Yesus kembali ke Galilea dan kuasa Roh Allah menyertai Dia. Berita tentang Yesus tersebar ke seluruh daerah itu. Yesus mengajar di rumah ibadat dan Dia dipuji oleh semua orang. Kemudian Yesus pergi ke Nasaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabat, seperti biasa Yesus pergi ke rumah ibadat. Dia berdiri untuk membaca Alkitab, lalu Dia diberikan gulungan naskhah yang berisi perkhabaran daripada Nabi Yesaya. Yesus membuka gulungan naskhah itu, lalu mendapatkan bahagian yang tertulis, “Roh Tuhan ada pada-Ku. Dia telah melantik Aku supaya mengkhabarkan Berita Baik kepada orang miskin. Dia mengutus Aku supaya mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan, kesembuhan bagi orang buta; dan kemerdekaan bagi orang yang tertindas, serta mengisytiharkan masanya Tuhan menyelamatkan umat-Nya.” Yesus menggulung gulungan naskhah itu semula dan mengembalikannya kepada petugas, lalu duduk. Mata semua orang di dalam rumah ibadat itu tertumpu kepada Yesus. Yesus mula berkata kepada mereka, “Pada hari ini ayat-ayat Alkitab ini sudah berlaku pada masa kamu mendengarnya.” Kata-kata yang diucapkan oleh Yesus baik sekali sehingga para pendengar-Nya kagum. Mereka berkata, “Bukankah dia anak Yusuf?” Tetapi Yesus berkata, “Tentu kamu akan menyebut peribahasa ini kepada-Ku, ‘Hai doktor, sembuhkanlah dirimu sendiri.’ Kamu juga akan berkata, ‘Kami mendengar tentang semua perkara yang sudah berlaku di Kapernaum, lakukanlah semuanya di kampung halamanmu juga.’ ” Yesus berkata lagi, “Ketahuilah, seorang nabi tidak pernah dihormati di kampung halamannya sendiri. Dengarkan kata-kata-Ku: Memang ada banyak balu di Israel pada zaman Nabi Elia. Pada masa itu musim kemarau berlanjutan, kerana hujan tidak turun selama tiga tahun setengah sehingga bencana kebuluran yang dahsyat berlaku di negeri itu. Tetapi Allah tidak menyuruh Elia pergi kepada salah seorang balu itu. Dia disuruh pergi kepada seorang balu yang tinggal di Sarafat di daerah Sidon. Demikian juga ada banyak orang berpenyakit kulit yang mengerikan di Israel pada zaman Nabi Elisa. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka disembuhkan, kecuali Naaman orang Siria itu.” Semua orang di rumah ibadat itu sangat marah apabila mereka mendengar hal itu. Mereka bangkit lalu menyeret Yesus ke luar bandar dan membawa-Nya ke puncak bukit tempat kota mereka dibina. Mereka bermaksud menolak Yesus ke dalam jurang. Tetapi Yesus terus berjalan antara orang ramai lalu pergi dari situ.
Baca LUKAS 4
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: LUKAS 4:14-30
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video