Pada suatu hari Yesus dengan pengikut-pengikut-Nya menaiki sebuah perahu. Dia berkata kepada mereka, “Marilah kita menyeberang tasik.” Mereka pun bertolak. Sedang mereka belayar, Yesus tidur. Tiba-tiba angin kencang melanda tasik itu. Air mula masuk ke dalam perahu sehingga membahayakan mereka semua. Pengikut-pengikut Yesus pergi kepada Yesus lalu membangunkan Dia. Mereka berkata, “Guru, Guru, kita hampir tenggelam!”
Yesus bangun lalu menengking angin dan ombak yang bergelora. Angin dan ombak pun teduh dan tasik menjadi tenang sekali. Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku?”
Tetapi mereka hairan dan takut serta bercakap sesama sendiri, “Siapakah orang ini, sehingga angin dan ombak taat kepada perintahnya?”
Mereka terus belayar ke daerah Gerasa di seberang Tasik Galilea. Sedang Yesus naik ke darat, Dia didatangi seorang lelaki dari bandar. Orang itu dirasuk roh jahat. Sudah lama orang itu tidak berpakaian dan tidak mahu tinggal di rumah. Dia tinggal di gua kubur. Apabila dia melihat Yesus, dia berteriak serta sujud di hadapan Yesus, dan berseru, “Hai Yesus, Anak Allah Yang Maha Tinggi! Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap aku? Aku mohon, janganlah seksa aku!” Orang itu berkata demikian kerana Yesus telah memerintah roh jahat itu keluar daripadanya. Banyak kali roh jahat itu menguasai orang itu. Walaupun dia dijaga dengan ketat dan kaki tangannya dirantai, dia dapat memutuskan rantai itu, lalu roh jahat membawa dia ke padang gurun.
Yesus bertanya kepadanya, “Siapa namamu?”
Dia menjawab, “ ‘Legiun’ ” - kerana banyak roh jahat sudah masuk ke dalam dirinya. Roh-roh jahat itu memohon supaya Yesus tidak menghalau roh-roh itu ke Jurang Maut.
Dekat tempat itu ada kawanan babi sedang mencari makan di lereng bukit. Roh-roh jahat itu memohon supaya Yesus membenarkan roh-roh itu masuk ke dalam kawanan babi itu. Yesus bersetuju. Begitulah roh-roh jahat itu keluar daripada orang itu lalu masuk ke dalam kawanan babi. Kemudian kawanan babi itu lari ke tepi jurang dan terjun ke dalam tasik lalu tenggelam.
Penjaga-penjaga babi itu nampak apa yang sudah berlaku. Mereka lari dari situ lalu menyebarkan berita itu di bandar dan di kampung-kampung sekitarnya. Lalu orang ramai keluar hendak melihat apa yang sudah berlaku. Mereka datang kepada Yesus dan mendapati orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat duduk dekat kaki Yesus. Orang itu sudah berpakaian dan waras fikirannya. Mereka semua ketakutan. Semua orang yang telah melihat kejadian itu memberitahu orang ramai bagaimana orang itu disembuhkan. Lalu penduduk daerah Gerasa memohon supaya Yesus meninggalkan tempat itu, kerana mereka semua sangat takut. Oleh itu Yesus menaiki perahu lalu pergi dari situ. Orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat memohon kepada Yesus supaya dibenarkan mengikut Yesus.
Tetapi Yesus menyuruh dia pergi, “Pulanglah ke rumah, dan ceritakan apa yang telah dilakukan oleh Allah untukmu.”
Orang itu pergi ke seluruh pelosok bandar dan menceritakan apa yang telah dilakukan oleh Yesus untuknya.
Apabila Yesus kembali ke seberang tasik, orang ramai menyambut Dia kerana mereka sedang menanti-nantikan Dia. Lalu datanglah seorang bernama Yairus. Dia ketua rumah ibadat tempatan. Dia sujud di hadapan Yesus dan memohon supaya Yesus datang ke rumahnya, kerana anak perempuannya yang tunggal, yang berumur dua belas tahun, hampir meninggal.
Sedang Yesus berjalan ke rumah Yairus, orang mengasak Dia dari semua sisi. Di situ ada seorang wanita yang menderita penyakit pendarahan selama dua belas tahun. Dia telah menghabiskan segala miliknya untuk rawatan doktor, tetapi tiada seorang pun dapat menyembuhkan dia. Wanita itu mendekati Yesus dari belakang, lalu menyentuh hujung jubah-Nya, dan dengan segera pendarahannya berhenti. Yesus bertanya, “Siapa menyentuh Aku?”
Tiada orang yang mahu mengaku. Petrus berkata, “Guru, orang di sini banyak sekali; mereka berasak-asakan!”
Tetapi Yesus berkata, “Ada orang yang menyentuh Aku. Aku tahu kerana kuasa telah keluar daripada-Ku.” Wanita itu sedar bahawa perbuatannya sudah diketahui oleh Yesus. Dia datang dengan gementar lalu sujud pada kaki Yesus. Di hadapan semua orang, dia memberitahu Yesus mengapa dia menyentuh Yesus dan bagaimana penyakitnya sembuh dengan serta-merta. Yesus berkata kepadanya, “Anak-Ku, kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh. Pergilah dengan sejahtera.”
Sedang Yesus berkata demikian, seorang pesuruh datang dari rumah Yairus. Dia berkata kepada Yairus, “Anak perempuan tuan sudah meninggal. Janganlah susahkan guru lagi.”
Yesus mendengar kata-kata itu. Dia berkata kepada Yairus. “Jangan takut. Percayalah sahaja dan anakmu akan sembuh.”
Apabila Yesus tiba di rumah itu, Dia tidak membenarkan sesiapa pun masuk dengan Dia kecuali Petrus, Yohanes, Yakobus, dan ibu bapa anak itu. Semua orang sedang menangisi dan meratapi kematian anak itu. Yesus berkata, “Janganlah menangis. Anak ini tidak meninggal, dia hanya tidur!”
Semua orang mentertawakan Yesus, kerana mereka tahu bahawa anak itu sudah meninggal. Tetapi Yesus memegang tangan anak itu, lalu berkata, “Bangunlah, nak!” Nyawa anak itu kembali dan seketika itu juga dia bangun. Lalu Yesus menyuruh mereka memberikan makanan kepada anak itu. Ibu bapa anak itu sangat hairan, tetapi Yesus melarang mereka memberitahu sesiapa pun apa yang sudah berlaku.