’ Peladang itu menjawab, ‘Seorang musuh sudah melakukan perkara ini.’ Hambanya bertanya, ‘Adakah tuan mahu kami mencabut lalang-lalang itu?’ ‘Tidak,’ jawabnya, ‘kerana pada masa kamu mencabut lalang, mungkin gandum ikut tercabut. Biarkanlah lalang tumbuh bersama-sama gandum sehingga tiba masa menuai gandum. Lalu aku akan berkata kepada para penuai supaya mencabut lalang dahulu, lalu mengikatnya dan kemudian membakarnya. Selepas itu baru kumpulkan gandum, lalu simpanlah gandum di dalam jelapang.’ ” Yesus menceritakan sebuah perumpamaan lain kepada mereka, “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti sebutir biji sawi yang diambil oleh seseorang, lalu ditanam di ladang. Biji sawi adalah benih yang terkecil, tetapi apabila tumbuh, menjadi lebih besar daripada segala tanaman. Tanaman itu menjadi pokok, sehingga burung datang membuat sarang pada cabangnya.” Yesus menceritakan sebuah perumpamaan lain. “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti ini. Seorang wanita mengambil sedikit ragi, lalu mencampurnya dengan empat puluh liter tepung sehingga adunan itu naik.” Demikianlah Yesus mengajar orang ramai perkara-perkara ini dengan menggunakan perumpamaan. Dia tidak berkata apa-apa tanpa menggunakan perumpamaan. Yesus berbuat demikian supaya berlakulah apa yang dikatakan oleh nabi, “Aku akan menggunakan perumpamaan apabila bertutur dengan mereka; Aku akan memberitahu mereka perkara-perkara yang tersembunyi sejak dunia diciptakan.”