LUKAS 24:1-12

LUKAS 24:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada hari Ahad, ketika hari masih subuh, wanita-wanita itu pergi ke kubur dan membawa ramuan yang sudah disediakan oleh mereka. Mereka mendapati batu penutup pintu kubur sudah digulingkan. Lalu mereka masuk ke dalam kubur itu, tetapi tidak mendapati jenazah Tuhan Yesus. Sementara mereka berdiri di situ dan kehairanan memikirkan hal ini, tiba-tiba dua orang lelaki yang mengenakan pakaian yang berkilau-kilauan berdiri di sisi mereka. Kerana ketakutan, wanita-wanita itu bersujud. Lalu kedua-dua orang itu berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu mencari orang hidup antara orang mati? Dia tidak ada di sini; Dia sudah bangkit! Ingatlah akan apa yang telah dikatakan-Nya kepada kamu sewaktu Dia di Galilea: Anak Manusia mesti diserahkan kepada orang berdosa, lalu disalibkan, dan bangkit pada hari ketiga.’ ” Barulah semua wanita itu ingat akan kata-kata Yesus. Setelah mereka balik dari kubur itu, mereka memberitahukan segala perkara itu kepada sebelas orang rasul dan semua pengikut yang lain. Kumpulan wanita itu terdiri daripada Maria Magdalena, Yohana, dan Maria ibu Yakobus. Bersama dengan wanita-wanita lain, mereka memberitahukan perkara itu kepada rasul-rasul. Tetapi rasul-rasul itu menyangka wanita-wanita itu mengatakan yang bukan-bukan. Mereka tidak percaya akan cerita itu. Tetapi Petrus bangun lalu lari ke kubur. Dia membongkok, lalu menengok ke dalam dan nampak hanya kain kafan di situ. Dia pulang ke rumah dengan kehairanan kerana memikirkan apa yang telah berlaku.

LUKAS 24:1-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA adapun pada hari yang pŭrtama ahad itu, pagi pagi hari, datanglah marika itu kapada kubor itu mŭmbawa rŭmpah rŭmpah itu yang tŭlah disŭdiakannya, dan orang yang lain lain bŭrsama sama dŭngan dia. Maka didapati ulih marika itu batu itu tŭlah tŭrgolek deri pada kubor itu. Maka masoklah marika itu, maka tiadalah didapatinya mayat Tuhan Isa. Maka skali pŭrstua tŭngah marika itu dalam bŭbrapa wasangka disitu, hieran, tŭrdirilah dua orang dŭkat marika itu, dŭngan baju yang bŭrchahya chahya. Maka tŭngah marika itu kŭtakotan, ditundokkannya mukanya sampie kabumi, kata dua orang itu kapadanya, Mŭngapa kamu mŭnchari yang hidop diantara yang mati itu? Iya tiada disini, sudahlah iya bŭrbangkit; ingat, bagimana iya tŭlah bŭrkata kapadamu, apabila ada iya lagi dalam Galilia. Katanya, Anak manusia itu dapat tiada akan disŭrahkan kŭdalam tangan orang yang bŭrdosa, maka akan disalibkan, dan pada hari yang katiga bŭrbangkit pula. Maka tŭringatlah marika itu akan pŭrkataannya. Lalu pulanglah marika itu deri kubor, sŭrta mŭngatakan sagala pŭrkara itu kapada yang kasŭblas orang itu, sŭrta kapada sagala yang lain lain. Maka iya itu Mŭriam Magdalani, dan Johanna, dan Mŭriam ibu Yakob, dan pŭrampuan pŭrampuan lain yang ada dŭngan marika itu yang tŭlah bŭrkata pŭrkara pŭrkara ini kapada rasol rasol. Adapun pŭrkataan marika itu mŭnjadi spŭrti pŭrkataan yang bukan bukan kapada rasol rasol itu, maka tiadalah marika itu pŭrchaya akan dia. Sŭtlah itu maka bŭrbangkitlah Petros, sŭrta bŭrlari pŭrgi kakubor itu, lalu mŭnjungkok kŭbawah, dilihatnya akan kain khasa ada tŭrlŭtak sahja; maka kŭmbalilah iya dŭngan hieran dalam dirinya sŭndiri derihal pŭrkara yang tŭlah jadi itu.

LUKAS 24:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada hari pertama minggu itu ketika masih awal pagi lagi, mereka pun pergi ke makam dengan membawa ramuan rempah yang telah disediakan mereka. Mereka mendapati batu penutup makam itu telah digulingkan dari makam. Apabila mereka masuk ke dalam, jenazah Tuhan Yesus tiada lagi. Mereka berdiri di situ dan berasa kebingungan tentang perkara ini. Tiba-tiba ada dua orang yang berpakaian berkilau-kilauan, berdiri di sisi mereka. Perempuan-perempuan itu sangat takut lalu menundukkan muka ke tanah. Kedua-dua orang itu berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu mencari Dia yang hidup di antara orang mati? Dia tiada di sini. Dia sudah bangkit! Ingatlah apa yang telah dikatakan oleh-Nya kepadamu ketika Dia di Galilea: ‘Anak Manusia harus diserahkan kepada orang berdosa. Dia akan disalib dan bangkit pada hari yang ketiga.’ ” Mereka pun teringatlah akan kata-kata Yesus. Sekembali mereka dari makam itu, mereka memberitahu segala perkara ini kepada sebelas orang rasul dan semua pengikut yang lain. Mereka, iaitu Maria orang Magdalena, Yohana, Maria, ibu Yakobus dan perempuan-perempuan yang lain mengatakan segala perkara itu kepada rasul-rasul itu. Tetapi mereka itu menganggap apa yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu sebagai karut lalu tidak percaya kepada mereka. Tetapi Petrus bangun dan berlari ke makam itu. Dia membongkok ke dalam lalu nampak kain kafan linen sahaja di situ. Dia pulang dengan hairan sambil memikirkan apa yang telah berlaku.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami