LUKAS 22:39-53

LUKAS 22:39-53 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus meninggalkan kota itu. Seperti biasa Dia pergi ke Bukit Zaitun dan pengikut-pengikut-Nya menyertai Dia. Apabila Yesus tiba di situ, Dia berkata kepada mereka, “Berdoalah agar kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.” Kemudian Dia pergi lebih jauh dari tempat mereka, kira-kira sejauh lemparan batu. Dia berlutut dan berdoa, “Ya Bapa, jika boleh jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak-Mu berlakulah.” Malaikat dari syurga datang kepada-Nya dan menguatkan Dia. Kerana berat penderitaan-Nya, Yesus semakin tekun berdoa, sehingga peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah. Selepas berdoa, Yesus balik kepada pengikut-pengikut-Nya. Dia mendapati mereka tidur kerana penat dan terlalu sedih. Yesus berkata kepada mereka, “Mengapa kamu tidur? Bangunlah! Berdoalah supaya kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.” Sementara Yesus masih berkata-kata, datanglah sekumpulan orang. Mereka dipimpin oleh Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus. Yudas mendekati Yesus untuk mencium Dia. Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Yudas, adakah dengan ciuman, kamu mengkhianati Anak Manusia?” Apabila pengikut Yesus yang di situ nampak apa yang akan berlaku, mereka berkata, “Tuhan, biarlah kami menyerang dengan pedang!” Seorang antara mereka memukul hamba Imam Agung serta mengerat telinga kanannya. Yesus berkata, “Sudahlah!” Lalu Dia menjamah telinga orang itu dan menyembuhkannya. Setelah itu Yesus berkata kepada semua ketua imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan pemimpin masyarakat Yahudi yang datang ke situ untuk menangkap Dia, “Adakah Aku ini penjahat, sehingga kamu mesti datang dengan membawa pedang dan belantan untuk menangkap Aku? Tiap-tiap hari Aku bersama-sama kamu di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku. Tetapi inilah masanya kamu bertindak, kerana kuasa kegelapan sedang memerintah.”

LUKAS 22:39-53 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka kluarlah iya lalu pŭrgi spŭrti adatnya kŭbukit Zieton, maka murid muridnya pun mŭngikutlah akan dia. Maka apabila datanglah iya kŭtŭmpat itu, katanya kapada marika itu, Mintalah doa supaya kamu jangan tŭrmasok kŭdalam pŭrchobaan. Maka adalah iya jauh sŭdikit deripada marika itu, kira kira sŭpŭngumban batu, lalu bertŭlotlah iya sŭrta mŭminta doa. Katanya Ayah, jikalau kiranya angkau kahandaki undorkanlah piala ini deripadaku, itupun bukannya dŭngan kahandakku mŭlainkan dŭngan kahandakmu jadilah. Maka klihatanlah padanya sa’orang mŭliekat deri langit mŭnguatkan akan dia. Maka dalam sangsara itu iya mŭminta doa tŭrlehih rajin, maka pŭlohnya pun bertiteklah spŭrti gumpal darah jatoh kŭbumi. Maka apabila bangunlah iya deripada mŭminta doa sŭrta datang mŭndapatkan murid muridnya, maka didapatinya marika itu tidor kŭrna susah. Maka katanya kapada marika itu, Mŭngapakah kamu tidor? bangun, mintalah doa supaya jangan kamu masok kŭdalam pŭrchobaan. ¶ Maka sŭmŭntara lagi iya bŭrkata kata, hieran, suatu bŭlatantara datang; maka adapun Yudas, sa’orang deripada duablas muridnya, bŭrjalan dihadapan marika itu, maka datanglah dŭkat kapada Isa, lalu dichiumnya akan dia. Tŭtapi Isa bŭrkata kapadanya, Yudas angkau sŭrahkankah akan anak manusia dŭngan satu chium? Maka apabila marika itu yang ada bŭrkŭliling Isa, mŭlihat apa nanti jadi, maka kata marika itu kapadanya, Tuhan, kami chinchangkah dŭngan pŭdang? ¶ Maka sa’orang deripada marika itu mŭnyinchang akan hamba imam bŭsar itu putuslah tŭlinga kanannya. Maka jawab Isa sŭrta bŭrkata, Chukoplah sudah; lalu dijamahnya akan tŭlinganya sŭrta disŭmbohkannya akan dia. Sŭtlah itu maka kata Isa kapada kŭpala kŭpala Imam, dan pŭnghulu pŭnghulu ka’bah, dan orang tua tua yang ada datang kapadanya, Kamu kluar sa’olah olah mŭlawan sa’orang pŭnchurikah, dŭngan pŭdang dan kayu kayu? Apabila aku ada sahari hari dŭngan angkau dalam ka’abah, maka tiadalah kamu mŭnaikkan tangan mŭlawan aku, tŭtapi inilah waktumu dan kwasa kŭglapan.

LUKAS 22:39-53 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke Bukit Zaitun seperti kebiasaan-Nya. Murid-murid-Nya pergi bersama Dia. Sesampainya ke tempat itu, Dia berkata kepada mereka, “Berdoalah kamu supaya kamu tidak tergoda.” Yesus pergi jauh sedikit daripada mereka, iaitu sepelempar batu jauhnya lalu berlutut untuk berdoa. “Ya Bapa, jika berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan.” Malaikat dari syurga datang dan menguatkan-Nya. Dalam kesengsaraan Dia berdoa, peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah. Yesus bangun daripada berdoa, dan kembali kepada murid-murid-Nya. Dia mendapati mereka tertidur kerana sangat sedih. Dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu tidur? Bangunlah dan berdoa supaya kamu tidak tergoda.” Ketika Yesus masih berkata-kata, sekumpulan orang datang. Yudas, salah seorang dua belas murid-Nya memimpin mereka. Dia menghampiri Yesus untuk mencium-Nya. Yesus berkata kepadanya, “Yudas, adakah dengan ciuman engkau mengkhianati Anak Manusia?” Apabila murid-murid Yesus melihat apa yang akan terjadi, mereka bertanya kepada Yesus, “Tuhan, haruskah kami serang mereka dengan pedang kami?” Seorang daripada mereka menyerang hamba imam besar, dan menetaknya sehingga terputus telinga kanannya. Tetapi Yesus berkata, “Biarkanlah mereka.” Lalu Yesus menyentuh telinga orang itu dan menyembuhkannya. Kemudian Yesus berkata kepada ketua-ketua imam, ketua-ketua pengawal Bait Suci dan tua-tua yang telah datang untuk menangkap-Nya, “Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku seolah-olah Aku ini seorang penyamun? Semasa Aku bersama kamu setiap hari di dalam Bait Suci, kamu tidak berani pula menangkap Aku. Tetapi inilah masa kamu dan masa kuasa kegelapan.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami