LUKAS 9:1-17
LUKAS 9:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu Dia memberi mereka kuasa dan wibawa untuk mengusir roh jahat serta menyembuhkan penyakit. Setelah itu Dia mengutus mereka pergi menyembuhkan orang sakit dan mengkhabarkan berita tentang bagaimana Allah memerintah. Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah bawa apa-apa untuk perjalanan kamu, baik tongkat, beg sedekah, makanan, wang, mahupun dua helai pakaian. Di mana sahaja kamu disambut, tinggallah di rumah itu sehingga kamu meninggalkan kota itu. Di tempat kamu tidak disambut orang, tinggalkan kota itu dan kebaskanlah debu daripada telapak kaki kamu sebagai amaran kepada mereka.” Pengikut-pengikut-Nya berangkat, lalu pergi ke semua pekan untuk mengkhabarkan Berita Baik itu dan menyembuhkan orang sakit di mana-mana. Ketika Herodes yang memerintah Galilea, mendengar segala perkara yang sedang berlaku itu, dia bingung kerana ada yang berkata, “Yohanes Pembaptis hidup semula!” Yang lain berkata bahawa Elia sudah kembali, sedangkan ada juga yang berkata bahawa seorang daripada nabi-nabi dahulu kala sudah hidup semula. Herodes berkata, “Aku sudah menyuruh orang memancung kepala Yohanes. Tetapi siapakah orang ini? Banyak perkara tentang orang ini sudah aku dengar.” Herodes tetap berusaha untuk berjumpa dengan Yesus. Rasul-rasul Yesus kembali kepada Yesus dan menceritakan segala yang sudah dilakukan oleh mereka. Lalu Yesus membawa mereka ke kota Betsaida. Apabila orang ramai mengetahui hal itu, mereka mengikut Yesus. Yesus menyambut mereka, lalu mengajar mereka tentang Pemerintahan Allah, dan menyembuhkan orang yang minta disembuhkan. Apabila hari mula senja, dua belas orang pengikut itu datang kepada Yesus dan berkata, “Suruhlah semua orang ini pulang, supaya mereka dapat pergi ke pekan dan kampung di sekitar tempat ini untuk mendapatkan makanan dan mencari tempat bermalam. Tempat ini terpencil.” Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Sebaiknya kamu beri mereka makanan.” Mereka menjawab, “Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan. Adakah Guru mahu kami pergi membeli makanan untuk orang sebanyak ini?” (Ada kira-kira lima ribu orang lelaki di situ.) Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Suruhlah mereka duduk dalam kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.” Pengikut-pengikut Yesus melakukan suruhan Yesus lalu semua orang pun duduk. Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti dan ikan itu, lalu menyerahkannya kepada para pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. Semua orang makan sampai kenyang. Setelah itu pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul.
LUKAS 9:1-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬTLAH itu maka dipanggil ulih Isa dua blas murid muridnya bŭrsama sama, sŭrta dibrinya kwasa, dan prentah akan marika itu atas sagala hantu, dan akan mŭnyŭmbohkan sagala pŭnyakit. Maka disurohkannya akan marika itu mŭmashorkan krajaan Allah, dan mŭnyŭmbohkan orang pŭnyakit. Maka katanya kapada marika itu, Janganlah kamu mŭmbawa barang apa dalam pŭrjalananmu, baik pundi pundi, atau tongkat; baik roti, atau wang, atau bŭrbaju dua lapis. Maka barang rumah kamu masok, tingallah disana, kumdian pulanglah. Maka barang siapa yang tiada mŭnyambut akan dikau, apabila angkau kluar deripada nŭgri itu, kŭbaskanlah abok yang lŭkat dikakimu pun, kŭrna iya itu mŭnjadi saksi atas marika itu. Maka marika itu pun pŭrgilah, lalu masok kŭdalam nŭgri nŭgri mŭngajarkan Injil, dan mŭnyŭmbohkan pŭnyakit pada tiap tiap tŭmpat. ¶ Maka didŭngar ulih Herodis Titrak sagala pŭrkara yang tŭlah dipŭrbuat ulih Isa, maka iya pun tŭrbingunglah, kŭrna tŭlah dikatakan ulih sŭtŭngah orang, adapun Yahya itu tŭlah bŭrbangkit deripada mati. Maka kata sŭtŭngah orang, Bahwa Ilias tŭlah datang; dan kata yang lain, Iya itu sa’orang deri nabi yang dahulu dahulu tŭlah bŭrbangkit pula. Maka kata Herodis, Yahya itu tŭlah kupanchong kŭpalanya, tŭtapi siapakah ini aku mŭnŭngar pŭrkara pŭrkara yang dŭmkian? Maka iya handak mŭlihat akan Isa. ¶ Maka apabila bŭrbaliklah Rasol Rasol itu, dikatakannyalah kapada Isa barang yang tŭlah dipŭrbuatnya. Maka dibawanya marika itu kasŭblah suatu tŭmpat sunyi, iya itu tŭrta’lok kapada nŭgri yang bŭrnama Bethsieda. Maka apabila dikŭtahuilah ulih kaum itu, diikotnyalah akan dia; lalu ditrimalah ulih Isa akan marika itu, sŭrta bŭrkata kata iya kapada marika itu derihal krajaan Allah, lalu disŭmbohkannya akan marika itu yang patut disŭmbohkan. Maka apabila hari hampirlah malam, datanglah dua blas murid muridnya bŭrkata kapadanya, Surohkanlah bŭlatantara ini pŭrgi, supaya bulih marika itu pŭrgi kŭdalam kampong kampong, dan nŭgri nŭgri yang bŭrkuliling mŭnumpang, dan mŭndapat makanan, kŭrna adalah kita ini disini dalam tŭmpat sunyi. Tŭtapi kata Isa kapadanya, Brilah ulih kamu akan marika itu makan. Maka kata marika itu, Tiadalah kapada kami lebih deripada lima buah roti, dan dua ekor ikan, mŭlainkan kalau kami pŭrgi mŭmblikan makanan akan sagala kaum ini. Kŭrna adalah marika itu skalian kira kira lima ribu orang. Maka kata Isa kapada murid muridnya, Dudokkanlah marika itu lima lima orang sa’tompok. Maka dŭmkian didudokkannyalah marika itu skalian. Sŭtlah itu diambilnyalah lima buah roti dan dua ekor ikan, sŭrta tŭngadah kŭlangit, dibŭrkatinya akan dia, lalu dipŭchahkannya sŭrta dibrikannya kapada murid muridnya, supaya ditarohkan dihadapan bŭlatantara itn. Maka dimakanlah ulih marika itu sampie skaliannya kŭnyang; diangkatlah remah remah yang tŭrtinggalkan kapada marika itu dua blas bakol.
LUKAS 9:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus memanggil murid-Nya yang dua belas itu lalu memberi mereka kuasa dan perintah untuk mengusir segala roh iblis dan menyembuhkan berbagai-bagai penyakit. Dia mengutus mereka untuk mengkhabarkan kerajaan Allah dan menyembuhkan orang sakit. Yesus berkata kepada mereka, “Jangan kamu bawa apa jua pun dalam perjalananmu, baik tongkat, baik beg, baik makanan, baik wang mahupun dua helai pakaian. Di rumah mana-mana pun kamu disambut, menetaplah di situ sehingga kamu beredar dari bandar itu. Di mana-mana kamu tidak disambut, tinggalkan bandar itu dan kebaskanlah debu daripada kakimu sebagai kesaksian terhadap mereka.” Mereka pun berangkat lalu pergi dari kampung ke kampung untuk menyampaikan Injil dan menyembuhkan orang di mana-mana sahaja. Herodes, raja wilayah, mendengar segala perkara yang berlaku. Dia keliru kerana ada yang mengatakan bahawa Yohanes telah dibangkitkan daripada kematian, ada yang berkata bahawa Elia telah muncul; ada juga yang berkata bahawa salah seorang nabi pada zaman dahulu telah hidup kembali. Herodes berkata, “Yohanes itu telah kupancung kepalanya tetapi siapakah orang ini? Banyak perkara tentangnya telah aku dengar.” Oleh yang demikian, dia mencari jalan untuk menemui Yesus. Setelah rasul-rasul itu kembali, mereka menceritakan kepada Yesus segala perkara yang telah dilakukan mereka. Yesus membawa mereka ke sebuah bandar yang bernama Betsaida. Tetapi orang ramai mendapat tahu akan hal itu lalu mengikut-Nya. Yesus menyambut mereka dan mengkhabarkan kerajaan Allah kepada mereka serta menyembuhkan orang yang memerlukan penyembuhan. Menjelang senja, dua belas murid itu datang kepada Yesus. Mereka berkata, “Suruhlah orang ramai ini pulang supaya mereka dapat pergi ke desa dan daerah di sekitar untuk mencari makanan dan penginapan kerana tempat ini terpencil.” Yesus berkata kepada mereka, “Kamulah memberi mereka makanan.” Murid-murid itu berkata lagi, “Kami hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan, melainkan kami pergi membeli makanan untuk orang ramai ini.” Terdapat kira-kira lima ribu orang lelaki di situ. Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Suruh mereka duduk berkelompok-kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.” Murid-murid itu melakukan suruhan Yesus dan semua orang pun duduk. Setelah mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur atas makanan itu. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. Mereka semuanya makan sehingga kenyang. Para murid-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas bakul.