LUKAS 5:17-26

LUKAS 5:17-26 BM

Pada suatu hari ketika Yesus sedang mengajar, beberapa orang Farisi dan guru Taurat duduk di situ. Mereka datang dari Yerusalem, dari semua kota di Galilea dan Yudea. Kuasa Tuhan ada pada Yesus untuk menyembuhkan orang sakit. Pada waktu itu, beberapa orang datang membawa seorang lumpuh yang berbaring di atas tikar. Mereka cuba membawa dia ke dalam rumah supaya dapat meletakkannya di hadapan Yesus. Tetapi kerana orang di situ terlalu banyak, mereka tidak dapat membawa dia masuk. Oleh itu mereka membawa dia ke atas bumbung rumah. Kemudian mereka membuka bumbung rumah itu dan menurunkan dia dengan tikarnya di hadapan Yesus di tengah-tengah orang ramai itu. Apabila Yesus melihat betapa besarnya iman mereka, Dia berkata kepada orang itu, “Hai kawan, dosamu sudah diampunkan.” Semua guru Taurat dan orang Farisi di situ mula bercakap sesama sendiri, “Siapakah orang ini? Dia mengkufuri Allah! Tidak seorang pun dapat mengampunkan dosa, kecuali Allah!” Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata, “Mengapa kamu berfikir demikian? Manakah yang lebih mudah, mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah dan berjalan’? Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa untuk mengampunkan dosa.” Lalu Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, “Aku berkata kepadamu, bangunlah, angkatlah tikarmu, dan pulanglah!” Dengan segera orang itu bangun di hadapan mereka semua, lalu mengangkat tikarnya dan pulang sambil memuji Allah. Orang ramai kehairanan lalu memuji Allah. Dengan perasaan takut mereka berkata, “Sungguh menghairankan perkara yang kita saksikan hari ini!”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami