LUKAS 22:39-53

LUKAS 22:39-53 BM

Yesus meninggalkan kota itu. Seperti biasa Dia pergi ke Bukit Zaitun dan pengikut-pengikut-Nya menyertai Dia. Apabila Yesus tiba di situ, Dia berkata kepada mereka, “Berdoalah agar kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.” Kemudian Dia pergi lebih jauh dari tempat mereka, kira-kira sejauh lemparan batu. Dia berlutut dan berdoa, “Ya Bapa, jika boleh jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak-Mu berlakulah.” Malaikat dari syurga datang kepada-Nya dan menguatkan Dia. Kerana berat penderitaan-Nya, Yesus semakin tekun berdoa, sehingga peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah. Selepas berdoa, Yesus balik kepada pengikut-pengikut-Nya. Dia mendapati mereka tidur kerana penat dan terlalu sedih. Yesus berkata kepada mereka, “Mengapa kamu tidur? Bangunlah! Berdoalah supaya kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.” Sementara Yesus masih berkata-kata, datanglah sekumpulan orang. Mereka dipimpin oleh Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus. Yudas mendekati Yesus untuk mencium Dia. Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Yudas, adakah dengan ciuman, kamu mengkhianati Anak Manusia?” Apabila pengikut Yesus yang di situ nampak apa yang akan berlaku, mereka berkata, “Tuhan, biarlah kami menyerang dengan pedang!” Seorang antara mereka memukul hamba Imam Agung serta mengerat telinga kanannya. Yesus berkata, “Sudahlah!” Lalu Dia menjamah telinga orang itu dan menyembuhkannya. Setelah itu Yesus berkata kepada semua ketua imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan pemimpin masyarakat Yahudi yang datang ke situ untuk menangkap Dia, “Adakah Aku ini penjahat, sehingga kamu mesti datang dengan membawa pedang dan belantan untuk menangkap Aku? Tiap-tiap hari Aku bersama-sama kamu di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku. Tetapi inilah masanya kamu bertindak, kerana kuasa kegelapan sedang memerintah.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan LUKAS 22:39-53

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami