MATIUS 12:1-14

MATIUS 12:1-14 BM

Pada suatu hari Sabat, Yesus melewati ladang gandum. Pengikut-pengikut-Nya lapar, dan mereka mula memetik gandum lalu memakannya. Apabila orang Farisi nampak hal ini, mereka berkata kepada Yesus, “Lihatlah, pengikutmu melanggar Taurat kita. Mereka melakukan apa yang dilarang pada hari Sabat!” Yesus menjawab, “Belum pernahkah kamu baca apa yang dilakukan oleh Daud ketika dia dan anak buahnya lapar? Daud masuk ke dalam Khemah Allah, lalu dia dan anak buahnya makan roti yang sudah dipersembahkan kepada Allah, walaupun perbuatan itu melanggar Taurat. Hanya imam yang dibenarkan makan roti itu. Belum pernahkah kamu baca di dalam Taurat Musa bahawa pada setiap hari Sabat, imam di Rumah Tuhan sebetulnya melanggar hukum hari Sabat? Tetapi mereka tidak disalahkan. Perhatikan apa yang Aku katakan ini: Di sini ada yang lebih penting daripada Rumah Tuhan. Di dalam Alkitab tertulis, ‘Aku menghendaki belas kasihan, bukan korban binatang.’ Jika kamu benar-benar memahami ayat itu, tentu kamu tidak akan menyalahkan orang yang tidak bersalah, kerana Anak Manusia berkuasa atas hari Sabat.” Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke sebuah rumah ibadat. Di situ ada seorang yang tangannya lumpuh sebelah. Tetapi ada juga beberapa orang yang hendak mencari-cari kesalahan Yesus supaya dapat menuduh Dia. Mereka bertanya kepada Yesus, “Adakah menyembuhkan orang pada hari Sabat melanggar Taurat kita?” Yesus menjawab, “Apakah yang akan kamu lakukan seandainya seorang antara kamu mempunyai seekor domba, lalu pada hari Sabat domba itu jatuh ke dalam lubang yang dalam? Tentunya kamu akan berusaha untuk mengeluarkannya dari lubang itu. Manusia lebih berharga daripada domba! Oleh itu, Taurat kita membenarkan kita menolong seseorang pada hari Sabat.” Kemudian Yesus berkata kepada orang yang tangannya lumpuh sebelah, “Hulurkanlah tanganmu.” Orang itu pun menghulurkan tangannya, dan sembuhlah tangan itu sehingga seperti tangannya yang sebelah. Tetapi orang Farisi di situ meninggalkan tempat itu lalu berkomplot hendak membunuh Yesus.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami