LUKAS 24:1-12

LUKAS 24:1-12 BM

Pada hari Ahad, ketika hari masih subuh, wanita-wanita itu pergi ke kubur dan membawa ramuan yang sudah disediakan oleh mereka. Mereka mendapati batu penutup pintu kubur sudah digulingkan. Lalu mereka masuk ke dalam kubur itu, tetapi tidak mendapati jenazah Tuhan Yesus. Sementara mereka berdiri di situ dan kehairanan memikirkan hal ini, tiba-tiba dua orang lelaki yang mengenakan pakaian yang berkilau-kilauan berdiri di sisi mereka. Kerana ketakutan, wanita-wanita itu bersujud. Lalu kedua-dua orang itu berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu mencari orang hidup antara orang mati? Dia tidak ada di sini; Dia sudah bangkit! Ingatlah akan apa yang telah dikatakan-Nya kepada kamu sewaktu Dia di Galilea: Anak Manusia mesti diserahkan kepada orang berdosa, lalu disalibkan, dan bangkit pada hari ketiga.’ ” Barulah semua wanita itu ingat akan kata-kata Yesus. Setelah mereka balik dari kubur itu, mereka memberitahukan segala perkara itu kepada sebelas orang rasul dan semua pengikut yang lain. Kumpulan wanita itu terdiri daripada Maria Magdalena, Yohana, dan Maria ibu Yakobus. Bersama dengan wanita-wanita lain, mereka memberitahukan perkara itu kepada rasul-rasul. Tetapi rasul-rasul itu menyangka wanita-wanita itu mengatakan yang bukan-bukan. Mereka tidak percaya akan cerita itu. Tetapi Petrus bangun lalu lari ke kubur. Dia membongkok, lalu menengok ke dalam dan nampak hanya kain kafan di situ. Dia pulang ke rumah dengan kehairanan kerana memikirkan apa yang telah berlaku.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan LUKAS 24:1-12

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami