LUKAS 5:11-32

LUKAS 5:11-32 BM

Mereka menarik perahu-perahu itu ke pantai dan meninggalkan segala-galanya, lalu mengikut Yesus. Pada suatu hari, Yesus berada di sebuah kota. Di situ ada seorang lelaki berpenyakit kulit yang mengerikan. Ketika dia nampak Yesus, dia bersujud di hadapan Yesus dan memohon, “Tuan, jika tuan mahu, tuan boleh menyembuhkan saya!” Yesus menghulurkan tangan-Nya lalu menjamah dia. “Aku mahu,” kata-Nya, “sembuhlah!” Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi. Yesus memerintah dia, “Jangan beritahukan hal ini kepada sesiapa pun. Pergilah temui imam supaya dia mengesahkan kesembuhanmu. Lalu persembahkanlah korban sebagaimana yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu sudah sembuh.” Tetapi berita tentang Yesus semakin tersebar luas. Banyak orang datang untuk mendengar Dia dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Tetapi Yesus pergi ke tempat yang sunyi dan berdoa. Pada suatu hari ketika Yesus sedang mengajar, beberapa orang Farisi dan guru Taurat duduk di situ. Mereka datang dari Yerusalem, dari semua kota di Galilea dan Yudea. Kuasa Tuhan ada pada Yesus untuk menyembuhkan orang sakit. Pada waktu itu, beberapa orang datang membawa seorang lumpuh yang berbaring di atas tikar. Mereka cuba membawa dia ke dalam rumah supaya dapat meletakkannya di hadapan Yesus. Tetapi kerana orang di situ terlalu banyak, mereka tidak dapat membawa dia masuk. Oleh itu mereka membawa dia ke atas bumbung rumah. Kemudian mereka membuka bumbung rumah itu dan menurunkan dia dengan tikarnya di hadapan Yesus di tengah-tengah orang ramai itu. Apabila Yesus melihat betapa besarnya iman mereka, Dia berkata kepada orang itu, “Hai kawan, dosamu sudah diampunkan.” Semua guru Taurat dan orang Farisi di situ mula bercakap sesama sendiri, “Siapakah orang ini? Dia mengkufuri Allah! Tidak seorang pun dapat mengampunkan dosa, kecuali Allah!” Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata, “Mengapa kamu berfikir demikian? Manakah yang lebih mudah, mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah dan berjalan’? Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa untuk mengampunkan dosa.” Lalu Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, “Aku berkata kepadamu, bangunlah, angkatlah tikarmu, dan pulanglah!” Dengan segera orang itu bangun di hadapan mereka semua, lalu mengangkat tikarnya dan pulang sambil memuji Allah. Orang ramai kehairanan lalu memuji Allah. Dengan perasaan takut mereka berkata, “Sungguh menghairankan perkara yang kita saksikan hari ini!” Setelah itu Yesus keluar dan nampak seorang pemungut cukai bernama Lewi sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku.” Lewi berdiri, meninggalkan semuanya, lalu mengikut Yesus. Kemudian Lewi mengadakan jamuan besar di rumahnya untuk Yesus. Banyak pemungut cukai dan orang lain makan bersama-sama mereka. Beberapa orang Farisi dan guru Taurat bersungut-sungut kepada pengikut-pengikut Yesus. Mereka bertanya, “Mengapa kamu makan dan minum bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?” Yesus menjawab, “Orang sihat tidak memerlukan doktor, hanya orang sakit. Aku datang bukan untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi orang yang berdosa supaya mereka bertaubat daripada dosa.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan LUKAS 5:11-32