LUKAS 22:54-71

LUKAS 22:54-71 BM

Mereka menangkap Yesus dan membawa Dia ke rumah Imam Agung. Petrus mengikut dari jauh. Api unggun telah dinyalakan di tengah-tengah halaman rumah itu dan Petrus pergi duduk dengan orang lain yang duduk di sekelilingnya. Apabila salah seorang hamba wanita nampak Petrus duduk dekat api unggun, dia mengamati Petrus lalu berkata, “Orang ini juga bersama-sama Yesus!” Tetapi Petrus menafikannya, “Aku tidak mengenal orang itu!” Sejurus kemudian, seorang lagi nampak Petrus dan berkata, “Kamu juga seorang daripada mereka!” Tetapi Petrus menjawab, “Bukan!” Kira-kira sejam kemudian, seorang lain berulang kali berkata, “Pasti orang ini pengikut Yesus, kerana dia juga orang Galilea!” Tetapi Petrus menjawab, “Aku tidak faham apa yang kamu katakan!” Seketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok. Tuhan pun berpaling dan memandang Petrus. Petrus teringat akan apa yang dikatakan oleh Tuhan kepadanya, “Sebelum ayam berkokok hari ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.” Petrus keluar dari situ lalu menangis tersedu-sedu. Semua orang yang mengawal Yesus mempermainkan dan memukul Dia. Mereka menutupi mata-Nya lalu bertanya kepada-Nya, “Tekalah, siapakah yang memukul kamu?” Banyak lagi hinaan lain yang dilemparkan oleh mereka kepada Yesus. Pada pagi hari, para pemimpin masyarakat Yahudi, ketua imam, dan guru Taurat bermesyuarat, lalu Yesus dibawa ke hadapan Majlis Agama. Mereka berkata, “Katakanlah, benarkah kamu ini Penyelamat yang diutus oleh Allah?” Yesus menjawab, “Jika Aku memberitahu kamu, kamu pun tidak mahu percaya. Jika Aku bertanya apa-apa, kamu tidak mahu menjawab. Tetapi mulai sekarang, Anak Manusia akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa.” Mereka semua bertanya, “Adakah kamu ini Anak Allah?” Yesus menjawab, “Begitulah yang kamu katakan.” Mereka berkata, “Kita tidak perlu saksi lagi! Kita telah mendengar apa yang dikatakannya!”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan LUKAS 22:54-71

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami