LUKAS 9:1-17

LUKAS 9:1-17 BM

Yesus memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu Dia memberi mereka kuasa dan wibawa untuk mengusir roh jahat serta menyembuhkan penyakit. Setelah itu Dia mengutus mereka pergi menyembuhkan orang sakit dan mengkhabarkan berita tentang bagaimana Allah memerintah. Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah bawa apa-apa untuk perjalanan kamu, baik tongkat, beg sedekah, makanan, wang, mahupun dua helai pakaian. Di mana sahaja kamu disambut, tinggallah di rumah itu sehingga kamu meninggalkan kota itu. Di tempat kamu tidak disambut orang, tinggalkan kota itu dan kebaskanlah debu daripada telapak kaki kamu sebagai amaran kepada mereka.” Pengikut-pengikut-Nya berangkat, lalu pergi ke semua pekan untuk mengkhabarkan Berita Baik itu dan menyembuhkan orang sakit di mana-mana. Ketika Herodes yang memerintah Galilea, mendengar segala perkara yang sedang berlaku itu, dia bingung kerana ada yang berkata, “Yohanes Pembaptis hidup semula!” Yang lain berkata bahawa Elia sudah kembali, sedangkan ada juga yang berkata bahawa seorang daripada nabi-nabi dahulu kala sudah hidup semula. Herodes berkata, “Aku sudah menyuruh orang memancung kepala Yohanes. Tetapi siapakah orang ini? Banyak perkara tentang orang ini sudah aku dengar.” Herodes tetap berusaha untuk berjumpa dengan Yesus. Rasul-rasul Yesus kembali kepada Yesus dan menceritakan segala yang sudah dilakukan oleh mereka. Lalu Yesus membawa mereka ke kota Betsaida. Apabila orang ramai mengetahui hal itu, mereka mengikut Yesus. Yesus menyambut mereka, lalu mengajar mereka tentang Pemerintahan Allah, dan menyembuhkan orang yang minta disembuhkan. Apabila hari mula senja, dua belas orang pengikut itu datang kepada Yesus dan berkata, “Suruhlah semua orang ini pulang, supaya mereka dapat pergi ke pekan dan kampung di sekitar tempat ini untuk mendapatkan makanan dan mencari tempat bermalam. Tempat ini terpencil.” Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Sebaiknya kamu beri mereka makanan.” Mereka menjawab, “Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan. Adakah Guru mahu kami pergi membeli makanan untuk orang sebanyak ini?” (Ada kira-kira lima ribu orang lelaki di situ.) Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Suruhlah mereka duduk dalam kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.” Pengikut-pengikut Yesus melakukan suruhan Yesus lalu semua orang pun duduk. Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti dan ikan itu, lalu menyerahkannya kepada para pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. Semua orang makan sampai kenyang. Setelah itu pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul.