LUKAS 22:1-23

LUKAS 22:1-23 BM

Perayaan Roti Tidak Beragi yang disebut Paska sudah dekat. Para ketua imam dan guru Taurat sedang mencari jalan untuk membunuh Yesus dengan diam-diam, kerana mereka takut akan orang ramai. Kemudian Iblis memasuki Yudas yang disebut Iskariot, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus. Lalu Yudas pergi berunding dengan para ketua imam dan ketua pengawal Rumah Tuhan tentang bagaimana dia boleh menyerahkan Yesus kepada mereka. Mereka gembira dan bersetuju memberikan wang kepadanya. Yudas pun bersetuju dan mula mencari peluang untuk menyerahkan Yesus kepada mereka tanpa diketahui oleh orang ramai. Semasa Perayaan Roti Tidak Beragi, tibalah harinya domba disembelih untuk jamuan Paska. Yesus menyuruh Petrus dan Yohanes, “Pergilah sediakan jamuan Paska untuk kita.” Mereka bertanya, “Di manakah Guru mahu kami menyiapkannya?” Yesus berkata, “Apabila kamu masuk ke bandar, kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang menjunjung buyung air. Ikutilah dia ke rumah yang dimasukinya, lalu berkatalah kepada pemilik rumah itu, ‘Guru bertanya, di manakah bilik tempat Dia dan pengikut-pengikut-Nya akan makan jamuan Paska?’ Tuan rumah itu akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang lengkap dengan segala perabotnya. Siapkanlah segala-galanya di situ.” Mereka pergi dan mendapati semuanya seperti yang dikatakan oleh Yesus, lalu mereka menyediakan jamuan Paska. Apabila tiba waktunya untuk makan jamuan Paska, Yesus makan bersama dengan rasul-rasul itu. Dia berkata kepada mereka, “Aku ingin sekali makan jamuan Paska ini bersama-sama kamu sebelum kematian-Ku! Percayalah, Aku tidak akan memakannya lagi sehingga makna perjamuan ini dinyatakan di Dunia Baru Allah.” Setelah itu Yesus mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu berkata, “Ambillah cawan ini, dan bahagikanlah antara kamu sendiri. Ketahuilah, mulai sekarang Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga Allah memerintah dengan sepenuhnya.” Kemudian Yesus mengambil roti. Setelah Dia mengucap syukur kepada Allah, Dia membahagi roti itu lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, “Inilah tubuh-Ku, yang diberikan untuk kamu. Berbuatlah demikian untuk mengenang Aku.” Begitu juga setelah makan, Dia memberikan cawan itu kepada mereka sambil berkata, “Cawan wain ini perjanjian Allah yang baru, yang disahkan dengan darah-Ku, darah yang dicurahkan untuk kamu. Tetapi lihatlah! Orang yang mengkhianati Aku ada di sini bersama-sama Aku! Anak Manusia akan mati sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah; tetapi malanglah orang yang mengkhianati Dia!” Lalu mereka mula bertanya sesama sendiri, siapa antara mereka yang akan melakukan perkara itu.