LUKAS 7:1-10

LUKAS 7:1-10 BM

Setelah Yesus mengatakan segala perkara itu kepada orang ramai, Dia pergi ke Kapernaum. Di situ ada seorang ketua askar Roma yang mempunyai seorang hamba yang sangat dikasihinya. Hamba itu sakit dan hampir meninggal. Ketika ketua askar itu mendengar tentang Yesus, dia menyuruh beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudi pergi kepada Yesus untuk meminta Dia datang dan menyembuhkan hambanya. Mereka pergi kepada Yesus lalu memohon dengan sungguh-sungguh, “Orang ini layak tuan tolong. Dia mengasihi bangsa kita, dan bahkan membina rumah ibadat untuk kami.” Yesus pergi bersama-sama mereka. Ketika Dia hampir tiba di rumah itu, ketua askar itu mengutus sahabat-sahabatnya supaya berkata kepada Yesus, “Tuan, janganlah bersusah-susah ke rumah saya. Saya tidak layak menyambut tuan ke rumah saya. Saya sendiri pun tidak layak menghadap tuan. Perintahkanlah sahaja, tentu hamba saya akan sembuh. Saya pun di bawah perintah perwira atasan, dan di bawah saya juga ada askar-askar lain. Apabila saya menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi; dan apabila saya menyuruh seorang askar lain, ‘Ke mari!’ dia pun datang. Apabila saya menyuruh hamba saya, ‘Buatlah ini!’ dia pun melakukannya.” Yesus hairan mendengar hal itu. Dia berpaling lalu berkata kepada orang ramai yang sedang mengikuti-Nya, “Belum pernah Aku jumpai orang yang beriman sebesar ini, bahkan di kalangan orang Israel pun tidak!” Ketika orang yang disuruh itu kembali ke rumah ketua askar, mereka mendapati hamba itu sudah sembuh.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami