LUKAS 5:11-32

LUKAS 5:11-32 Alkitab Berita Baik (BM)

Mereka menarik perahu-perahu itu ke pantai dan meninggalkan segala-galanya, lalu mengikut Yesus. Pada suatu hari, Yesus berada di sebuah kota. Di situ ada seorang lelaki berpenyakit kulit yang mengerikan. Ketika dia nampak Yesus, dia bersujud di hadapan Yesus dan memohon, “Tuan, jika tuan mahu, tuan boleh menyembuhkan saya!” Yesus menghulurkan tangan-Nya lalu menjamah dia. “Aku mahu,” kata-Nya, “sembuhlah!” Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi. Yesus memerintah dia, “Jangan beritahukan hal ini kepada sesiapa pun. Pergilah temui imam supaya dia mengesahkan kesembuhanmu. Lalu persembahkanlah korban sebagaimana yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu sudah sembuh.” Tetapi berita tentang Yesus semakin tersebar luas. Banyak orang datang untuk mendengar Dia dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Tetapi Yesus pergi ke tempat yang sunyi dan berdoa. Pada suatu hari ketika Yesus sedang mengajar, beberapa orang Farisi dan guru Taurat duduk di situ. Mereka datang dari Yerusalem, dari semua kota di Galilea dan Yudea. Kuasa Tuhan ada pada Yesus untuk menyembuhkan orang sakit. Pada waktu itu, beberapa orang datang membawa seorang lumpuh yang berbaring di atas tikar. Mereka cuba membawa dia ke dalam rumah supaya dapat meletakkannya di hadapan Yesus. Tetapi kerana orang di situ terlalu banyak, mereka tidak dapat membawa dia masuk. Oleh itu mereka membawa dia ke atas bumbung rumah. Kemudian mereka membuka bumbung rumah itu dan menurunkan dia dengan tikarnya di hadapan Yesus di tengah-tengah orang ramai itu. Apabila Yesus melihat betapa besarnya iman mereka, Dia berkata kepada orang itu, “Hai kawan, dosamu sudah diampunkan.” Semua guru Taurat dan orang Farisi di situ mula bercakap sesama sendiri, “Siapakah orang ini? Dia mengkufuri Allah! Tidak seorang pun dapat mengampunkan dosa, kecuali Allah!” Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata, “Mengapa kamu berfikir demikian? Manakah yang lebih mudah, mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah dan berjalan’? Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa untuk mengampunkan dosa.” Lalu Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, “Aku berkata kepadamu, bangunlah, angkatlah tikarmu, dan pulanglah!” Dengan segera orang itu bangun di hadapan mereka semua, lalu mengangkat tikarnya dan pulang sambil memuji Allah. Orang ramai kehairanan lalu memuji Allah. Dengan perasaan takut mereka berkata, “Sungguh menghairankan perkara yang kita saksikan hari ini!” Setelah itu Yesus keluar dan nampak seorang pemungut cukai bernama Lewi sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku.” Lewi berdiri, meninggalkan semuanya, lalu mengikut Yesus. Kemudian Lewi mengadakan jamuan besar di rumahnya untuk Yesus. Banyak pemungut cukai dan orang lain makan bersama-sama mereka. Beberapa orang Farisi dan guru Taurat bersungut-sungut kepada pengikut-pengikut Yesus. Mereka bertanya, “Mengapa kamu makan dan minum bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?” Yesus menjawab, “Orang sihat tidak memerlukan doktor, hanya orang sakit. Aku datang bukan untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi orang yang berdosa supaya mereka bertaubat daripada dosa.”

LUKAS 5:11-32 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka apabila sudahlah dibawa ulih marika itu pŭrahunya kŭdarat, maka ditinggalkannyalah skalian lalu mŭngikot akan dia. ¶ Maka pada skali pŭrstua tŭtkala Isa ada dalam sa’buah nŭgri anu, maka sŭsungguhnya adalah sa’orang pŭnoh dŭngan kusta, apabila dilihatnya Isa, maka sujudlah iya kabumi, sŭrta minta kapadanya, katanya, Tuhan, jikalau angkau mahu bulihlah angkau mŭnyuchikan aku. Maka dihulorkannyalah tangannya, lalu dijamahnya akan dia, katanya, Baiklah, jadilah angkau suchi. Maka dŭngan sŭbŭntar itu juga kusta itu pun tŭrbanglah deripadanya. Maka dipintanya kapadanya, Janganlah katakan kapada sa’orang jua pun, mŭlainkan pŭrgilah unjokkan dirimu kapada imam, dan buatlah korban, kŭrna angkau sudah suchi, spŭrti pŭsanan Musa, akan mŭnjadi saksi kapada marika itu. Tŭtapi makinlah lebih pŭchah warta itu bŭrkliling deri halnya. Maka banyaklah bŭlatantara datang bŭrkampong mŭnŭngar, dan akan disŭmbohkannya pŭnyakit pŭnyakitnya. ¶ Maka undorlah Isa kapada padang itu, lalu mŭminta doa. Sŭbarmula maka pada suatu hari tŭtkala iya mŭngajar, maka adalah disana orang orang Farisia, dan pŭndita pŭndita pun dudok bŭrsama sama, yang tŭlah kluar datang deripada tiap tiap kampong Galilia, dan Yahuda, dan Jerusalem; maka adapun kwasa Tuhan bŭrhampir mŭnyŭmbohkan marika itu. ¶ Maka sŭsungguhnya dibawa oranglah diatas katil sa’orang yang tŭrkŭna tepok, maka dichari ulih marika itu upaya akan mŭmbawa masok, supaya dilŭtakkan akan dia dihadapan Isa. Maka apabila marika itu tiada mŭndapat jalan bagimana bulih dibawa masok akan dia kŭdalam, ulih sŭbab bŭlatantara, maka naiklah marika itu ka’atas bumbongan rumah, maka dihulorkannyalah dia trus gŭnting dŭngan katilnya itu ditŭngah tŭngah dihadapan Isa. Maka apabila dilihat Isa iman marika itu, maka katanya kapadanya, Hie orang, sagala dosamu tŭlah diampuni. Maka khatib khatib, dan orang orang Farisia itu pun mŭmulai mŭnyangka nyangka, kata nya, Siapakah ini yang bŭrtutor hujat? Siapakah yang bulih mŭngampuni dosa, mŭlainkan Allah sahja? Maka apabila dikŭtahui Isa akan fikiran marika itu, maka jawabnya sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Apa sŭbab kamu mŭnyangka nyangka dalam hatimu? Manakah yang tŭrlebih sŭnang dikata, Dosamu sudah diampunikah? atau bŭrkata, Bangunlah sŭrta bŭrjalan? Tŭtapi supaya kamu mŭngtahui adapun Anak manusia itu ada bŭrkwasa diatas bumi akan mŭngampuni dosa; (iya bŭrkata kapada orang yang sakit tepok itu,) Aku bŭrkata kapadamu, bangunlah, angkat katilmu, pulanglah karumahmu. Maka dŭngan sŭbŭntar itu juga iya bangun dihadapan marika itu, sŭrta mŭngangkat akan tŭmpat iya bŭrbaring itu, lalu kŭmbalilah iya karumahnya, sambil iya mŭmuliakan Allah. Maka skalian marika itu pun ajaib, sŭrta mŭmuliakan Allah, dan pŭnohlah dŭngan takot, katanya, Kita tŭlah mŭlihat pŭrkara pŭrkara hieran pada hari ini. ¶ Maka sŭtlah kumdian deripada pŭrkara pŭrkara ini, pŭrgilah Isa bŭrjalan, maka dilihatnya sa’orang yang mŭmŭgang chukie, bŭrnama Levi, dudok ditŭmpat mŭnŭrima chukie; maka katanya kapadanya, Ikotlah aku. Maka ditinggalkannyalah skalian itu, bangunlah iya lalu diikotnya dia. Maka Levi pun mŭmbuatlah suatu pŭrjamuan bŭsar dalam rumahnya sŭndiri ulih sŭbab Isa, maka adalah banyak pŭrhimponan orang yang mŭmŭgang chukie, dan orang orang lain yang dudok bŭrsama sama dŭngan marika itu. Tŭtapi khatib khatib, dan orang Farisia pun bŭrsungotlah mŭlawan akan murid muridnya, katanya, Mŭngapakah kamu makan minum dŭngan orang orang yang mŭmŭgang chukie, dan orang orang bŭrdosa? Maka jawab Isa sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Tiadalah bŭrguna tabib kapada orang sehat, mŭlainkan kapada orang sakit. Aku bukannya datang ini mŭmanggil orang yang bŭnar, mŭlainkan orang bŭrdosa itu akan bŭrtaubat.

LUKAS 5:11-32 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah mereka menyadaikan perahu-perahu itu, mereka meninggalkan semuanya lalu mengikut Yesus. Pada suatu hari Yesus berada di sebuah bandar. Terdapat seorang yang berpenyakit kusta. Apabila dia melihat Yesus, dia meniarap lalu merayu kepada-Nya, “Tuan, jika Tuan mahu, Tuan dapat mentahirkanku.” Lalu Yesus pun menghulurkan tangan-Nya dan menyentuh orang itu sambil berkata, “Aku mahu. Tahirlah!” Pada saat itu juga, penyakit kustanya hilang. Yesus menyuruhnya, “Jangan beritahu sesiapa pun hal ini tetapi pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam serta persembahkan korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai kesaksian kepada mereka bahawa kamu sudah ditahirkan.” Akan tetapi, berita tentang Yesus tersebar lebih meluas dan ramai orang datang untuk mendengar-Nya dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Tetapi Yesus beredar ke tempat yang sunyi dan berdoa. Pada suatu hari ketika Yesus sedang mengajar, ada beberapa orang Farisi dan ahli Taurat duduk di situ. Mereka telah datang dari setiap bandar di Galilea dan Yudea dan juga dari Yerusalem. Kuasa Tuhan ada pada Yesus untuk menyembuhkan orang. Beberapa orang mengusung seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar dan mereka mencari jalan untuk membawanya ke dalam rumah untuk meletakkannya di hadapan Yesus. Oleh sebab mereka tidak dapat membawanya masuk kerana orang bersesak-sesak, mereka naik ke atas bumbung rumah lalu membuka genting supaya dapat menurunkan orang itu dengan tikarnya di tengah-tengah orang ramai di hadapan Yesus. Ketika Yesus melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Saudara, dosamu telah diampunkan.” Ahli-ahli Taurat dan orang Farisi mula berkata sesama diri, “Siapakah orang ini yang mengkufuri Allah? Tiada siapa boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!” Tetapi Yesus mengetahui fikiran mereka, lalu berkata kepada mereka, “Mengapa kamu berfikir begitu dalam hatimu? Manakah yang lebih mudah dikatakan, ‘Dosamu diampunkan,’ atau ‘Bangun dan berjalan’? Tetapi, supaya kamu tahu bahawa Anak Manusia berkuasa di bumi ini mengampunkan dosa...” Dia berkata kepada orang yang lumpuh itu, “Aku berkata kepadamu, bangun, angkat tikarmu dan pulanglah!” Seketika itu juga, dia bangun di hadapan mereka sekalian. Dia mengangkat tikar tempat dia berbaring tadi lalu pulang sambil memuji Allah. Semua orang tercengang dan memuji Allah. Mereka berasa takjub sambil berkata, “Pada hari ini kami telah menyaksikan hal yang ajaib!” Kemudian Yesus keluar dan terpandang seorang pemungut cukai yang bernama Lewi sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku!” Lewi bangun, meninggalkan semuanya dan mengikut-Nya. Lewi menyediakan satu jamuan besar untuk Yesus di rumahnya. Ada ramai pemungut cukai dan orang lain yang turut makan bersama mereka. Orang Farisi dan ahli Taurat mereka bersungut-sungut kepada para murid Yesus, “Mengapakah kamu makan dan minum bersama pemungut cukai dan orang berdosa?” Yesus menjawab, “Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat. Aku datang bukannya untuk memanggil orang benar, tetapi orang berdosa, supaya mereka bertaubat.”